Friday 6 December 2013

Masihkah ada insan yang baik di zaman ini...

Perjalanan hari ini aku lalui cukup baik dan mengujakan.. banyak peristiwa yang kualami yang membawa seribu pengertian yang cukup mendalam.. Rahsia Allah tiada siapa yang tahu.. betapa begitu banyak nikmat yang DIA tunjukkan padaku hari ini...

Masihkah ada insan yang baik hari ini? Satu persoalan yang dapat kujawab dengan bukti yang aku alami sendiri.. Ya masih ada insan yang baik hari ini.... Aku bukanlah insan yang selayaknya menilai orang lain.. Siapalah aku.. namun.. hari ini aku belajar untuk mengenali sikap seseorang dan mencuba untuk menilai serba sedikit apa yang terbentang dihadapan mataku... aku adalah insan kerdil yang tidak punya apa.. hanya sedikit pengetahuan yang masih hijau... Mendalami ilmu psikologi membuat aku teruja untuk mengetahui tentang insan dari sudut pemikiran, tingkah laku, sikap dan segalanya berkaitan manusia.. Apatah lagi psikologi itu sendiri bermaksud kajian saintifik berkaitan tingkahlaku manusia dan proses mentalnya... secara tidak langsung melihat segala perbuatan manusia adalah bidang yang aku pelajari kini...

Sejujurnya sejak aku mempelajari bidang ini aku menjadi manusia yang cukup bersyukur dengan apa yang aku dapat di dalam dunia ini. Dimana Allah menarik nikmat satu cahaya penglihatanku tetapi dia mengantinya dengan seribu rahmat yang sukar aku gambarkan dengan kata-kata. Mengapa aku katakan begini... kerana mereka yang berada disekelilingku tidak akan tahu aku buta mata sebelah jika sekiranya aku tidak memberitahu mereka yang aku pemegang kad OKU. Aku dilayan seperti insan normal dan aku mampu melakukan semua perkara tanpa sedikti halangan pun... bagi aku Allah begitu menyayangiku kerana aku punya segalanya.. punyai insan-insan yang begitu menyayangiku... tanpa prejudis... Biarpun aku tidak kaya harta tapi aku kaya dengan kasih sayang.. Alhamdulillah.. Allah tahu apa yang terbaik untukku..

Berbalik kepada persoalan yang aku ajukan... aku ingin berkongsi sedikit apa yang aku rasa, alami dan lalui... Biarpun ada masanya aku diuji dengan berbagai ujian namun aku tahu semua ujian itu mengajar aku menjadi kuat.. setiap apa yang terjadi itu ada hikmahnya... Aku pegang kata-kata ini... jika kita baik dengan orang.. orang akan baik dengan kita.. cuma kita harus bijak untuk menangani semua perkara agar orang tidak mengambil kesempatan atas kebaikan kita.. Biarpun aku pernah diuji sebegini.. aku redha kerana aku percaya rahsia yang Allah sembunyikan adalah yang terbaik. Perancangan Allah cukup teratur dan teliti.. mengapa aku katakan begini... kerana setiap satu kejadian pasti ada hikmahnya.

Jika kita merasakan tiada insan yang baik di zaman ini.. kita silap.. kerana insan yang baik akan muncul dimana-mana saja pada saat dan ketika Allah mengkhendakinya.. biar siapapun kita.. latar belakang yang berbeza tetapi kita punyai hati.. Hati yang bersih sentiasa akan mengambil semua perkara secara positif. Persekitaran yang positif akan melahirkan insan yang positif.. Mengapa kita perlu berada dipersekitaran negatif jika kita mahu menjadi positif... Begitu juga insan-insan yang aku temui, aura positif diwajah mereka boleh dilihat dengan cara percakapan, perbuatan dan tindakan mereka. Dari pandangan mata kasar aku ini mereka-mereka ini akan sentiasa tersenyum dan akan terlihat bahagia. Bila bercakap dengan mereka kita kan merasai aura positif yang mereka zahirkan.. hebatkan... bila kita jujur dan ikhlas... kita akan dipertemukan dengan insan-insan yang baik ini. Jadi... ikhlaskan hati kita... biarpun sukar..

Dalami, perhalusi siapa diri kita.. agar kita tahu mana langkah kita nanti...

Hidup ini indah... cukup indah.. nikmati sebaiknya...

Samiza Ezanie
11.00pm..





Wednesday 28 August 2013

Hanya sekeping tulisan..... hanya dia yang tahu...

Aku masih mencari jawapan sehingga kini, mengapa dan mengapa terus menghantui disetiap persoalan diri ini.. Adakah aku bersalah kerana terlalu memberi ruang dan peluang padamu  atau kerana aku terlalu berlembut hati padamu yang pada hakikatnya semua ini hanyalah satu mainan perasaan yang tak berkesudahan..

Airmata ini mengalir bila mengingatkan kebaikan yang ditunjukkan hanya sebagai satu batu loncatan atas satu perhubungan yang tak sepatutnya berlaku. Mengapa kebaikan itu harus ada yang tersurat dan tersirat.. mengapa kau jebakkan aku pada kemungkinan yang tak sepatutnya berlaku. Mengapa kau harus gunakan kebaikan yang kuberikan padamu atas dasar persahabatan kau balas dengan permainan cinta yang memang sungguh tidak masuk akal. Mengapa perlu ada cinta posesif ini.. padaku ini tidak perlu.. Ikhlaslah dalam sebuah perhubungan kerana bagiku adalah lebih baik dari kau berikan cinta yang memang cukup mengarut…

Aku tahu ini semua tidak adil bagiku dan juga dirimu… tapi aku harus kuat untuk menepis semuanya.. airmataku sudah kering untuk mengalir.. persoalan demi persoalan sudah tak mampu aku jawab.. sandiwara apa yang telah kau tunjukkan padaku… aku tak mampu untuk meneruskan… betapa perasaan pelik akan menjadi semakin pelik bila kau  mula berkelakuan pelik dan berkata perkara yang pelik-pelik. Bagi aku jalan yang terbaik aku harus melangkah pergi.. Biar pun ianya sedikit menyakitkan tapi aku harus pergi sejauh yang mungkin.. biar kau hilang jejak ku… biar kau tidak bisa menurut langkahku.. biar aku terus hilang dari hidupmu… dengan satu alasan aku tak mahu terjebak dengan perkara-perkara pelik.. NOKTAH.

Atas dasar apa perkara ini harus berlaku.. tiada alasan yang memungkinkan.. Jika ada pun itu semuanya langsung tidak boleh diguna pakai. Tiada satu alasan pun yang boleh digunakan untuk menegakkan kebenaran yang sememamgnya tidak benar. Sudah berulang-kali hati ini sakit dengan pengakuan dan kata-kata indah yang sebenarnya tidak indah pun. Mengarut.. Hentikanlah.. sebab ini adalah yang terbaik untuk kau dan aku.. Biarlah aku sakit dari aku terus dkhianati dan diberi harapan palsu..  aku tak mahu.. Aku berhak menolak aku manusia biasa bukan luarbiasa. Aku punya hati punya perasaan.. punya rasa sakit.. punya rasa kecewa.. aku punya semuanya.. jadi atas alasan apa aku harus bertahan.. tiada alasan yang kuat untuk aku terus bertahan.. tiada alasan…

Maafkan aku.. kau memang baik pada awalnya.. tapi kau telah buat aku hilang kepercayaan padamu dengan perbuatanmu.. kau dah musnahkan segalanya.. aku kesal ini akhirnya.. aku kesal.. aku tak mampu nak pertahankan hati aku untuk terima semua ini.. kau telah musnahkan segalanya.. Tidak aku akan berpaling lagi.. tidak sesekali aku menoleh lagi padamu.. Mungkin agak terlewat untuk aku membuat keputusan ini tetapi bagi aku lebih baik aku terlambat dari aku tak sedar langsung… maafkan aku.. Terlalu sakit bila kepercayaan yang aku berikan kau balas dengan perbuatan sebegini.. Kau buat aku takut.. kau buat aku trauma.. kau buat aku fobia…

Terima kasih atas apa yang kau berikan padaku.. terima kasih begini akhirnya… aku tak menyesal kita dipertemukan tapi aku kesal dengan pengakhiran yang sebegini.. aku harap saat yang menyakitkan itu tidak terus menghantuiku.. mungkin ini jalan yang kau inginkan sebenarnya.. Cukuplah sandiwara dan cerita yang telah dipersembahkan… kau ibarat embun pagi yang datang.. hilang terus bila mentari muncul.. aku tak layak untuk dijadikan seseorang di dalam hidupmu… biarlah aku terus melangkah pergi tanpa menoleh ke belakang lagi.. kerana ianya tidak akan menyusahkan sesiapa… adil atau tidak.. aku dah tak sanggup… alasan apa lagi yang harus aku dengar… tiada alasan… tiada penerangan .. tiada apa perlu diperkatakan.. ianya sudah berakhir.. NOKTAH…

Monday 22 April 2013

Mood rajin nak menulis...

Alahai.. bila hati dah mula rasa sayang..
cinta sekukuh tembok cina ...
mulalah ada rasa rindu...
bila dah rasa rindu..
mulalah ada rasa cinta..
dan bila dah ada rasa cinta..
mulalah ada rasa nak memilikki...
bila dah memilikki mulalah nak menguasai..
Bila dah menguasai... apalagi sentiasa nak di sisi...

Begitulah lumrah hidup manusia dalam dunia ini..
tak pernah puas apa yang dimilikki...
dari satu langkah ke satu langkah seterusnya...
Cukup hebatkan...
Namun.. itulah rencah kehidupan..

Suka,
Sayang,
Rindu,
Benci,
Cinta...

Semuanya ada... macam-macam ada macam astro lah pulak kan...

Apapun dalam hidup ini biar banyak benda pun kita kena buat kita kena ingat
perlu ada rasa hormat pada insan lain...

Jika ada seorang kawan datang padamu dengan masalahnya..
Jadilah pendengar yang baik..
Jangan jadikan ianya satu beban tapi.. satu amal dari kita untuk kawan..
Siapalah kita.. untuk menolak jika ia dah ditakdirkan untuk kita..

Apa aku merepek ni labu...
Samiza Ezanie
22/04/13
10.40pm

Saturday 20 April 2013

Sekeping tulisan...

Diam dan tengok 
Menjadi pemerhati dalam diam, nampak tak kisah tapi dia adalah orang paling kisah dalam dunia.  Dia lebih suka menyembunyikan diri dari menonjolkan diri dan sesekali akan menonjol dengan kata-kata semangat bila dia melihat orang yang dia sayang berada dalam keadaan yang tidak stabil. Dia lebih suka begitu dan lebih selesa begitu. Menjadi pemerhati senyap dan muncul bila perlu.

Ada masanya menjadi pemerhati dalam diam dia menyimpan satu rasa orang lain. Membuat analisa tentang apa yang berlaku dihadapan matanya. Membuat kajiselidik tanpa sekeping kertas yang dinamakan lapuran. Semuanya tersimpan kemas di dalam hatinya dan bila dalam sesuatu keadaan itu membenarkan dia berbuat begitu dia akan bertindak mengikut kemampuan diri. Usah disalahtafsirkan apa yang dia lakukan, memang dia dah ditakdirkan begitu.. selesa dengan keadaan dirinya yang begitu.

Biarkan dia membuat segala kesukaan dia kerana dia tidak pernah untuk menganggu orang lain. Itulah dirinya yang sebenar tanpa melibatkan orang lain. Dia mengambil berat pada semua orang sehinggakan terkadang dia lupa untuk mengambil berat tentang dirinya sendiri. Terkadang orang tak pernah tahu pun tentang apa yang dia perbuat kerana dia melakukan sesuatu bukan untuk balasan tetapi sekadar untuk memuaskan hati orang dia sayang.

Butakah mereka untuk menilai hatinya, kebaikan yang dia sudah tunjukkan.. sentiasa ada bila diperlukan. Adakah mereka sengaja mengambil kesempatan atas kebaikan dirinya, memujinya bila dapat sesuatu yang dihajatkan dan dibuang bila tak diperlukan... mengapakah begitu kejam dia diperlakukan.. Dimanakah rasionalnya perbuatan mereka. Dimanakah hati mereka... namun begitu jika hati dia sudah terluka siapa yang yang dipertanggunjawabkan... dia merana.. dia kecewa.. siapa yang akan bangunkan dia... Dia sendiri mencari kekuatan dan semangat yang hilang. Dia sendiri bertindak mengikut rasional hatinya.. dia bangun dan bangkit dengan caranya...

Nampak kuat diluar belum tentu kuat di dalam... Nampak dia tersenyum namun hatinya menangis.. Nampak dia ketawa tapi hatinya dah MATI..

Hanya dia yang tahu apa yang ada dihatinya ketika dan saat ini...

Samiza Ezanie
8.39am
21/04/13
KTDI UTM

Bila mula rasa penat...

Bila kita dah terlampau penat dan overdose berfikir benda yang sama kita kan jadi terlalu letih. Bukan sahaja letih yang sedikit tetapi teramat letih dan malas nak berfikir lagi... biarlah ianya berlalu ikut keadaan. Terkadang kita tak mahu pun ia berlaku pada kita... tapi nak buat macam mana sudah dinamakan kehidupan. Suka atau tidak ia terpaksa kita lalui. Penat macam mana pun kena lalui juga. 

Bukan tak redha dengan apa yang berlaku tapi dah penat untuk berfikir dan terus berfikir jalan penyelesaiannya. Manusia dijadikan dari segumpal tanah dan perempuan itu sendiri diciptakan dari tulang rusuk kiri Adam dan dah tentulah sebagai seorang perempuan ianya mempunyai satu jiwa yang halus dan mudah tersentuh. Dah namanya perempuan bila hati terluka sedikit mula rasa terpinggir, apatah lagi bila dia perlukan seseorang di sisinya dan orang yang dia mahu itu buat macam tak reti lagilah sakit hatinya. Perempuan ni lembut tapi bila sampai satu tahap dia terluka dia akan menjadi orang yang cukup keras. Hatinya akan menjadi sekeras kerikil, tidak lagi fikir apa yang akan jadi pada orang pernah sakiti hatinya. Dia akan buang orang itu jauh-jauh dari hati dan hidupnya. Kalau dalam bahasa Facebook, "dinyahaktifkan" jadi bila sampai ketahap itu tiada apa yang perlu dibicarakan lagi. Biarlah perempuan itu berjalan sendiri mengikut naluri hatinya. 

Pada satu tahap yang dia sudah tidak mahu mengingati apa yang telah berlaku, jangan pujuk hatinya kerana itu adalah jalan sia-sia. Mungkin dia sudah memaafkan namun untuk dia kembali semula seperti dahulu kala adalah amat mustahil. Jadi biarkan dia... kerana hatinya sudah cukup terluka sehinggakan dia sudah tidak punya hati untuk berlembut lagi. Jangan di ingat perempuan yang nampak tidak kisah, simple, "humble", kasar dan sempoi itu tidak punya hati. Bila sampai satu saat bila hatinya disakiti dia adalah orang yang paling sensitif dan kejam dalam melupakan seseorang dalam hidupnya. Benar mungkin orang itu pernah bertahta dihatinya namun bila sudah banyak kelukaan diciptakan untuknya tiada jalan lagi untuk orang lain pujuk hatinya. Baginya semuanya sudah selesai dengan sempurna jadi tidak perlu diungkit dan disingkap ianya akan melukakan hati yang sudah sedia terluka.

Membina kekuatan diri akibat terluka memang memerlukan semangat juang yang tinggi, terus melangkah tanpa menoleh kebelakang. Mengejar impian yang terhenti akibat kelukaan demi kelukaan. Melangkah dengan hati yang keras dan kental tanpa berfikir kebelakang dan tidak pernah untuk mengingati semula kelukaan yang pernah dialami. Bila dia sudah berada di tahap ini dia akan menjadi sekeras-kerasnya manusia. Sukar untuk dilembutkan lagi. Saat ini bukan dia tidak memaafkan tetapi dia sudah tidak mahu mengingati apa yang berlaku. Biarkanlah dia pujuk hatinya sendiri...

Usah disangka "clear water no buaya" disitulah buaya yang paling besar duduk bertapa...

sekadar secebis tulisan..

Samiza Ezanie...
21/04/13
8.09 am  KTDI UTM

Monday 11 February 2013

rasa nak menulis...

Banyak pintu yang harus dilalui dalam hidup ini.. samiza ezanie
Berbicara seketika dipetang ini... tetiba tangan ni gatal untuk menulis... meluahkan segala yang terlintas difikiran... take five sekejap... penat berfikir secara keras... kepala boleh jadi blur... kita memang perlukan rehat.. Terkadang apa yang kita fikirkan tak sama dengan apa yang orang lain fikir... Terima itu semua dengan hati yang terbuka dan positif serta ikhlas... Siapa kita untuk memaksa orang lain untuk dengar apa yang kita cakapkan... kalau lah boleh memang sungguh aman dunia ni.. semua orang mendengar kata.. tanpa kata tidak... memanglah bermimpi kalau berangan sejauh ini.. Baik jangan nak berangan.... bangun terus dari tidur kita tu... aku memang tak nak berharap banyak dalam hal ini.. Kalau orang tu tak ikut cakap kita.. kita redha dan tawakal saja... mungkin ada hikmah dan kebaikannya...

Aku mahu jadi manusia yang lebih memahami keadaan sekeliling walaupun kekadang tak termampu untuk menerimanya.. siapa aku nak menolak takdir.. jika takdir itu memang milik aku... berbicara yang terkadang tiada siapa yang mengerti... namun semua ini perlu rasional walaupun banyak hati yang perlu dijaga.. asalkan diri sendiri cuba memahami apa yang diri kita mahukan itu sudah cukup.

Bila aura positif datang dalam hidup kita, jangan pernah untuk menoleh kebelakang... pandang terus kedepan tanpa banyak berfikir apa yang akan datang pada kita... harungi dengan berani kerana Allah mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Namun tak dinafikan terkadang ada juga terselit aura negatif... namun jangan fikirkan sangat... terus buang aura negatif sebelum dia mempengaruhi fikiran kita. Kadang orang cakap kat kita, adakah mudah untuk membuangnya? Jawapan aku mudah atau tidak bergantung pada diri kita sendiri. Kalau kita mahu ia mudah ia akan jadi mudah begitu jua sebaliknya. Tepuk dada tanya selera... semua bergantung pada diri kita bukan pada orang lain.

Hidup ini memang sebegini... perlu kuat untuk menghadapinya... walau kita ni tak sekuat mana...

Hidup ini indah..
Samiza Ezanie
18.25pm



Monday 28 January 2013

Ujian itu hadiah...

hidup ibarat lautan.. banyak rahsia tersembunyi didalamnya...
Semalam yang aku tinggalkan cukup memenatkan dengan karenah manusia yang bermacam-macam. Ramai sangat orang pentingkan diri sendiri disekeliling kita.. tidak terfikirkah mereka semua orang ada privasi sendiri.. cuba jangan nak kacau privasi orang.. marah tak kalau privasi terganggu.. marahkan? Kesimpulannya simple je.. kalau tak nak privasi terganggu jangan ganggu privasi orang lain.. cukuplah kan.. simple je pun.. 

Keegoan kadang-kadang membataskan kita untuk mengakui kesilapan diri.. hello!! rendahkan sedikit ego itu boleh tak? Tak rugi manapun.. untung lagi ada... perlu rendahkan ego kita dalam masa tertentu.. adakalanya kita perlu ego bila melibatkan prinsip.. setiap orang ada prinsip dalam hidup.. aku pun ada.. prinsip aku simple je.. kau tak kacau aku.. aku tak kacau kaulah... itu saja.. simplekan.. dan lagi satu positif dalam apa jua keadaan.. bila kita sentiasa positif benda negatif takut nak datang... betulkan..

'Perfectionist' sangat lah kau ni... uiiiii.. ayat yang begitu menakutkan aku... tapi bila melibatkan kerja perlu... sekali kita tersilap.. orang akan ingat sampai bila-bila. dan jadi bual bicara kedai kopi yang tak berkesudahan.. itulah fitrah hidup ini... aku ingat ayat mak aku.."bila susah orang keji orang hina.. bila kaya orang busuk hati.. dengki dan irihati.. semua serba tak kena" inilah fakta yang susah kita nak sangkal... Hakikat!

Apa yang penting bila kita nak berjaya.. tak payah nak toleh belakang.. terus pandang saja kehadapan.. fikir apa yang nak dibuat.. tak payah susah-susah fikir apa yang dah terjadi dibelakang hari.. fikir saja apa akan kita tempuhi akan datang.. siap-siap sediakan perisai.. simplekan... buat perancangan apa yang kita nak buat.. jangan main aci redah saja.. kelibutlah jadinya.. ikut prosedur.. ikut terma dan syarat dalam hidup kita.. apa yang boleh apa yang tidak.. akibat dan kesan itu perlu diambilkira.. jangan buat tak tahu saja.. Nak berjaya dalam hidup bukan senang beb.. susah dowh! Tak caya? Tengok diri kita dan fikir..

Motivasi untuk diri aku hari ini.. berjimat saat senang agar bila keadaan memerlukan kita tak perlu nak meraba sana-sini.. sediakan payung sebelum hujan beb.. hidup ini sukar tapi terpulang pada kita untuk jadikan dia simple... bagi aku tak payah fikir terlalu berat tentang sesuatu perkara yang tak penting.. releks sudah... siapa yang tak pernah diujikan? Anggap aje ujian itu hadiah dari Allah.. bukan senang beb nak jadi positif dan halau benda yang negatif ni... perlu masa dan pengorbanan.. tapi percayalah.. hidup ini indah sangat biarpun kadangkala sukar..

apa yang aku rasa...
Samiza Ezanie
5.35 am...


Sunday 27 January 2013

DUA JIWA JADI SATU BAB 26



            Rabiatul masih terus berfikir mengapa Farhan Afif menghilangkan diri selepas dia melahirkan sikembar dan abang sedar dari koma. Ada banyak tanda soal dikepalanya sekarang. Alhamdulillah setelah dua minggu abang sedar dari koma abang dibenarkan pulang. Cuma abang perlu menjalani rawatan susulan. Buat sementara mereka tinggal di Kuala Lumpur di rumah yang disediakan oleh syarikat Azman. Puan Sarimah dan Puan Halida ibu Azman sementara waktu tinggal bersama mereka untuk menjaga sikembar, Azman dan dia sendiri yang masih dalam pantang.
            Abang masih belum berapa kuat untuk melakukan sesuatu perkara sendirian, abang masih menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Jadi sukar untuk dia bergerak sendirian tanpa bantuan dari ahli keluarga.
            “Termenung apa isteri abang ni, abang dan adik dah tidur ke sayang?” suara Azman yang menegur mematikan langsung lamunan Rabiatul.
            “Tak ada apalah bang… sayang cuma terfikirkan mana perginya Han… entah mana dia pergi. Tak sempat nak ucapkan terima kasih atas segala bantuan yang dia berikan kat kita. Sayang bukan apa… dia tu baik budaknya nak juga kenenkan dengan Tiha tu. Ya lah… dah dia bapa angkat anak kita dan Tiha tu pun jadi mak angkat sesuailah kalau dijodohkan… Sekurang-kurangnya terubatlah hati Tiha dengan kehadiran anak-anak kita.” Pandai saja Rabiatul merancang untuk kehidupan orang lain.
            “Sayang ni pandai je nak jodohkan orang, ni nak buka bisnes ejen cari jodoh ke apa ni?” Azman mencuit manja pipi Rabiatul yang sudah mula berisi.
            “Taklah sampai buka bisnes.. sayang cuma nak kongsi sedikit dengan mereka kebahagiaan kita . Tak salahkan?” dah namanya Rabiatul ada saja jawabnya.
            “Salah tu tidaklah sayang tapi mungkin mereka ada perancangan mereka sendiri. Suami Tiha meninggal dunia sebab apa?” terkejut Azman bila diberitahu yang Tiha sudah menjadi balu.
            “Kemalangan dimalam pernikahan… dahlah bang tak mahulah cerita nanti sayang nangis. Kesian Tiha.. nanti kalau ada masa sayang cerita kat abang ya?” tak mahulah nak bercerita kisah sedih Tiha disaat abang masih belum pulih sepenuhnya. Ceritalah lain..
            “Baiklah sayang…” Azman memang seseorang yang memahami. Dipeluk isterinya erat-erat. Banyak perkara yang dia tertinggal saat dia koma, ada masanya dia sedih dengan apa yang berlaku namun dia percaya pada takdir Allah. Tiada sedikit pun perasaan cemburu pada Farhan Afif yang banyak membantu mereka kerana dia sedar tanpa Farhan Afif mungkin sukar untuk isterinya menghadapi semua ini. Dia pernah mendengar sebaris ayat yang masih diingat sehingga sekarang.. Allah ambil sesuatu kerana nak berikan sesuatu… satu keluhan kecil terkeluar tanpa sengaja..
            “Abang ni… siapa yang termenung sekarang ni?” Rabiatul menepuk perlahan lengan suaminya. Pandai je abang Jeman aku ni  mengata… dia sendiri pun sama.
            “Hahaha… maaflah sayang… khayal sekejap.” Berangan lagi..
            “Sayang boleh sayang tanya?” Rabiatul memulakan bicara sebenarnya dia dah lama nak tahu tentang perkara ini tapi kesibukkan membuatkan dia lupa.
            “Apa yang sayang nak tahu?” Azman mengeratkan pelukan pada isteri yang masih molek duduk disisinya..
            “Nama anak-anak kita kenapa ada iras nama Afif? Kenapa mesti Aman Afifi dan Amani Afifah?” sejak nama anak-anak diberikan ada satu tanda soal yang besar dikepalanya.
            “Oh! Abang ingat apa tadi.. sayang… abang nak abadikan nama orang yang bantu kita disaat kita ditimpa musibah. Abang nak kita semua mengingati Farhan Afif sebagai orang yang banyak berjasa pada kita. Abang rasa tak menjadi kesalahan pun. Lagipun maksud pada nama-nama itu pun bagus. Entah kenapa dia tak nak jumpa abang tapi abang dapat rasakan yang dia ada jumpa abang tapi abang tak perasan dia kot. Abang Radhi banyak bercerita pada abang tentang Farhan Afif dan abang rasakan memang dia seorang yang berhati mulia. Bantuan abang pada dia bukannya banyak pun dan abang tak harapkan balasan. Mungkin masa tu kalau orang lain pun kan buat tindakan yang sama macam abang. Abang sentiasa berdoa satu hari nanti abang akan jumpa dia biarpun sekejap.” Begitu tulusnya hati Azman yang langsung tiada rasa cemburu dan syak wasangka pada insan bernama Farhan Afif.
            “Mudah-mudahan bang… Abang Radhi kan ada bagitahu kita yang Han kena lapur diri kat tempat kerja baru. Berita tu dia dapat lewat sebab tu dia kelam kabut nak uruskan semuanya. Tak apalah bang… Insyallah satu hari nanti kita akan jumpa dia..” masih mengharap untuk bertemu Farhan Afif lagi tapi… mahukah Farhan Afif bertemu Rabiatul setelah apa yang diluahkan tempohari di dalam bilik bersalin. Adakah kerana itu dia tak mahu berjumpa dengan mereka berdua. Farhan Afif perasaan itu tak salah cuma tempat dia menaruhkan harapan itu salah… Rabiatul melentukkan kepala dibahu Azman.. Dia senang dimanjakan begitu.
           
            Dikeheningan malam Azman berteleku dimeja tulis dengan perasaan yang sebak, akhir-akhir ini dia terlalu rindukan nenek yang telah menemui Illahi lama sudah. Arwah nenek seorang yang penyayang dan dia memang rapat dengan nenek. Cucu kesayanganlah katakan… sudah dua malam dia mimpikan arwah nenek dengan wajah putih bersih bertelekung tanpa mengeluarkan sepatah kata. Cuma malam ini dia mimpikan arwah nenek mengusap rambutnya perlahan dan arwah nenek memimpin tangannya pergi ke satu tempat yang luas penuh dengan manusia memakai baju serba putih dan menutup aurat. Dia bingung dengan apa yang nenek cuba sampaikan…
            Mungkinkah ada sesuatu yang akan terjadi pada dirinya nanti. Alhamdulillah dia sudah berjalan sedikit tanpa bantuan sesiapa. Lagipun sudah tiga bulan dia keluar dari hospital. Semalam dia ada membuat rawatan susulan dan keadaan dia semakin sihat cuma doktor ada nampak satu tompok kecil dikepalanya melalui sinar X. Harap itu tidak membahayakan. Doktor ada kata mungkin keputusan itu akan didapati dalam masa seminggu. Kebimbangan diwajah Doktor Fuad tak dapat disembunyikan. Sejak akhir-akhir ini dia sering gelap mata, namun langsung tidak diadukan pada isteri tercinta. Tak sanggup rasanya untuk menyusahkan hati isterinya lagi. Cukuplah dengan kesusahan yang dilalui isterinya semasa mengandung. Cukuplah… Andai umurnya tidak panjang dia redha…
            Azman mengeluh berat, dia ada memberitahu isterinya untuk pulang ke Penang esok. Rindu pada rumah mereka.. sudah setahun dia tak pulang. Dia juga mahu melawat kubur arwah nenek. Teruja dia melihat Rabiatul mengemas. Insyallah lepas sarapan pagi esok mereka akan bertolak. Abang Radhi sudi menghantar mereka, untuk dia memandu sendiri agak mustahil.
            Azman merapati katil bayi yang menempatkan kedua-dua anaknya. Perasaan sebak tidak dapat ditahan lagi. Dicium keduanya, dipeluk mereka  tanpa membangunkan sikecil….
            “Anak-anak ayah jaga ibu kalau apa-apa terjadi pada ayah ya. Ayah dapat rasakan umur ayah tak panjang. Ibu seorang wanita yang tabah.. jangan sakiti hati ibu dan sayangilah ibu sebagaimana ibu menyayangi kamu. Ibu adalah wanita yang paling ayah cinta. Ibu adalah pelengkap hidup ayah dan tanpa ibu mungkin ayah tak mampu merasai nikmat bahagia ini. Ibu mengenalkan pada ayah betapa luhurnya cinta itu jika diiringi dengan kejujuran dan keikhlasan…
            Tiada siapa mampu menggantikan tempat ibu dihati ayah kerana ibu adalah segala-galanya bagi ayah. Dia adalah teman, sahabat, kekasih dan isteri ayah. Andai ayah tiada jagalah ibu. Carilah papa Farhan Afif.. ayah rasa ayah tahu kenapa papa kamu pergi macam itu saja tanpa khabar berita. Ayah pun lelaki.. ayah dapat rasakan dia tidak mahu mengganggu kebahagiaan ayah dan ibu. Mungkin jalan yang terbaik bagi dia tapi bukan bagi kami. Ayah nak sangat jumpa dia dan mengucapkan terima kasih pada dia… ingat pesan ayah ni. Cari papa kamu bila dah besar nanti.” Azman mengelap perlahan airmata yang dah mula mengalir. Anak didalam pelukkan seakan mengerti bila mula mengerakkan badan…
            “Ayah sayang kamu.. sayang sangat-sangat…. Jadilah anak-anak yang baik nanti. Anak yang soleh dan solehah serta mendengar kata. Semoga kamu menjadi anak yang berjaya satu hari nanti… jaga ibu jaga ayah…. Ayah sayang kamu…. Tapi ayah macam dah tak kuat nak… ayah penat.. kepala ayah sakit. Ayah tak nak susahkan ibu lagi.. ayah minta pada Allah supaya ambil ayah cepat daripada ayah buat ibu menangis… ayah tak mahu melihat airmata duka ibu mengalir lagi. Ayah tak mampu sayang… tak mampu… ayah letih…” esak tangis Azman makin hebat…
            Azman mengambil pen dan kertas ingin diluahkan segala isi hatinya di situ. Dia dapat merasakan umurnya tak panjang. Dia harus meluahkan segalanya di sini……
           
Subuh itu mereka dikejutkan dengan berita kematian Azman, baru semalam dia teruja untuk pulang ke Penang dan hari ini segala impian dan harapan itu musnah. Rabiatul terpukul dengan kejadian ini dan dia tak mampu berkata apa. Patutlah semalam abang teruja benar dan banyak benda yang dipesankan rupanya itu tanda abang nak tinggalkan mereka selamanya.
            Segala urusan jenazah dilakukan oleh keluarga Rabiatul da Azman. Rabiatul cuba memenuhi hasrat Azman yang pernah disuarakan sebelum ini yang ingin dikebumikan di sebelah kubur arwah nenek jika dia meninggal dunia. Biapun nada itu disuarakan sewaktu mereka bergurau tapi itu dianggap satu amanah yang harus ditunaikan. Anak-anak seakan mengerti yang ayah mereka telah meninggalkan mereka buat selamanya. Mereka tidak banyak karenah, langsung tidak menangis biarpun lampin mereka basah.
            Rabiatul memangku keduanya di depan jenazah sambil membaca surah yassin. Inilah tanda sayang dan cinta pada arwah. Biarpun airmata sesekali mengalir dia cepat menyekanya. Dia tak mahu roh abang nampak dia lemah, dia harus kuat demi anak-anak dan abang. Dia tahu roh abang berada disekeliling mereka dan melihat segala apa yang berlaku pada jasadnya. Janji dia pada arwah harus ditunaikan menjadi ibu yang terbaik untuk anak-anak. Tanda cinta yang akan dijaga hingga nafas yang terakhir.
            Bukan mudah untuk dia menerima kematian Azman dan dia tahu janji Allah pada manusia yang harus diterima dengan redha. Dia tawakal dengan segala ketentuan Allah buat dirinya. Biarlah hujan, guruh dan petir berdentum dalam hidupnya kini dia harus bangun dengan satu tekad untuk menjaga dua amanah arwah ini dengan sebaiknya.mendidik mereka agar menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Bukan mudah untuk dia lakukan sendirian namun dia percaya ada sinar untuknya satu hari nanti.
            “Adik… izinkan kami untuk mandikan jenazah Azman. Adik duduk kat sana dulu ya, bawa anak-anak adik pergi sana ya…” Abang Radhi bertutur perlahan pada Rabiatul yang masih duduk mengaji.
            “Abang boleh tak adik mandikan jenazah ini bersama-sama. Adik rasa inilah bukti kasih sayang adik yang terakhir buat arwah. Adik rasa tak menjadi kesalahan untuk adik mandikan jenazah kan? Adik faham kalau menjadi keberatan pada semua.” Permintaan tak terduga oleh Rabiatul membuatkan yang mendengar menjadi semakin sebak. Ini mungkin tak pernah dilakukan oleh orang lain sebelum ini. Adakah Rabiatul ingin mencipta sesuatu diluar kebiasaan orang di sini.
            “Adik.. abang faham perasaan adik sekarang ini.. jika benar adik ingin melakukan abang minta izin pada Pak Imam ya… adik tunggu kejap ya..” Abang Radhi bersuara perlahan dan berlalu pergi menuju kepada Pak Imam yang sudah bersedia ditempat mandi jenazah.
            “Pak Imam boleh tak izinkan adik saya mandikan jenazah suaminya bersama-sama. Inilah bukti kasih sayang yang terakhir dia pada arwah Pak Imam. Itupun jika tak menjadi keberatan pada semua yang berada disini. Saya agak permintaan adik saya ini memang agak pelik tapi saya rasa jika ini boleh menghapuskan sedikit kesedihannya apa kata kita tunaikan saja. Bagaimana Pak Imam?” Pak Imam Najib terharu dengan permintaan Rabiatul, dia memandang pada kariah yang lain. Jika ini boleh menghapuskan sedikit kesedihan si isteri dia tak keberatan untuk mengizinkan.
            “Macam mana semua, boleh izinkan isterinya bersama-sama kita memandikan jenazah?” Pak Imam Najib meminta persetujuan kariah yang berada disitu.
            Mereka semua disitu memandang sesama sendiri, sukar sebenarnya untuk membuat keputusan namun jika ini permintaan si isteri apa salahnya untuk ditunaikan. Benar kata Rabiatul inilah tanda cinta dan sayang buat kali terakhir. Mengapa tidak mereka tunaikan. Mungkin ini tidak pernah dilakukan oleh orang lain tapi biarlah kali ini mereka mengizinkan.
            Pak Imam Najib menepuk lembut bahu Abang Radhi dan memberi isyarat dengan senyuman dan anggukan kecil mengizinkan Rabiatul bersama-sama memandikan jenazah suaminya. Abang Radhi berjalan perlahan menghampiri Rabiatul dan memberitahukan tentang keizinan yang telah diberikan. Rabaitul mengucap syukur pada Allah kerana diberi keizinan untuk memandikan jenazah suami yang dicintai sepenuh hati.
            “Abang jaga adik baik-baik ya.. ibu nak mandikan jenazah ayah. Inilah tanda cinta yang terakhir untuk ayah dari ibu. Ibu sayang ayah sangat-sangat… tiada siapa yang mampu menggantikan tempat ayah… ibu sayang ayah.. sayang sangat-sangat.” Rabiatul mencium kedua anaknya dan terus mengiringi jenazah suami yang tercinta… Selepas ini suaminya akan menempuh saat perjalanan yang jauh menghadap Allah yang Esa. Semoga abang ditempat orang-orang yang beriman.
            “Abang, izinkan sayang untuk mandikan abang buat kali yang terakhir ya… Sayang tahu roh abang dengar… sayang nak abang dalam keadaan yang terbaik menghadap Allah yag Esa…” Perlahan Rabiatul berbicara pada jenazah yang terbujur kaku. Sebahagian orang yang berada disekeliling menyeka airmata yang mula mengalir.
            Ya Allah! Tenangnya wajah abang…. macam orang tidur je… Rabiatul mengikut arahan Pak Imam cara-cara memandikan jenazah dengan betul. Dia menggosok perlahan badan abang. Orang yang dah meninggal dunia pun rasa sakit bila kita gosok kuat-kuat. Jadi dia tidak akan sesekali untuk menyakiti jasad abang…  
            Abang Radhi dan Abang Raffi turut berada disisi Rabiatul, mereka kini menjadi tulang belakag untuk adik mereka. Tidak akan sesekali pun dibiarkan adik bongsu mereka sendirian.
            Sesudah memandikan jenazah Rabiatul turut sama membantu mengkapankan suami yang tercinta. Dia cuba menahan airmatanya dari gugur, dia harus kuat demi kasih sayang terakhir pada jasad abang. Pak Hishamudin dan Puan Sarimah tahu hati anak bongsunya itu sebenarnya sangat rapuh. Nampak sangat luaran saja yang kuat tapi dalamannya tidaklah sekuat mana. Mereka rasa lebih baik melihat Rabiatul menangis dari menahan perasaan yang mengelodak di dalam jiwa. Kesedihan anak itu dapat mereka rasai, semoga ada sinar untuk anak bongsu mereka nanti.
            Van yang hendak membawa jenazah Azman ke Penang sudah lama tiba. Mereka menyembahyangkan jenazah sebelum mereka membawa jenazah pergi. Setelah usai mereka meminta ahli keluarga untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah sebelum dibawa pergi. Seorang demi seorang mencium jenazah dan Rabiatul dan anak-anak adalah orang terakhir.
            Rabiatul membawa kedua anaknya bersama untuk memberi penghormatan terkahir pada arwah yang mereka sayangi.
            “Abang… terima kasih kerana memberi kebahagian buat sayang dan anak-anak. Sayang redhakan pemergian abang untuk bertemu kekasih yang sejati iaitu Allah yang SATU. Selepas ini sayang akan bersendirian menjaga amanah abang tapi sayang tahu walaupun jasad abang dah tiada namun cinta abang akan sentiasa temankan sayang dan anak-anak. Semoga kita akan bertemu di akhirat kelak. Abang tunggu sayang dengan anak-anak ya… Cinta kita tidak akan mati biarpun kita terpisah di dunia ini… cinta abang begitu tulus dan suci buat sayang terima kasih abang…” sayu dan pilu menyelubungi mereka yang mendengar luahan hati si isteri…
            “Abang, adik.. ayah dah tak ada tapi cinta ayah akan bersama kita buat selamanya… cium ayah sayang buat kali yang terakhir… selepas ini kita tidak akan dapat menatap dan menyentuh wajah ayah sayang… tapi cinta ayah tetap akan subur dihati kita.. kerana ayah adalah ayah yang terbaik buat kamu berdua…” Saat Rabiatul melekapkan pipi sikecil ke pipi ayahnya anak itu seakan mengerti. Mereka membuka mata dan mengeliat kecil dan tangan si adik seolah mengelus perlahan wajah ayah yang sudah kaku dan sejuk seperti ais.
            Abang Raffi mengambil sikecil dari pelukan Rabiatul. Mereka semua akan turut serta mengiringi jenazah ke Penang. Rabiatul naik bersama di dalam van jenazah bersama dua anak kembarnya. Abang Radhi dan Abang Raffi turut sama berada di dalam van itu. Mereka menurut saja kemahuan Rabiatul yang memang terkenal dengan sikap tegasnya bairpun kadangkala sikapnya mengalahkan budak kecil. Sepanjang perjalanan sikembar tidur dengan lena. Langsung tidak menyusu…. Seakan mengerti akan kesedihan ibu mereka yang kehilangan orang tercinta. Baru semalam gurau senda Azman mencuit hati kini semuanya tinggal menjadi memori indah yang mungkin tidak akan terlupakan. Rabiatul terus membacakan surah yassin sepanjang perjalanan tanpa rasa jemu atau penat. Segalanya untuk dia….. suami yang tercinta. Abang Jeman yang telah mengocak hatinya.. Abang Jeman ku sayang semoga kau bahagia di sana..
            Jenazah disambut dengan penuh penghormatan, arwah memang dikenali sebagai seorang yang berhati mulia dan baik pada semua orang. Sentiasa menghulurkan bantuan walaupun tak diminta. Rakan-rakan sekerja pun turut ada sama termasuk Mr. Lee bekas ketua abang. Biarpun berlainan bangsa mereka seperti sebuah satu keluarga yang besar. Saling memerlukan antara satu sama lain.
            Saat jenazah diturunkan ke liang lahad wajah sayu terlihat disekeliling mereka. Cuaca yang pada mulanya panas terik kini mendung. Alam seakan turut meratapi pemergian seorang insan yang baik dan berhati mulia. Saat talkin dibacakan keadaan menjadi semakin sayu. Rabiatul tetap setia memangku kedua anaknya. Abang Raffi dan Abang Radhi cuba memujuk untuk mengambil salah seorang dari mereka namun dihalang keras oleh Rabiatul. Hanya satu jawapan yang diberi… merekalah kekuatan Rabiatul sekarang ini….
            “Adik… jom kita balik.. semua orang dah balik… lagipun hari dah nak senja.. kesian dengan anak-anak. Jom kita balik ya..” pujuk Abang Radhi lembut…
            “Adik….mak tahu adik sedih.. kami pun sedih.. kami kehilangan satu-satunya menantu lelaki. Sekuat manapun kasih sayang kita pada arwah lagi kuat kasih sayang Allah pada arwah sebab itu dia ambil arwah. Kita kena redha dengan takdir Allah pada kita…” suara Puan Sarimah yang lembut membuatkan Rabiatul mendongak memandang wajah ibu yang disayang. Melihat sekeliling keluarga kedua belah pihak masih disitu setia menemaninya… Ya Allah! Terima kasih atas apa yang kau beri padaku… kasih sayang keluargaku dan suamiku tetap utuh bersamaku… Rabiatul berdiri dan menatap pusara itu buat kesekian kali…
            “Abang.. sayang pergi dulu ya… nanti ada masa sayang akan datang lagi.. damailah abang di sisi Allah yang Esa. Janji sayang pada abang Insyallah akan jaga amanah abang ini sebaiknya… kasih sayang dan cinta sayang tak cukup kuat untuk mengikat abang di dunia ini… Semoga abang tenang dan damai bertemu kekasih sejati abang… Insyallah satu hari nanti kita akan berjumpa diakhirat…
Cinta abang adalah kekuatan sayang.. tetap harum subur dihati.. kerana dua jiwa kita telah menjadi satu setelah abang melafaz akad pada Tok Kadi… Biarpun jasad kita terpisah namun jiwa kita tetap satu tersemat dihati untuk selamanya… selamat tinggal abang.. terima kasih kerana telah membahagiakan sayang biarpun seketika tapi itu sudah cukup buat sayang. Abang segalanya untuk sayang…” tiada sendu hanya wajah yang sayu… airmata janganlah kau tumpah disini kerana aku harus kuat kerana aku rasa roh abang sentiasa melihatku… aku tahu dia ada disampingku saat ini… cintaku kau telah pergi dengan membawa hatiku sekali…. Aku redha dengan takdirmu Allah…

p/s bagi yang mengikuti e-novel ini maafkan saya.. kesuntukan masa dan kesibukan sebagai pelajar semula membataskan saya untuk update blog saya.. In Shaa Allah saya akan cuba menguruskan masa saya sebaiknya..

Samiza Ezanie..
27/01/2013 
23.23pm


Tiba-tiba jemari ini gatal untuk menulis..

gambar hiasan
        Bertemankan muzik Richard Clayderman, petikan pianonya menusuk terus ke kalbu aku tanpa dapat aku sekat biarpun aku baru saja mengenali dia.. Bagi aku dia seorang pemuzik yang hebat, dulu aku hanya tahu Mohram, Kenny G, Kitaro, Mozart, Beethoven, Vanessa Mae.. tetapi kini aku mula mengenali beberapa nama lain yang bagi aku punya aura tersendiri seperti Raul Di Blasio, Karin Leitner dan Bogdan Alin Ota( dia bekerja biasa.. tak silap aku berkaitan dengan mesin fotostat..) dan pemain piano terpantas di dunia Andre von Melochin dan sedang aku mencari muzik-muzik yang sedap untuk aku dengar.. aku terjumpa budak kecil ini.. Yoo Ye Eun.. hanya berusia 5 tahun.. dia sebenarnya seorang gadis buta tapi dia boleh bermain piano dengan baik hanya dengan mendengar muzik terlebih dahulu atau dengar orang menyanyikan sesuatu lagu dan dia boleh memetik piano dengan begitu yakin.. Subhanallah.. Keajaiban yang Allah tunjukkan depan mata kita sebenarnya membuka mata kita untuk terus berfikir dan mencari rahsia yang tersembunyi..

        Kadangkala bila ada masanya aku mahu berfikir secara aktif dan mahukan suasana yang agak brutal aku akan dengarkan muzik BIGBANG dan SUPERJUNIOR. Agak pelik bagi sesetengah orang yang dah agak berusia mendengar lagu sebegini tapi bagi aku muzik ini seni.. Dia tidak pernah memilih siapa pun pendengarnya.. Bagi sesetengah orang akan berfikir orang seni ini agak pelik dari segi cara dan pemikiran. Apapun pendapat mereka itu hak mereka. Bagi aku.. hidup ini simple.. berfikir secara positif, bertindak secara positif.. buat apa yang kita mahu buat tanpa mudah mengalah dan buat sesuatu dengan yakin tanpa perlu memikirkan akan kekalahan atau kegagalan. Hanya fikir akan kejayaan yang akan digapai.. simplekan?

gambar hiasan
        Bukan mudah untuk kita berfikir tanpa memperdulikan orang disekeliling kita. Perlu juga fikir tentang mereka, yang penting jangan sampai ada hati yang terguris.. itu sudah cukup. Jaga nama baik orang sekeliling kita.. sebelum kita bertindak perlu buat timbang tara.. kebaikan dan keburukan.. kesan dan akibat.. setelah kita yakin semua itu sudah diambil kira.. DO IT! 

        Mengubah diri menjadi positif agak sukar sebenarnya.. sebelum aku menjadi positif banyak halangan yang harus aku tempuhi.. bangun dari kegagalan yang cukup sukar, kekecewaan dalam hidup dan kepayahan akibat dugaan yang datang.. Benar.. Allah menguji hambaNya mengikut kemampuan mereka. Bagus juga aku diuji kerana dengan ujian itu aku mampu ke tahap sekarang. Terlalu banyak dugaan dan tak mampu untuk aku ingat satu persatu.. bagi aku tak perlu mengingatkan saat yang mendukakan kerana akan menjadikan hidup aku jadi negatif.. Biarlah dia terus menjadi bahan sejarah dalam hidup aku. Tak perlu dikenang dan diungkit lagi.. kerana tanpa luka kita tak mampu untuk bangun seperti sekarang.. sebenarnya luka itu bahagia..

       Apa yang penting setiap sesuatu kejayaan yang digapai ada orang dibelakang kita.. kita tak mampu untuk bergerak sendiri.. bangun sendiri.. pasti ada tangan yang menghulur dan pasti ada tangan yang menarik.. hargailah mereka yang sentiasa ada untuk kita.. bagi aku.. keluarga banyak memainkan peranan untuk sesuatu kejayaan dan kebahagiaan. Mereka ada untuk kita saat senang mahupun susah.. saat menangis.. saat ketawa.. mereka sentiasa ada.. rakan memang ada.. tapi mampukah mereka menjadi seperti keluarga kita.. jika ada mungkin satu dalam sejuta.. aku bersyukur aku juga punya kawan seperti ini..

       Alhamdulillah.. segala pahit manis dalam kehidupan aku ini cukup banyak dan kenangan itu cukup indah untuk diredah.. Colourful of life! Fantastic! Believe or not! Failure is step to success..
Jangan toleh belakang.. move on!!!!!!


Nukilan rasa,
Samiza Ezanie
27hb Januari 2013 

Saturday 19 January 2013

Impian dan realiti...

gambar hiasan
Bila berbicara tentang impian.. semua orang suka mengimpikan sesuatu yang indah, terkadang memang pelik sungguh.. dan ada juga impian itu agak mustahil untuk dicapai.. bagi aku impian perlu ada dalam diri manusia..

Apakah IMPIAN kita?
Impian satu keinginan dalam diri manusia. Menginginkan sesuatu untuk dirinya dan orang yang berada disekelilingnya. Sukar atau mudah untuk mencapainya bergantung pada apakah impian itu? Bukan mudah mengapai segala impian kita, terkadang perlukan pengorbanan dari diri kita sendiri dan orang sekeliling kita. Impian bukannya hanya sebagai menanam tebu ditepi bibir.. impikan sesuatu TETAPI tidak berusaha untuk mengapainya... ibarat menanam pokok tanpa disiram air dan dibaja. Memang impian itu akan terkubur begitu sahaja..

Impian.. perlu diusahakan dengan sebaiknya... untuk mencapai satu impian kita perlu draftkan apa yang perlu dilakukan..
1) Perancangan..
    Merancang impian kita, mengikut kesesuaian diri kita dan apakah impian itu mudah atau sukar untuk digapai. Buat perancangan jangka pendek dan panjang. Tetapkan matlamat kita bila impian itu wajib berjaya dilaksanakan. Merancang dengan teliti mengikut langkah-langkah yang sudah dikenalpasti. Jangan syok sendiri tanpa fakta. Akan menyusahkan diri sendiri.. Perancangan biar betul-betul.. jangan sibuk dok merancang perlaksanan tu tak ada.. tak guna jugalah kan?

2) Perlaksanaan
    Melaksanakan sesuatu impian itu mengikut perancangan yang telah dibuat pada awalnya. Jangan "jump step" susah hendak menguruskan semula. Ikuti langkah-langkah perancangan. Pastikan ianya betul dan tepat. Jangan sesekali mengubah tanpa fakta yang betul. Jangan dok pandai-pandai ya nak menukar segala bagai perancangan tu... memang nak kena ketuk kepala tu...

3) Mencapai Matlamat
   Apakah matlamat kita untuk mencapai impian kita. Tetapkan matlamat kita jangan buat sambil lewa.. tak mudah untuk tetapkan hati sebenarnya.. kena kuat menahan segala dugaan dan ujian yang datang. Terkadang ujian yang datang tidak disangka-sangka. Kita perlu mencari penyelesaian secepat mungkin untuk tidak gagal dalam mencapai matlamat. Mencapai matlamat tu perlu dik non.. jangan buat sesuka hati potong Q atau berhenti.. baik tak payah ada matlamat.

Contoh: Impian - Mendapat segulung ijazah bagi yang berumur dan berkeluarga.

Mesti nak dapat dia ni....
1) Langkah pertama - Perlu ada perancangan yang betul, bila dan dimana? Berapa lama? Perbelanjaan?  Masa? Sesuai atau tidak perancangan yang dibuat? Ambilkira semua sudut jangan buat cacamarba.. Mesti fikir dan ambil kesemuanya secara positif dan negatif. Apa kelebihan dan keburukan?

2) Langkah Kedua - Perlaksanaan mengikut perancangan yang dibuat. Pertama, kenalah buat permohonan mengikut jurusan yang mahu diambil. Setelah menerima jawapan bersiap sedia untuk mendaftar. Mengikut tutorial dengan jadual yang telah disediakan jangan ambil mudah sahaja. Pastikan belajar bersungguh-sungguh.

3) Langkah Ketiga - Mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Pastikan berkerja keras untuk mencapai matlamat. Jangan ikut suka hati mak bapak tiri laki mak dia.. memang tak berjayalah kan.. Pastikan akan mencapai segulung ijazah dalam waktu yang ditetapka... Yahooooo! berjaya...


Apapun impian kita.. jangan jadi macam angan-angan MAT JENIN. Pandai berangan tapi satu apa pun tak dibuat.. memang tak akan menjadi.. akhirnya jatuh gedebus... kan dah sakit badan..
Jadi setiap apa yang hendak dibuat perlu ada perancangan, perlaksanaan dan matlamat. jangan buat macam hangat-hangat tahi ayam.. memang tak akan berjaya.. bagi aku impian perlu ada dalam setiap diri manusia. Perlu ada anjakan paradigma dalam diri kita. Jangan biarkan hidup kita dibelenggu sikap malas dan negatif.. Perlu berusaha untuk berjaya. Jangan kata TIDAK pada apa yang kita impikan. Biarlah apa orang nak kata yang penting apa yang kita buat itu betul dan tidak melanggar norma-norma kehidupan kita..

Hidup ini cukup indah nikamati sebaiknya...
Samiza Ezanie.. peace yoooooo.



Thursday 3 January 2013

Dah lama tak update blog...

Assalamualaikum dan Salam Satu Malaysia..

Lama dah tak update blog... banyak benda yang aku buat sejak akhir-akhir ini. Bekerja, belajar dan rumahtangga dalam satu masa yang sama agak memeritkan.. berbagai dugaan terpaksa dihadapi. Pahit dan manis. Memang berpusing 360 darjah kehidupan ini.. banyak benda yang harus dibuat dan banyak hati yang perlu dijaga. Perlu seiring semuanya.. Pengorbanan yang menuntut kesabaran, ketabahan dan sokongan orang sekeliling.

Mendalami ilmu psikologi memang menyeronokkan, menyelongkar segalanya berkaitan dengan kehidupan manusia dan permasalahannya. Dulu aku tak tahu pun otak kiri, otak kanan, sel kelabu dalam otak dan sebagainya. Dulu aku hanya kenal nama Donald Trumph hanya sebagai pengasas the apprentice dan aku tak kenal pun Warren Buffet, Taufik Pasiak, Robert T. Kiyosaki, Dale Carnegie, John Gray, Steve Chandler, Scott Richardson dan beberapa nama lagi. banyak sudah buku motivasi aku baca, buku pengurusan pun dah banyak aku teroka. Betapa aku selama ini tidak mengetahui banyak benda. Sekarang Alhamdulillah walaupun tak banyak aku cuba untuk belajar sedikit demi sedikit. Kata orang lebih baik terlambat dari tak buat langsung kan?

Melangkah setapak untuk berjaya dan terus berjaya mengapai impian. By hook or by crook aku mesti mencuba sedaya upaya untuk mengapai impian. Jika jatuh terus bangun semula jangan kata berputus asa dan menyerah kalah.

Apapun tahun 2013 telah membuka lembarannya banyak benda yang harus kita buat. Jangan pandai membuat azam tapi tak berusaha langsung untuk melaksanakannya. Jika tak tercapai sepenuhnya apa kata berusaha untuk mengapai sebahagian daripadanya.. Jangan pernah malu untuk berusaha kerana tanpa usaha kita tiada apapun.. Jadi berusahalah sebaiknya.. Kerana impian itu cukup indah untuk digapai.

Hidup ini indah..
Samiza Ezanie