Friday 2 November 2018

Larilah sepantasnya..

Puas berfikir dan akhirnya kau serah padaNya yang satu.  Hanya dia Maha mengetahui apa yang terbaik untuk kau.  Kau berserah padaNya, Kau dah berusaha sedaya mungkin, namun masih  kau temui kebuntuan.  kau akan buat yang terbaik untuk diri kau menongkah arus biar berseorangan kau akan redah.  Kejayaan bukan datang dengan mudah tetapi dengan usaha.  Allah tahu kau mampu menempuh segala ujian sebab itu Allah menguji kau.  Berbagai sudah kau jalani dan lalui, jatuh bangun itu sudah biasa.  Kau akan berjalan dengan penuh bergaya satu hari nanti.  

Menghabiskan Master adalah cita-cita kau dan kau akan habiskan sebaik mungkin.  Kau tak boleh tamak, ada sebab mungkin Allah beri kau ujian.. beri kau halangan. Mungkin kau belum cukup bersedia untuk menongkah arus.  Biarlah orang tertawakan kau sekarang, Insyallah kau akan tutup mulut mereka dengan kejayaan.

Sokongan daripada orang yang terdekat itu paling utama, namun begitu ia tidak semudah yang dijangka.  Kau kena kuatkan diri kau sendiri.  Apabila kau jatuh, kau sendiri yang akan rasa sakitnya.  Bukan orang lain, waimah keluarga kau sendiri tak akan rasa sakit seperti apa yang kau rasa.  Kau kena melawan seorang untuk jadi kuat. Usah berharap banyak tentang itu, daripada kau meminta kau rasa lebih ‘down’ lebih baik kau usaha mengikut kemampuan kau.

Menangislah semahumu, keluarkan airmatamu sepuasnya.  Itu akan meredakan perasaan kau sendiri.  Beban berat di dadamu akan ringan sedikit bila kau menangis.  Usah jadi orang yang lemah.  Kau mampu atasi semua ini dengan usaha kau.  Cukuplah dengan apa yang berlaku pada diri kau.  Cukuplah orang pergunakan kau.  Cukuplah… Gunakanlah ilmu yang ada untuk kepentingan diri kau.  Itu adalah nilai diri kau, bukan nilai orang lain.  Jangan terbawa-bawa emosi yang menjadikan kau lemah dan simpati.  Ia akan menjadikan kau lebih tak mampu untuk mengawalnya nanti.  Kau adalah diri kau sendiri.  Bangun dan berjalanlah dengan nilai yang kau ada.

Allah berikan kau kekuatan untuk menjadi unik dan edisi terhad.  Jalani dengan penuh berani, hapuskanlah airmata.  Berjalanlah.. bangunlah.  Penghinaan yang kau terima, kau balas dengan kejayaan.  Usah cepat mengalah, jangan putus asa.  Memang pahit apabila orang yang kau sayang perlekehkan segala usaha kau.  Itu adalah perkara yang sadis dalam kehidupan.  Percayalah ia akan menjadikan kau lebih kuat dan kuat.

Kau bangunlah… jangan mengalah.  Sebarkan ilmu yang kau ada.  Jangan putus asa, sakit yang datang akan hilang bila kau redha.  Hanya kau yang faham diri kau, kau saja yang tahu kekuatan kau.  Kau jangan rebah, kau larilah sekuatnya.. larilah sepantasnya.  Kau kan kuat macam POWER RANGERS.


Samiza Ezanie
4.07 petang
2/11/18

  

Tuesday 27 February 2018

Bergurulah.

Zaman teknologi atau zaman canggih, semua maklumat boleh di dapati semudah ABC.  Sekali klik banyak maklumat yang kita perolehi.  Kesahihan ilmu itu tidak dipastikan sama ada benar atau palsu.  Oleh itu berhati-hatilah, carilah guru yang pakar dan bertauliah untuk mendapatkan ilmu yang sahih dan benar.  Jangan sesekali menuntut ilmu tanpa bimbingan guru yang bertauliah.  Belajarlah sedari awal dan jangan sesekali cedok di tengah-tengah.  Ia amat merbahaya sekali, salah menuntut ilmu akan memberi implikasi buruk pada diri dan orang sekeliling.

Menuntut ilmu itu amat digalakkan, ia boleh menambah nilai diri dan den
gan ilmu itu boleh digunakan untuk menaikkan taraf ekonomi diri sendiri dan orang sekeliling.  Bila kita salah menuntut ilmu dan ilmu itu kita sebarkan maka berpanjanganlah ilmu yang salah tersebut dari asbab kita.  Sebagai manusia yang bertanggungjawab dan memegang amanah, maka carilah ilmu yang terbukti sahih dan berguru dengan sebenar-benar guru.  Jangan berguru semata-mata di internet,  Lagi salah bila kita hanya tahu ABC tetapi kita seolah-olah telah tahu sehingga Z.   Ibarat kita belajar peringkat sijil, tetapi kita berkongsi seolah -olah kita telah mempunyai PhD dalam ilmu itu.  Bahaya yang teramat jika ini terjadi.

Mempelajari sesuatu ilmu itu ada nilai tersendiri yang wajib kita bayar dengan wang, tenaga dan masa.   Banyak yang kita korbankan apabila kita mahukan sesuatu ilmu.  Jadi adalah tanggungjawab bersama untuk menegur sesama manusia, jika terdapat kekeliruan.  lagi-lagi ilmu yang salah dikongsikan dan dijadikan mata pencarian.  Dimanakah keberkatan rezeki itu?  Hidup perlukan wang tetapi jangan jadikan wang itu sebagai satu batu loncatan untuk menyebarkan ilmu yang salah.  Faham ke faham.  Kita tiada pilihan dan kita mesti faham apa itu ilmu yang bermanfaat dan bergurulah dengan orang yang betul.

Contoh, kita mahu berniaga tudung.. maka kita perlu mencari guru yang mahir proses pembuatan tudung, ia bermula daripada pemilihan fabrik, jahitan dan pemasaran.  Kita tak akan berguru dengan nelayan untuk berniaga tudung.  Nelayan tugasnya mengutip hasil laut atau sungai, mereka mahir dalam mendapatkan hasil laut.  Mereka mahir menggunakan perkakasan berkaitan dengan ilmu menangkap ikan. sama ada secara kecil-kecilan atau besar-besaran.  Rasanya kalau kita beri mereka fabrik, mahu jadi tali sauh fabrik tersebut. jelaskan...

hidup ini kita ada pilhan. buatlah pilihan yang tepat untuk diri kita, capailah apa yang nak dicapai dengan cara yang betul dan amanah pada diri.

Mak Jah.
Sentiasa mahukan imu yang baru.

Saturday 10 February 2018

SPEAK 2018 yang menyeronokkan dan impak yang cukup positif.


Semalam Mak Jah menghadiri satu program yang bertaju "ROAD TOUR SPEAK WITH CONFIDENCE",  sejujurnya pandangan Mak Jah satu program yang cukup bermanfaat dan bagus untuk Mak Jah yang sering terlibat dengan 'public speaking'.  Banyak ilmu yang telah Mak Jah pelajari dalam bidang komunikasi.  Slot yang paling Mak jah suka adalah slot 'breathing' iaitu bagaimana cara bernafas dengan betul untuk meredakan emosi kita.  Ia seolah-olah perkara yang biasa tetapi menjadi luarbiasa apabila kita dapat mempelajari cara yang betul.


Sering mak Jah persoalkan bila orang sering menggunakan perkataan "FAHAM KE FAHAM" BOLEH KE BOLEH",  Mak Jah pernah bertanya sebelum ini kepada mereka yang sering menggunakan perkataan ini, tetapi bila Mak Jah bertanya mereka tidak memberikan jawapan yang tepat untuk Mak Jah.  Mak Jah adalah manusia yang percaya dengan fakta dan penerangan yang jelas, bukan main cedok perkataan itu dan guna.  Bagi Mak Jah kita tak perlu guna perkataan yang kita sendiri tak faham apa yang dimaksudkan ayat tersebut.  Semalam Tuan Rizal Rashid telah menerangkan secara terperinci berkaitan perkataan ini dan Mak jah cukup berpuashati dan gembira yang amat sangat sebab akhirnya Mak jah dapat jawapan yang tepat setelah sekian lama mencari jawapan itu.  Rasanya lebih dari 2 tahun untuk Mak Jah dapatkan jawapan ini.  Begitulah cerewetnya Mak Jah bila membabitkan persoalan yang memang Mak Jah nak tahu jawapannya secara ilmiah dan fakta. 

Ilmu yang kita pelajari dan bila kita kongsikan ia cukup bermanfaat untuk diri kita dan orang lain, Mak Jah sedar usia Mak Jah semakin meningkat dan masa sering mencemburui Mak Jah dan Mak Jah wajib mengambil langkah yang perlu agar hidup yang semakin singkat ini digunakan dengan sebaiknya.  Kita tak perlu mempersoalkan apa yang orang lain buat untuk kita, tetapi kita kena persoalkan apa yang kita buat untuk orang lain.  Jangan kita pernah rasa cukup dengan ilmu yang kita ada kerana ada orang lain yang lebih berilmu dari kita.  jangan sesekali bongkak dengan ilmu kita.  Kau rasa kau hebat.. ada orang lebih hebat dari kau... kau rasa kau lebih berilmu .. sebenarnya ada lagi orang lebih berilmu dari kau.  Sejujurnya tiada siapa yang lebih hebat melainkan SANG PENCIPTA iaitu ALLAH yang satu. 


Kadangkala tanpa kita sedar ilmu yang kita pelajari sering berkaitan dengan ilmu-ilmu yang lain.  Kita jangan taksub pada satu ilmu saja.  Kita perlu membuka ruang untuk ilmu lain masuk ke dalam diri kita.  Tidak semestinya kita orang psikologi kita hanya perlu mempelajari ilmu psikologi itu sahaja.  Kita perlu banyak belajar dan belajar ilmu yang lain..  Bagi Mak Jah menuntut ilmu ibarat kau tidak tahu apa-apa tentang ilmu tersebut.  Bila kau kosongkan diri kau, kau akan rasa bebas untuk menerima ilmu.  Lihat orang-orang yang berjaya, mereka tidak pernah mendabik dada dengan ilmu yang mereka ada.  Mereka kongsikan ilmu itu untuk digunakan oleh orang lain. 

SPEAK 2018 menjadikan Mak Jah lebih yakin untuk berkongsi ilmu yang Mak jah ada pada orang lain.  Mak Jah yakin Allah akan beri Mak Jah ilmu yang lain untuk menambah ilmu yang sedia ada.  Kita jangan suka buat sembang lebat atau sembang kari untuk menyakinkan orang lain, apatah lagi dalam bisnes.  Apabila kau bercakap tentang sesuatu pastikan kau cukup ilmu dalam bidang itu dan mahir untuk menggunakannnya... Jangan sesekali kau tahu baru E kau sembang macam kau dah khatam ilmu itu beratus kali.  Berkomunikasilah cara yang baik dan bermanfaat bukan berkomunikasi untuk menganiaya dan menipu orang lain.  Hidup kau tidak akan berkat dan kau sendiri akan susah untuk menghadapi orang lain.  Tak mengapa kau nampak bodoh di mata orang lain tetapi kau tak menipu dan menganiaya.  Kemahiran "sweet talker" jangan kau gunakan untuk menipu. Itu salah dan paling teruk. 

Semalam Mak Jah juga belajar tentang gelombang otak,  Beta, Alpha, Teta, Delta.  Seolah Mak Jah "recall" balik ilmu ini.  Mak Jah pernah mempelajari sebelum ini semasa mengambil Ijazah psikologi. Ia secara tidak langsung memantapkan lagi pengetahuan yang sedia ada.  orang sering kali mengatakan kepada Mak Jah kenapa suka beli buku.  Mak Jah memang suka membaca dan bila kau membaca, jiwa kau tenang dan bahagia.  

Dalam hidup kita perlu menambah nilai dalam diri kita.  Nilai yang baik bukan nilai yang buruk  Nilai yang ada dalam diri kau itu adalah kelebihan kau daripada orang lain..Usah kau ingat masa lampau kau yang tidak menyeronokkan kerana apa yang kau perlu FOKUS adalah apa yang kau lakukan sekarang.  semua orang ada kisah silamnya yang tidak menarik untuk dikongsi, tetapi kadang-kadang dengan kisah silam itu kau perbaiki diri kau dan kau menjadi apa yang kau nak jadi hari ini.  Segalanya ditangan kita sendiri bukan tangan orang lain. 

Komunikasi adalah perkara yang utama dalam hidup kita.  Komunikasi kita boleh pelajari dan carilah sifu yang tepat dengan apa yang kau hendak.  

Okeylah setakat ini dahulu cerita semalam Mak Jah yang penuh keterujaan. Carilah sifu yang tepat untuk menambah ilmu.,  Gunakanlah ejaan penuh, jangan malas sangat untuk menaip dengan ejaan penuh. Ia mendidik diri kita untuk lebih berkaliber dan berkeyakinan.  

Terima kasih
Mak Jah.
sentiasa mahu belajar.