Friday 2 November 2018

Larilah sepantasnya..

Puas berfikir dan akhirnya kau serah padaNya yang satu.  Hanya dia Maha mengetahui apa yang terbaik untuk kau.  Kau berserah padaNya, Kau dah berusaha sedaya mungkin, namun masih  kau temui kebuntuan.  kau akan buat yang terbaik untuk diri kau menongkah arus biar berseorangan kau akan redah.  Kejayaan bukan datang dengan mudah tetapi dengan usaha.  Allah tahu kau mampu menempuh segala ujian sebab itu Allah menguji kau.  Berbagai sudah kau jalani dan lalui, jatuh bangun itu sudah biasa.  Kau akan berjalan dengan penuh bergaya satu hari nanti.  

Menghabiskan Master adalah cita-cita kau dan kau akan habiskan sebaik mungkin.  Kau tak boleh tamak, ada sebab mungkin Allah beri kau ujian.. beri kau halangan. Mungkin kau belum cukup bersedia untuk menongkah arus.  Biarlah orang tertawakan kau sekarang, Insyallah kau akan tutup mulut mereka dengan kejayaan.

Sokongan daripada orang yang terdekat itu paling utama, namun begitu ia tidak semudah yang dijangka.  Kau kena kuatkan diri kau sendiri.  Apabila kau jatuh, kau sendiri yang akan rasa sakitnya.  Bukan orang lain, waimah keluarga kau sendiri tak akan rasa sakit seperti apa yang kau rasa.  Kau kena melawan seorang untuk jadi kuat. Usah berharap banyak tentang itu, daripada kau meminta kau rasa lebih ‘down’ lebih baik kau usaha mengikut kemampuan kau.

Menangislah semahumu, keluarkan airmatamu sepuasnya.  Itu akan meredakan perasaan kau sendiri.  Beban berat di dadamu akan ringan sedikit bila kau menangis.  Usah jadi orang yang lemah.  Kau mampu atasi semua ini dengan usaha kau.  Cukuplah dengan apa yang berlaku pada diri kau.  Cukuplah orang pergunakan kau.  Cukuplah… Gunakanlah ilmu yang ada untuk kepentingan diri kau.  Itu adalah nilai diri kau, bukan nilai orang lain.  Jangan terbawa-bawa emosi yang menjadikan kau lemah dan simpati.  Ia akan menjadikan kau lebih tak mampu untuk mengawalnya nanti.  Kau adalah diri kau sendiri.  Bangun dan berjalanlah dengan nilai yang kau ada.

Allah berikan kau kekuatan untuk menjadi unik dan edisi terhad.  Jalani dengan penuh berani, hapuskanlah airmata.  Berjalanlah.. bangunlah.  Penghinaan yang kau terima, kau balas dengan kejayaan.  Usah cepat mengalah, jangan putus asa.  Memang pahit apabila orang yang kau sayang perlekehkan segala usaha kau.  Itu adalah perkara yang sadis dalam kehidupan.  Percayalah ia akan menjadikan kau lebih kuat dan kuat.

Kau bangunlah… jangan mengalah.  Sebarkan ilmu yang kau ada.  Jangan putus asa, sakit yang datang akan hilang bila kau redha.  Hanya kau yang faham diri kau, kau saja yang tahu kekuatan kau.  Kau jangan rebah, kau larilah sekuatnya.. larilah sepantasnya.  Kau kan kuat macam POWER RANGERS.


Samiza Ezanie
4.07 petang
2/11/18

  

Tuesday 27 February 2018

Bergurulah.

Zaman teknologi atau zaman canggih, semua maklumat boleh di dapati semudah ABC.  Sekali klik banyak maklumat yang kita perolehi.  Kesahihan ilmu itu tidak dipastikan sama ada benar atau palsu.  Oleh itu berhati-hatilah, carilah guru yang pakar dan bertauliah untuk mendapatkan ilmu yang sahih dan benar.  Jangan sesekali menuntut ilmu tanpa bimbingan guru yang bertauliah.  Belajarlah sedari awal dan jangan sesekali cedok di tengah-tengah.  Ia amat merbahaya sekali, salah menuntut ilmu akan memberi implikasi buruk pada diri dan orang sekeliling.

Menuntut ilmu itu amat digalakkan, ia boleh menambah nilai diri dan den
gan ilmu itu boleh digunakan untuk menaikkan taraf ekonomi diri sendiri dan orang sekeliling.  Bila kita salah menuntut ilmu dan ilmu itu kita sebarkan maka berpanjanganlah ilmu yang salah tersebut dari asbab kita.  Sebagai manusia yang bertanggungjawab dan memegang amanah, maka carilah ilmu yang terbukti sahih dan berguru dengan sebenar-benar guru.  Jangan berguru semata-mata di internet,  Lagi salah bila kita hanya tahu ABC tetapi kita seolah-olah telah tahu sehingga Z.   Ibarat kita belajar peringkat sijil, tetapi kita berkongsi seolah -olah kita telah mempunyai PhD dalam ilmu itu.  Bahaya yang teramat jika ini terjadi.

Mempelajari sesuatu ilmu itu ada nilai tersendiri yang wajib kita bayar dengan wang, tenaga dan masa.   Banyak yang kita korbankan apabila kita mahukan sesuatu ilmu.  Jadi adalah tanggungjawab bersama untuk menegur sesama manusia, jika terdapat kekeliruan.  lagi-lagi ilmu yang salah dikongsikan dan dijadikan mata pencarian.  Dimanakah keberkatan rezeki itu?  Hidup perlukan wang tetapi jangan jadikan wang itu sebagai satu batu loncatan untuk menyebarkan ilmu yang salah.  Faham ke faham.  Kita tiada pilihan dan kita mesti faham apa itu ilmu yang bermanfaat dan bergurulah dengan orang yang betul.

Contoh, kita mahu berniaga tudung.. maka kita perlu mencari guru yang mahir proses pembuatan tudung, ia bermula daripada pemilihan fabrik, jahitan dan pemasaran.  Kita tak akan berguru dengan nelayan untuk berniaga tudung.  Nelayan tugasnya mengutip hasil laut atau sungai, mereka mahir dalam mendapatkan hasil laut.  Mereka mahir menggunakan perkakasan berkaitan dengan ilmu menangkap ikan. sama ada secara kecil-kecilan atau besar-besaran.  Rasanya kalau kita beri mereka fabrik, mahu jadi tali sauh fabrik tersebut. jelaskan...

hidup ini kita ada pilhan. buatlah pilihan yang tepat untuk diri kita, capailah apa yang nak dicapai dengan cara yang betul dan amanah pada diri.

Mak Jah.
Sentiasa mahukan imu yang baru.

Saturday 10 February 2018

SPEAK 2018 yang menyeronokkan dan impak yang cukup positif.


Semalam Mak Jah menghadiri satu program yang bertaju "ROAD TOUR SPEAK WITH CONFIDENCE",  sejujurnya pandangan Mak Jah satu program yang cukup bermanfaat dan bagus untuk Mak Jah yang sering terlibat dengan 'public speaking'.  Banyak ilmu yang telah Mak Jah pelajari dalam bidang komunikasi.  Slot yang paling Mak jah suka adalah slot 'breathing' iaitu bagaimana cara bernafas dengan betul untuk meredakan emosi kita.  Ia seolah-olah perkara yang biasa tetapi menjadi luarbiasa apabila kita dapat mempelajari cara yang betul.


Sering mak Jah persoalkan bila orang sering menggunakan perkataan "FAHAM KE FAHAM" BOLEH KE BOLEH",  Mak Jah pernah bertanya sebelum ini kepada mereka yang sering menggunakan perkataan ini, tetapi bila Mak Jah bertanya mereka tidak memberikan jawapan yang tepat untuk Mak Jah.  Mak Jah adalah manusia yang percaya dengan fakta dan penerangan yang jelas, bukan main cedok perkataan itu dan guna.  Bagi Mak Jah kita tak perlu guna perkataan yang kita sendiri tak faham apa yang dimaksudkan ayat tersebut.  Semalam Tuan Rizal Rashid telah menerangkan secara terperinci berkaitan perkataan ini dan Mak jah cukup berpuashati dan gembira yang amat sangat sebab akhirnya Mak jah dapat jawapan yang tepat setelah sekian lama mencari jawapan itu.  Rasanya lebih dari 2 tahun untuk Mak Jah dapatkan jawapan ini.  Begitulah cerewetnya Mak Jah bila membabitkan persoalan yang memang Mak Jah nak tahu jawapannya secara ilmiah dan fakta. 

Ilmu yang kita pelajari dan bila kita kongsikan ia cukup bermanfaat untuk diri kita dan orang lain, Mak Jah sedar usia Mak Jah semakin meningkat dan masa sering mencemburui Mak Jah dan Mak Jah wajib mengambil langkah yang perlu agar hidup yang semakin singkat ini digunakan dengan sebaiknya.  Kita tak perlu mempersoalkan apa yang orang lain buat untuk kita, tetapi kita kena persoalkan apa yang kita buat untuk orang lain.  Jangan kita pernah rasa cukup dengan ilmu yang kita ada kerana ada orang lain yang lebih berilmu dari kita.  jangan sesekali bongkak dengan ilmu kita.  Kau rasa kau hebat.. ada orang lebih hebat dari kau... kau rasa kau lebih berilmu .. sebenarnya ada lagi orang lebih berilmu dari kau.  Sejujurnya tiada siapa yang lebih hebat melainkan SANG PENCIPTA iaitu ALLAH yang satu. 


Kadangkala tanpa kita sedar ilmu yang kita pelajari sering berkaitan dengan ilmu-ilmu yang lain.  Kita jangan taksub pada satu ilmu saja.  Kita perlu membuka ruang untuk ilmu lain masuk ke dalam diri kita.  Tidak semestinya kita orang psikologi kita hanya perlu mempelajari ilmu psikologi itu sahaja.  Kita perlu banyak belajar dan belajar ilmu yang lain..  Bagi Mak Jah menuntut ilmu ibarat kau tidak tahu apa-apa tentang ilmu tersebut.  Bila kau kosongkan diri kau, kau akan rasa bebas untuk menerima ilmu.  Lihat orang-orang yang berjaya, mereka tidak pernah mendabik dada dengan ilmu yang mereka ada.  Mereka kongsikan ilmu itu untuk digunakan oleh orang lain. 

SPEAK 2018 menjadikan Mak Jah lebih yakin untuk berkongsi ilmu yang Mak jah ada pada orang lain.  Mak Jah yakin Allah akan beri Mak Jah ilmu yang lain untuk menambah ilmu yang sedia ada.  Kita jangan suka buat sembang lebat atau sembang kari untuk menyakinkan orang lain, apatah lagi dalam bisnes.  Apabila kau bercakap tentang sesuatu pastikan kau cukup ilmu dalam bidang itu dan mahir untuk menggunakannnya... Jangan sesekali kau tahu baru E kau sembang macam kau dah khatam ilmu itu beratus kali.  Berkomunikasilah cara yang baik dan bermanfaat bukan berkomunikasi untuk menganiaya dan menipu orang lain.  Hidup kau tidak akan berkat dan kau sendiri akan susah untuk menghadapi orang lain.  Tak mengapa kau nampak bodoh di mata orang lain tetapi kau tak menipu dan menganiaya.  Kemahiran "sweet talker" jangan kau gunakan untuk menipu. Itu salah dan paling teruk. 

Semalam Mak Jah juga belajar tentang gelombang otak,  Beta, Alpha, Teta, Delta.  Seolah Mak Jah "recall" balik ilmu ini.  Mak Jah pernah mempelajari sebelum ini semasa mengambil Ijazah psikologi. Ia secara tidak langsung memantapkan lagi pengetahuan yang sedia ada.  orang sering kali mengatakan kepada Mak Jah kenapa suka beli buku.  Mak Jah memang suka membaca dan bila kau membaca, jiwa kau tenang dan bahagia.  

Dalam hidup kita perlu menambah nilai dalam diri kita.  Nilai yang baik bukan nilai yang buruk  Nilai yang ada dalam diri kau itu adalah kelebihan kau daripada orang lain..Usah kau ingat masa lampau kau yang tidak menyeronokkan kerana apa yang kau perlu FOKUS adalah apa yang kau lakukan sekarang.  semua orang ada kisah silamnya yang tidak menarik untuk dikongsi, tetapi kadang-kadang dengan kisah silam itu kau perbaiki diri kau dan kau menjadi apa yang kau nak jadi hari ini.  Segalanya ditangan kita sendiri bukan tangan orang lain. 

Komunikasi adalah perkara yang utama dalam hidup kita.  Komunikasi kita boleh pelajari dan carilah sifu yang tepat dengan apa yang kau hendak.  

Okeylah setakat ini dahulu cerita semalam Mak Jah yang penuh keterujaan. Carilah sifu yang tepat untuk menambah ilmu.,  Gunakanlah ejaan penuh, jangan malas sangat untuk menaip dengan ejaan penuh. Ia mendidik diri kita untuk lebih berkaliber dan berkeyakinan.  

Terima kasih
Mak Jah.
sentiasa mahu belajar. 

Sunday 31 December 2017

Azam dan kejayaan.

Tahun baru dikaitkan dengan azam. Bagi Mak Jah sendiri tiada azam yang tertentu. Setiap hari adalah hari baru yang kita mesti lakukan sesuatu dalam hidup, buat saja yang kita rasakan berbaloi dan memberi kepuasan untuk diri sendiri. Bagi Mak Jah yang paling utama adalah memberi kepuasan untuk diri sendiri. Merasa puas dengan apa yang kita lakukan sebab kita tak boleh memuaskan hati semua orang. Adalah lebih baik puaskan hati sendiri dan tidak melanggar etika dan norma-norma kehidupan.
Buat apa kita teruja melihat kejayaan orang lain sedangkan kita boleh mencipta kejayaan itu. Kita juga mampu mencipta kejayaan seperti mereka. Kejayaan adalah subjektif dan persepsi kejayaan itu bergantung kepada diri kita sendiri. Contoh kita berjaya membuat jemput-jemput ikan bilis yang sedap dan lembut serta mendapat pujian daripada suami kita. Itu adalah kejayaan dan kepuasan bagi seorang isteri apabila hasil air tangannya mendapat pujian dari suami dan disukai serta jemput-jemput ikan bilis itu habis di makan. Mungkin pada orang lain ia sesuatu yang biasa tetapi bagi seorang isteri yang pertama kali dipuji oleh suami itu adalah luarbiasa. Mudahkan mencipta kejayaan.
Kejayaan tak semestinya di ukur dengan kereta besar, rumah besar dan berjawatan tinggi. Kejayaan itu apabila kita berjaya melakukan sesuatu yang sebelum ini kita tak mampu nak lakukannya. Jadi usah fikir apa yang orang kata tentang diri kita yang penting kita tahu apa yang kita buat. Bila kita dah berkahwin pastikan kita dapat restu daripada suami dan anak-anak. Restu mereka itu penting sebab syurga isteri dibawah tapak kaki suami. Jangan kita ngada-ngada nak curang pulak ya... kejayaan tak dapat cerai kita dapat nanti. (ini khas untuk isteri macam Mak Jah ya). Masa itu kita nangis airmata darah pun tiada guna.
Kadang-kadang hati kita perlu kering untuk mencipta kejayaan, ini bukan bermakna kita sombong dan berlagak. Bila kita buat sikap sebegini bukan kejayaan kita dapat kena maki lagi ada. Sikap kita itu sendiri penting, elakkan sikap negatif dalam diri. ia tak menguntungkan sesiapa.
begitulah pandangan Mak Jah tentang azam.
selamat tahun baru 2018.
Bila berada di atas jangan lupa pandang ke bawah.
Pemandangan dari atas itu memang cantik tetapi nak dapat pemandangan yang cantik kena daki tangga, penat sikit tetapi berbaloi. Begitu juga hidup. nak berjaya banyak onak dan duri yang kita kena tempuh.
Hidup kita hak kita..buat saja..

Siti hadijah Kusin

Saturday 30 December 2017

Akhirnya..

Akhirnya Mak Jah menyudahkan pengajian Mak Jah di usia yang lewat.  Tidak mengapa, biar kita lewat daripada kita tak buat langsung.  Tak salah kita mencabar diri untuk berjaya. Berjaya bukan sahaja terletak dalam bidang akademik tetapi dalam apa juga bidang yang kita ceburi. 

Menambah ilmu dalam diri adalah menambahbaik nilai diri.  Kadang-kadang kita merasa teruja melihat kejayaan orang lain.  Kenapa kita perlu melihat kejayaan orang sedangkan kita boleh mencipta kejayaan sendiri.  Hidup kita dalah hak kita, usah cepat menyerah kalah.  Sematkan dalam diri, aku mampu melakukannya. Kenapa perlu aku mengalah sedangkan aku boleh berjaya.   Kejayaan tidak semudah dicipta dengan kata-kata.  Ia perlu diusahakan dari pelbagai sudut. Indahnya sesebuah kejayaan itu bila kita lakukan dengan sendiri.

Kenapa kita perlu mengalah dengan ketakutan dalam diri, Buang ketakutan dan teruskan perjalanan mengapai impian,  Dahulu Mak Jah tak terfikir pun akan melanjutkan pengajian.  Mak jah berkahwin dalam usia yang begitu muda iaitu 19 tahun.  Ada anak setahun kemudian. Ia adalah mustahil masa itu memikirkan yang mak jah akan menyambung pengajian dalam keadaan keluarga kecil mak jah yang serba kekurangan.

Perancangan Allah adalah yang terbaik, Dia memberi bukan di saat kita minta tetapi di saat kita perlu. Di usia awal 40 an Mak jah menyambung pengajian dalam bidang psikologi. Akhirnya Mak Jah dapat menyiapkan awal satu semester dari tempoh yang ditetapkan,  Syukur Alhamdulillah.  Sambutan meraikan kejayaan itu lebih indah bila ada anak, menantu dan cucu.

Oleh itu jangan pernah rasa terlewat dengan apa yang kita lakukan.  Semuanya Allah dah aturkan untuk kita, kita hanya perlu mengikut perancangan Allah pada kita. Usah merasa kesal pada kehidupan lampau kita.  Setiap orang mempunyai peluang untuk berubah dan berjaya.  Jangan berputus asa.  Capailah matlamat kita mengikut kemampuan kita bagi mencari kepuasan diri.
hidup kita adalah hak kita.

Begitulah,

siti Hadijah Kusin.
1.21am.

Thursday 15 June 2017

Trauma

                Trauma sering dikaitkan dengan ketakutan, maksud sebenar trauma melalui kamus dewan adalah pengalaman yang dahsyat, trauma kecederaan, luka, keadaan sakit disebabkan oleh luka dan renjatan emosi.  Sesuatu peristiwa dalam hidup seseorang akan terjejas apabila mendapat renjatan emosi.  Berbicara tentang trauma ini membuatkan emosi seseorang kadang-kadang akan terganggu.  Biar kadang sesuatu peristiwa itu telah belaku berpuluh-puluh tahun, namun bagi mereka yang mengalami trauma atas peristiwa itu akan sentiasa mengingati apa yang terjadi..Ia ibarat layar lebar yang menayangkan cerita tersebut di depan mata.  Ada kalanya mereka yang mengalami trauma ini, akan berubah emosinya serta merta bila ada yang mengingatkan.  Sekiranya kita telah mengetahui tentang trauma yang dihidapi seseorang itu, adalah baiknya kita tidak langsung mengingatkan pada mereka.  Usah paksa mereka untuk menerima sesuatu keadaan itu dengan tergesa-gesa.  Trauma boleh diubati tetapi tidak semua orang akan akan dapat menerima rawatan yang dijalankan.  Perubatan secara psikologi klinikal adalah yang terbaik.

                Bercerita tentang trauma ini, aku mengambil peristiwa yang berlaku akibat perceraian.  Apatah lagi bila perceraian itu berlaku bukan kesalahannya.  Terkadang orang akan memandang sinis bila terjadinya perkahwinan duda dan janda.  Mereka adakalanya membawa zuriat daripada suami/isteri terdahulu, bukan semua orang boleh menerima anak pasangan yang dinikahi itu dengan secara menyeluruh, pasti ada kekurangan disana sini dan perlukan masa.  Sebagai anak,bila kita dibesarkan dengan ibu/bapa tiri kita kena saling faham memahami tentang keadaan itu.  Tidak semua ibu/bapa tiri itu jahat dan tidak berperikemanusiaan.  Adalah cukup baik bila mereka menyekolahkan, membesarkan dan mengahwinkan bila sudah sampai masanya.  Bukan mudah untuk seseorang itu melakukan semua ini dengan tiada masalah.  Pasti ada cacat celanya dan rasa tidak puas hati.  Bagi sesetengah individu ia tidak menganggap tentang status tiri yang dipegangnya kerana ia merasakan semua orang yang dibela oleh ibu bapa sama ada kandung atau tiri, itulah mereka yang menjaga mereka dengan sehabis baik.  Itulah adik beradik mereka tanpa sikap iri hati.  Namun sudah namanya manusia yang punya emosi dan perasaan, sikap negatif akan ada walaupun sedikit.  Tidak mudah untuk memberi kepuasan pada semua orang.  Oleh itu bersyukur dengan apa yang diperolehi dan sentiasa istiqomah.. Tidak semua pasangan yang terdahulu boleh menerima bekas suami/isteri mengahwini orang lain dan mereka bahagia.  Apatah lagi bila cara penceraian itu tidak dipersetujui.

                Akan berlaku konflik pada anak yang berlainan ibu/bapa dan anak pada perkahwinan baru.  Terkadang nampak elok dari luar tetapi di dalamnya berkocak hebat.  Jika seorang yang bersikap positif, perasaan negatif itu akan dibuang jauh-jauh dan menganggap apa yang berlaku adalah suratan takdir.  Ia adalah satu perkara yang cukup baik yang telah Allah janjikan untuknya.  Bila redha dan ikhlas dengan satu-satu perhubungan itu tidak akan berlakunya konflik.  Bersihkan hati dan jangan ada sikap irihati, dengki dan cemburu antara satu sama lain.  Bersama-sama ambil tanggungjawab sama ada ibu bapa itu kandung atau tiri.  Jika sekiranya ibu tiri kita tidak mahu bertemu dengan ibu kandung kita pasti ada sebab untuk dia berbuat demikian.  Mungkin ada trauma yang berlaku masa perjumpaan pertama dan ini menakutkan dia. Jadi jangan paksa dia untuk menerima ibu kandung kita dengan cara kita.  Luka itu kadang sudah sembuh tetapi parutnya tetap ada.  Apatah lagi bila ada sejarah silam yang tidak mahu diingat lagi.  Sebagai anak kita perlu menghormati perasaan mereka, bukan mudah untuk melupakan trauma yang terjadi dalam diri.  Kadang-kadang apabila pertemuan dilakukan secara paksa, mungkin akan terjadi peristiwa yang tidak sepatutnya berlaku.   Oleh itu untuk mengelakkan sesuatu perkara yang tidak diingini, hormat akan perasaan masing-masing.

                Pandangan penulis, trauma bukan perkara yang mudah untuk dilupakan apatah lagi jika ia adalah renjatan emosi.  Psikiatri mungkin boleh mengubati tetapi tidak secara menyeluruh.  Pasti ada bahagian yang mungkin tidak boleh diperbaiki, luka mungkin sembuh tetapi parut tetap ada.  Oleh itu langkah yang sebaiknya perlu di ambil untuk mengatasi trauma ini, Jika perlu menghindari ulangan trauma itu adalah lebih baik.  Macam penyakit mencegah lebih baik daripada mengubati.

Siti Hadijah Kusin
(samiza ezanie)

3.02am

Ilmu yang bermanfaat

            Adalah sesuatu yang merugikan apabila kita telah mempelajari sesuatu tetapi kita biarkan ilmu itu terperap dalam otak kita tanpa kesinambungan yang sewajarnya.  Ilmu kalau terus di biarkan akan luput dalam ingatan lama-kelamaan.  Oleh itu apabila kita telah mendapat ilmu, kita perlu sebarkan pada orang lain agar ilmu itu tidak hilang.  Mempelajari sesuatu benda baharu adalah satu keindahan yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.  Ia cukup menyeronokkan dan mengujakan.  Apatah lagi, bila ilmu yang kita dapatkan adalah ilmu yang memang kita ingin pelajari.  Mempelajari sesuatu benda baru membuat kita ingin mengetahui kelanjutan ilmu tersebut.  Sebagai contoh, bila kita telah berjaya mendapatkan ilmu membuat kuih tart nenas dan kita berjaya membuat kuih tersebut dengan citarasa yang tidak menghampakan.  Pasti kita akan mencuba kuih yang lain.  Jelas sekali bahawa semakin kita mengetahui sesuatu ilmu semakin kita ingin mendalami ilmu tersebut sehingga kita puas hati.

            Ilmu semakin kita mempelajari , semakin terasa banyak perkara yang kita tidak ketahui.  Di situlah timbulnya sifat keterujaan untuk mendalami sesuatu ilmu.  Walaubagaimanapun untuk mempelajari sesuatu ilmu perlu ada rasa minat yang mendalam dan tidak ada rasa berputus asa sewaktu dalam proses pembelajaran.  Apa juga ilmu yang dipelajari, pastikan ia adalah ilmu yang bermanfaat untuk keluarga, adik beradik dan orang sekeliling kita.  Jangan kita mempelajari ilmu untuk menjatuhkan orang lain.  Bagi penulis, apabila mendapat sesuatu ilmu baru, ia merasakan kekurangan dalam diri kerana ia merasakan banyak perkara yang dia ketinggalan dan tidak mengikut peredaran semasa.  Membaca adalah jambatan ilmu yang paling mudah, apabila rajin membaca banyak perkara yang boleh diketahui.  Proses pembelajaran boleh dipelajari secara formal dan tidak formal.  Universiti kehidupan adalah tempat yang paling baik untuk mempelajari tentang realiti kehidupan diri penulis dan orang lain.  Jangan salah menilai tentang ilmu yang didapatkan kerana ia merugikan diri sendiri dan orang lain.  Ilmu adalah perkara yang mesti dipelajari setiap masa dan sentiasa dikemaskini.

            Setiap orang mempunyai cara yang berbeza untuk mendapatkan ilmu.  Bagi penulis, ilmu adalah asas dalam kehidupan.  Menambah ilmu adalah cara untuk menaiktaraf kehidupan, tidak kira cara mana ianya dilakukan yang paling utama ilmu didapatkan dengan cara yang betul.  Mudah kita berbicara dengan orang yang berilmu berbanding dengan orang yang jahil.  Adalah satu perkara yang bijak bila kita menghindari perdebatan dengan orang yang jahil kerana mereka tidak akan faham akan landasan ilmu.  Imam Syafie menasihatkan agar tidak berdebat dengan orang yang jahil, sikap terbaik adalah diam.  Apabila kita melayan perdebatan kita kan mendapat susah dan bila ia menjadi rakan ia akan menyakitkan hati. Diam adalah kunci yang terbaik untuk menghindari masalah.  Diam bukan bererti kita takut tetapi diam adalah sebaik-baik cara untuk menghentikan sesuatu perkara yang tidak baik.  Oleh itu tuntutlah ilmu dalam apa cara sekalipun, usah hiraukan tentang usia tetapi risaukan akan kemiskinan ilmu yang kita ada.  Ilmu yang bermanfaat untuk semua.

            Hidup akan menjadi lebih indah bila ilmu yang kita ada bermanfaat untuk diri sendiri dan orang sekeliling,  Usia hanya angka, semangat dan keyakinan tinggi untuk mendapatkan ilmu itu lebih penting.  Kepuasan menuntut ilmu tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.  Keperitan dan kesakitan tatkala menuntut ilmu akan hilang bila dapat mengecapi kejayaan.  Kejayaan itu bukan boleh didapatkan dengan sekelip mata tetapi perlukan usaha yang berterusan dan sentiasa menambahbaik dengan ilmu yang sedia ada.  Menaiktaraf diri adalah satu cara untuk memberi kepuasan pada seseorang individu.  Kita tidak layak untuk menghukum seseorang jika kita sendiri tidak belajar untuk mengawal diri kita menjadi yang terbaik.  Mencari kesempurnaan adalah satu perkara yang setiap orang akan lakukan.  Cara bagaimana kesempurnaan itu didapatkan adalah tidak pasti, ia mengikut sikap dan minat seseorang itu.

            Bakat, minat dan sikap seseorang itu akan menjadikan seseorang itu mempunyai nilai tersendiri.  Nilai seseorang itu di ukur melalui personalitinya, setiap orang mempunyai personaliti yang tersendiri.   

Siti Hadijah Kusin,
(samiza ezanie)

2.13am