Thursday 15 May 2014

Motivasi diri...


































Saat yang mengembirakan apabila mempunyai motivasi yang cukup tinggi untuk meneruskan kehidupan yang cukup indah... Kali ini aku akan berbicara tentang hal motivasi.. definisi motivasi itu banyak dan mencakupi pelbagai kriteria dan tahap.. secara mudahnya motivasi itu adalah satu cara untuk menaikkan semangat jati diri seseorang.

Pelbagai cara dan kaedah digunakan untuk menaikkan semangat kita.. Bagi aku sendiri, aku suka membaca, aku suka memerhati apa yang berlaku disekeliling aku.. Tak mudah sebenarnya untuk sentiasa memotivasikan diri untuk sentiasa positif. Penetapan matlamat hidup itu penting, apa yang kita mahukan dalam hidup sebenarnya.. adakah kita mahu kekayaan semata-mata atau kita mahukan kekayaan dan kebahagiaan itu seiring. Zaman serba maju ini kewangan memainkan peranan yang cukup penting, ia bukan sahaja mengerakkan hidup kita tetapi memenuhi keperluan dan kehendak kita..

Pendahuluan
Motivasi sering dikaitkan dengan kejayaan seseorang, seseorang yang bermotivasi akan mencuba sedaya upaya untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh dirinya sendiri. Definisi motivasi menurut Reeve 2005 adalah proses-proses yang memberikan tenaga kepada satu-satu tingkah laku dan arahnya atau matlamat. Dua persoalan yang utama adalah, apa yang menyebabkan tingkahlaku? Mengapa tingkah laku berubah-ubah dalam instensiti? Sesuatu tingkah laku itu pasti ada puncanya, Reeve 2005 memberikan lima persoalan untuk dijawab iaitu mengapa tingkahlaku itu berlaku? Mengapa sesuatu tingkah laku itu dapat bertahan lama? Mengapa sesuatu tingkahlaku itu berhenti? Mengapa tingkahlaku berubah hala? Mengapa tingkahlaku diarahkan untuk beberapa matlamat namun jauh daripada matlamat yang lain? Manakala menurut Petri 2005 adalah satu konsep yang kita gunakan untuk menghuraikan dorongan terhadap satu tindakan dalam organisma tertentu bagi memulakan sesuatu usaha dan tingkahlaku secara langsung. (Mohamad Zaki, 2011).

Tiga komponen utama terdapat dalam motivasi, yang pertama komponen biologi iaitu otak yang merupakan pusat penting bagi semua aktiviti tubuh, sama ada aktiviti itu dijalankan semasa sedar atau dibawah sedar. Otak diibaratkan sebagai ‘CPU (Central Processing Unit)’ dalam sistem komputer bagi tubuh manusia. Ia adalah bahagian organ manusia yang paling kompleks dan yang paling banyak berkembang dan juga secara automatik dapat mempelajari diri sendiri (Pasiak, 2002). Kedua adalah komponen pengalaman dan pemerhatian  setiap orang belajar daripada pengalaman dan pemerhatian mereka. Ianya akan mempengaruhi tingkahlaku seseorang individu sama ada dalam tempoh jangka masa pendek atau panjang dan bagaimana mereka mempergunakan strategi yang mereka ada. (Mohamad Zaki, 2011) Dalam buku ‘The Leader In You’ tulisan Dale Carnegie menyatakan, “Bukan mudah untuk kita mengetahui bagaimana memberi khidmat perhubungan insan yang hebat. Ada beberapa individu yang tahu melakukannya secara naluri. Kebanyakannya perlu belajar, Mereka perlu dilatih, bagi mendapatkan sesuatu kemahiran ini, latihan perlu dilalui sama ketat dan sofisikated dengan mereka yang mahu menjadi jurutera dalam syarikat automobil dan mereka cipta omboh kereta yang baru” (Dale Carnegie & Associates, 2013). Ketiga adalah komponen kognitif yang  memberi fokus kepada pada pemikiran dan aktiviti mental yang lain. Ianya mencakupi beberapa faktor iaitu harga diri, konsep diri, orientasi penguasaan dan keberkesanan diri (Mohamad Zaki, 2011). Menurut Jim Rohin seorang ahli falsafah bisnes terulung di Amerika “Kamu perlu bertanggungjawab, Kamu tidak dapat menukar keadaan, musim ataupun tiupan angin, tetapi kamu dapat mengubah diri kamu.” (Jack & Janet, 2012)
1.0           
                           Perancangan
Perancangan sangat mempengaruhi motivasi seseorang kerana perancangan yang baik akan membentuk sebuah kejayaan. Membangunkan sesebuah perancangan perlu pelan yang pratikal atau pelan dimana sesuatu transformasi itu boleh dilakukan. Menurut Napoleon Hill dua fakta yang perlu diingat, pertama bila terlibat dalam satu aku janji kepentingan utama kepada seseorang individu adalah memastikan kejayaan, untuk itu perlu perancangan yang sempurna. Kedua, perlu mempunyai kelebihan dari segi pengalaman, pendidikan, keupayaan  asli dan imaginasi minda yang lain. Ini adalah kaedah yang cukup harmoni yang perlu diikuti oleh setiap orang.  (Hill, 2008)  Jika pelan pertama tidak berfungsi dengan baik setelah mengamalkanya, gantikan dengan perancangan yang baru, jika perancangan ini turut gagal bekerja, menggantikan pula dengan perancangan yang lain dan terus melakukannya sehingga menemui pelan yang boleh bekerja. Di sini adalah titik noktah dimana majoriti individu menemui kegagalan kerana kurangnya untuk terus tekun dalam mewujudkan pelan yang baru untuk mengambil tempat mereka yang gagal (Hill, 2008).
Tanpa perancangan yang pratikal dan boleh dilaksanakan seseorang itu tidak boleh mengumpul kejayaan. Sentiasa memotivasikan diri bahawa satu perancangan yang gagal bukan bersifat kekal tetapi bersifat sementara. Ia cuma membuktikan perancangan yang dibuat belum cukup kukuh dan perlu membangunkan rancangan yang lain dan bermula sekali lagi.   Contohnya Thomas A. Edison gagal sepuluh ribu kali sebelum dia berjaya menyempurnakan mentol lampu pijar. Beliau menemui beribu kegagalan sementara sebelum usaha beliau menemui titik kejayaan. Kekalahan sementara memberi makna dan pengetahuan tertentu bahawa pelan yang dibuat mempunyai kesilapan. Berjuta orang melalui kehidupan yang sengsara dan miskin kerana mereka tidak mempunyai perancangan yang mantap untuk mengumpul kekayaan (Hill, 2008). Falsafah ada menyatakan adalah tidak munasabah untuk mengumpul sesuatu kejayaan dan kekayaan itu tanpa menempuh kegagalan sementara. Ini menunjukkan bahawa sesuatu kegagalan adalah satu isyarat bahawa perancangan yang dibuat ada kesilapan yang perlu dibaiki. Perbaiki rancangan dan mencapai matlamat yang telah ditetapkkan. (Hill, 2008) Beberapa contoh nama-nama besar yang telah mencipta kejayaan seperti Andrew Carnegie, Henry Ford, Thomas A Edison dan Harvey Firestone mempunyai kumpulan perancang yang membantu kejayaan mereka. Bertukar-tukar pendapat dengan mereka yang hebat. Seseorang itu tidak akan berjaya tanpa bantuan orang lain. Perlu sesebuah organisasi yang hebat untuk berjaya (Hill, 2008)

Satu contoh yang perancangan yang hebat adalah kebangkitan Apple setelah mengalami kerugian teruk pada 1996 iaitu Dolar $69 juta dan membuang pekerja seramai 1,300 orang. 20hb Disember 1996 Apple telah telah dibeli oleh NeXT dengan harga Dolar $427 juta dan Steve Job telah menyertai Apple sebagai penasihat khas. Beliau merombak semua organisasi Apple dari semua sudut termasuk pengurusan dari peringakat tertinggi hingga pekerja bawahan, produk yang dikeluarkan diperhalusi dari semua sudut termasuk kehendak pelanggan, peniruan produk oleh pihak luar, pihak pembekal yang membekalkan komponen-komponen untuk produk dan yang paling penting dan utama adalah perancangan untuk membangunkan produk Apple semula. Steve Jobs akhirnya menjadikan produk Apple melonjak naik semula dan menjadi pengeluar telefon pintar yang digilai oleh masyarakat dunia di masa kini. Memetik kata Presiden Amerika Syarikat Barack Obama “Steve adalah pereka cipta paling hebat di Amerika – berani berfikir secara berbeza untuk mempercayai dia boleh mengubah dunia dan dia cukup berbakat untuk melakukannya” (Kahney, 2012)

3.0       Modul Kawalan Kendiri.
            Kawalan Kendiri (self-control) didefinisikan sebagai kemahiran atau kebolehan seseorang individu mengawal serta membuat pilihan kepada sebarang tindakan yang dibuat dan tidak mengikut kata naluri secara membabi buta. Ia juga boleh dikatakan sebagai mempunyai pendirian sendiri tanpa dipengaruhi oleh keputusan orang lain dan orang sekeliling. Ciri-ciri yang terdapat dalam kawalan kendiri ini ia boleh mengawal dirinya sendiri  adalah menyedari sepanjang hayatnya bahawa sebarang perubahan yang hendak dibuat mestilah bermula dengan diri sendiri. Ianya tidak mudah dipengaruhi oleh oleh orang lain, mampu berfikir dengan baik serta dapat membezakan perkara yang buruk dan baik.  Berkemampuan untuk menentukan hala tuju sendiri berpaksikan bimbingan serta nasihat dari orang-orang tertentu dan mampu mencari penyelesaian setiapa permasalahan yang berlaku. Paling utama mampu mengawal kehendak dalaman dalam diri sendiri (Elfiky, 2013).

            3.1 Fasa pemikiran masa hadapan:
            Setiap orang perlu ada matlamat dan strategi dalam hidup, apa yang perlu kita lakukan, apa yang mahu kita capai dan apa impian kita. Imam Al Ghazali menyatakan spriritual dan agama adalah kepercayaan manusia walaupun ianya berbeza tetapi saling berkait. Spiritual adalah kepercayaan pada kuasa luar biasa alam. Agama pula adalah pegangan berbentuk institusi dan ianya mempunyai upacara tertentu untuk menjalankan ibadat mengikut kepercayaan tertentu. Spiritual merangkumi kepercayaan anemisme, pagan dan mengakui wujud kuasa luar biasa atau semangat yang mempengaruhi kehidupan individu. Ia berkait rapat dengan perangsang dan inspirasi. Agama adalah hubungan manusia dengan pencipta. Kepercayaan kepada pencipta menjadikan kehidupan seseroang itu lebih bermakna (Yatimah & Mohd Tajudin, 2011). Didalam buku How to win Friends and Influence People tulisan Dale Carnegie mengatakan jika filem boleh melakukannya, televisyen boleh melakukannya kenapa kita tidak boleh melakukannya? (Dale Carnegie, 2010).  Nick Viujicic individu yang tidak mempunyai tangan dan kaki tetapi menjadi insan yang berjaya kerana beliau percaya “saya ada pilihan, awak ada pilihan, kita boleh memilih untuk kekal di atas kekecewaan dan kelemahan. Menjadikan ia sesuatu yang pahit, marah atau sedih apabila berhadapan dengan pengalaman yang teruk dan bergerak ke hadapan, mengambil tanggungjawab untuk kebahagian kita sendiri” (Vujicic, 2013). Andrew Carnegie Individu terkaya sekitar 1990an mengatakan “sekiranya kita mahu berasa bahagia, tetapkan matlamat yang menguasai fikiran, membebaskan kuasa dan membangkitkan harapan” (Jack & Janet, 2012). Setelah mengetahui apa matlamat yang mahu dicapai kita perlu menetapkan visi dan menerangkan keperluan serta kemahuan kita sebenarnya. Donald J. Trump berkata wawasan kekal sebagai visi sehingga anda memberi tumpuan, melakukan kerja-kerja dan membawanya turun ke bumi dimana ia akan melakukan dengan baik (Donald J. & Robert T., 2006).  Otak kita adalah organisma pencari matlamat kata pakar sains, matlamat yang kita berikan kepada minda separa sedar ia akan bekerja siang dan malam untuk mencapainya. Untuk membebaskan kuasa minda separa sedar ia perlu menetapkan dua kriteria iaitu yang boleh disukat oleh kita dan orang lain. Membuat semua matlamat dengan spesifik dan tidak samar. Matlamat atau objektif perlu disukat untuk menarik minda separa sedar kita. (Jack & Janet, 2012)  Contohnya saya mahu memiliki sebuah kereta mewah ia mewakili idea yang bagus dan matlamat dan objektifnya saya mahu memiliki kereta BMW 7 series. Oleh yang demikian perlu tempoh masa yang ditetapkan seperti saya mesti memandu kereta ini dalam tempoh masa dua tahun kehadapan. Kita perlu perincikan matlamat kita dengan menulisnya iaitu berkaitan model, kekuatan enjin, kelajuan, ciri-ciri keselamatan yang di miliki, penjimatan minyak dan keselesaan.

3.2 Fasa Prestasi.
            Ia adalah fasa dimana seseorang individu mengenalpasti jalan penyelesaian ke atas halangan untuk mencapai matlamat didalam hidupnya. Menurut Napoleon Hill “mencapai keputusan dengan segera, dan mengubah keputusan secara perlahan-lahan, jika mahu melakukan sebarang perubahan. Orang yang gagal mempunyai tabiat sering membuat keputusan berubah-ubah dan menukar sesuatu keputusan dengan cepat dan kerap. Disamping itu kegigihan adalah faktor yang diperlukan dalam proses transformasi keinginan bertukar menjadi sesuatu yang bersamaan dengan kewangan. Asas kegigihan adalah kuasa untuk melakukan dan menyelesaikan sesuatu ” (Hill, 2008). Oleh itu cukup jelas di sini bahawa, kekuatan untuk menempuh segala halangan dan rintangan untuk mencapai matlamat yang mahu dicapai. Menurut Dr. Alexis Carrel ada empat soalan yang perlu dijawab sebelum membentangkan masalah. Apakah masalahnya? Apakah punca masalah ini? Apakah penyelesaian yang dapat digunakan untuk masalah ini? Apakah penyelesaian yang kamu cadangkan? (Carnegie, 2013). Contoh yang diberikan adalah untuk mendapatkan sebuah kereta BMW 7 series. Kewangan telah dikenalpasti halangan yang utama, oleh itu perlu bekerja keras untuk menambah sumber pendapatan dan pastikan sumber pendapatan tersebut mengikuti jalan yang betul. Menggandakan usaha yang sedia ada dan fokus akan matlamat. Mengambil satu halangan sebagai motivasi untuk berjaya. Mencari beberapa alternatif cara-cara mengatasi halangan yang dihadapi. Jika cara yang pertama tidak berhasil, jangan mudah berputus asa kerana banyak lagi cara yang boleh pilih. Percaya kepada kebolehan diri dan belajar dari pengalaman yang sebelumnya.

3.3 Fasa refleksi diri.
            Ia adalah kemampuan seseorang individu melakukan instropeksi dan kemahuan untuk mempelajari lebih mendalam mengenai sifat dasar manusia, tujuan dan hakikat hidup. Ianya meliputi proses pengujian, pengolahan pada nilai serta keyakinan diri sendiri dan pengalaman. Ia akan membuat seseorang individu itu lebih mengenali dirinya kerana sentiasa belajar benda baru dalam hidupnya dan memperbaiki diri secara berterusan.Secara tidak langsung seseorang individu itu mempunyai sikap yang positif kerana kesedaran diri yang tinggi. Bila kesihatan mental seseorang individu pada tahap terbaik ianya akan membuatkan seseorang itu boleh bertindak secara rasional kerana memahamai dirinya ditahap yang sepatutnya dia berada. Kunci pada refleksi diri adalah merenung sejenak perkara yang sudah berlaku dan merasainya. Refleksi diri adalah sumber tenaga dan kreativiti diri yang paling jujur (Dr. Hanapiah, 2003; Elfiky, 2013).  Seperti kata Robert T. Kiyosaki “apabila pemikiran dan sikap saya berubah , tindakan saya berubah dan begitu juga keputusan saya” (Donald J. & Robert T., 2006) . Untuk memiliki sebuah kereta BMW 7 series adakah sebagai angan-angan Mat jenin atau sebagai satu motivasi untuk memperbaiki diri. Setelah memperhalusi tahap kemampuan kita dimana dan memperbaiki segala kesilapan yang ada. Sentiasa mengingati Sang Pencipta bila dilanda musibah dan ujian. Sentiasa mempertajamkan kebolehan diri dan sentiasa mahu belajar kerana selagi kita hidup dimuka bumi ini selagi itu kena berusaha untuk memenuhi segala impian dan matlamat kita tanpa pernah berasa putus asa. Berusaha selagi boleh, seperti kata- Nick Vujicic “Tak terbendung  – adalah kuasa hebat iman di dalam tindakan” (Nick Vujicic, 2012)           
                                                                                                                                                                                                                                                      
4.0       Kesimpulan,
            Petikan dari kata Dale Carnegie “ Hanya ada satu cara bagi mendapatkan orang lain membuat sesuatu. Ia adalah dengan membuatkan mereka sendiri mahu melakukannya. Tidak ada cara lain”. Apa yang dapat dirumuskan disini setiap apa yang kita lakukan adalah bermula dari diri sendiri dan musuh utama kita adalah diri kita. Jika ingin berjaya harus mempunyai kekuatan untuk melawan diri kita. Kejayaan seseorang itu bermula dengan matlamat yang mahu dicapai, melalui perancangan yang teliti dan pelaksanaan yang teratur dan tidak berkompromi atas halangan yang sedia menanti. Tidak pernah mengenal erti putus asa. Biarpun kadang-kadang seseorang itu jatuh berulang kali, namun dengan semangat juang yang tinggi tiada yang mustahil untuk digapai.  Komponen-komponen motivasi amat penting untuk mempengaruhi seseorang itu. Perancangan yang baik akan menjadikan model kendiri itu berjalan mengikut apa yang dirancangkan.
                Setiap orang punya visi dan misi, bagaimana mereka melaksanakan bergantung kepada kesesuaian terhadap diri individu itu sendiri. Mungkin satu langkah ini sesuai untuk individu A tetapi tidak sesuai untuk individu B. Sebagai manusia yang bermotivasi mereka tidak pernah kenal erti kegagalan. Bagi mereka cabaran hidup akan membuatkan mereka lebih berjaya, dan apabila cabaran yang sama ditempuhi mereka mengetahui cara untuk menempuhnya dengan mudah. Mencari kesempurnaan itu adalah satu perkara yang baik dan hidup akan lebih bermakna bila kita dipuncak kejayaan. Biar apapun yang dilakukan sematkan di dalam diri bahawa sejauh mana kita bergerak kepercayaan pada agama yang kita anuti adalah sebagai benteng kerohanian dalam diri. Kekuatan seseorang individu itu adalah bermula dari dalamannya bukan luaran semata-mata. Perlu kekuatan mental dan fizikal untuk berjaya.  Banyak sudah contoh-contoh orang yang berjaya, ini semua kerana mereka berani mencuba dan dan tidak takut pada kegagalan. Bagi mereka perlu menghadapinya bukan melarikan diri.



Rujukan:
Carnegie, D. (2013). How to Stop Worrying and Start Living - Kaedah sepanjang zaman bagi menawan kebimbangan : Edisis Bahasa Melayu. Batu Caves: PTS Professional Publishing Sdn Bhd.
Dale Carnegie & Associates. (2013). The Leader In You (Edisi Bahasa Melayu). Batu Caves: PTS Professional Publishing Sdn Bhd.
Dale Carnegie. (2010). How to Win Friends & Influence People - Revised Edition. New York: Pocket Books, a division of Simon & Schuster, Inc.
Donald J., T., & Robert T., K. (2006). Why we want you to be rich: two men - one message. USA: Publisher Group West.
Dr. Hanapiah, H. (2003). Adat Melayu Serumpun Satu Refleksi Peranan Pemimpin Adat. Adat melayu Serumpun: satu Refleksi Peranan pemimpin Adat Negeri Melaka. Pembenatangan Seminar adat Melayu Serumpun.
Elfiky, D. I. (2013). Terapi Berfikrian positif. Kuala Lumpur: Inteam Publishing Sdn Bhd.
Hill, N. (2008). Think and Grow Rich - 65th Anniversay Edition. Petaling Jaya: Advantage Quest Publications.
Jack, C., & Janet, S. (2012). The Success Principles Edisi Bahasa Melayu. Batu Caves: PTS Professional Sdn Bhd.
Kahney, L. (2012). Inside Steve's Brain - Business lessons from Steve Jobs - Revised and updated. London: Atlantic Books Ltd.
Mohamad Zaki, S. (2011). APBK 2103 - MOTIVATION. Seri Kembangan: Meteor Doc. Sdn. Bhd.
Nick Vujicic. (2012). Unstoppable - The incredible Power of Faith in Action. Colorado: WaterBrook Press.
Pasiak, T. (2002). Revolusi IQ, EQ, SQ. Batu Caves: PTS Millinennia Sdn. Bhd.
Vujicic, N. (2013). Life Without limits - inspiration for a ridiculously good life. . Colorado: WaterBrook Press.
Yatimah, S., & Mohd Tajudin, M. (2011). Teori Kaunseling Al-Ghazali - Cetakan ketiga. Batu Caves: PTS Islamika Sdn Bhd.

No comments:

Post a Comment