Thursday 15 June 2017

Ilmu yang bermanfaat

            Adalah sesuatu yang merugikan apabila kita telah mempelajari sesuatu tetapi kita biarkan ilmu itu terperap dalam otak kita tanpa kesinambungan yang sewajarnya.  Ilmu kalau terus di biarkan akan luput dalam ingatan lama-kelamaan.  Oleh itu apabila kita telah mendapat ilmu, kita perlu sebarkan pada orang lain agar ilmu itu tidak hilang.  Mempelajari sesuatu benda baharu adalah satu keindahan yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.  Ia cukup menyeronokkan dan mengujakan.  Apatah lagi, bila ilmu yang kita dapatkan adalah ilmu yang memang kita ingin pelajari.  Mempelajari sesuatu benda baru membuat kita ingin mengetahui kelanjutan ilmu tersebut.  Sebagai contoh, bila kita telah berjaya mendapatkan ilmu membuat kuih tart nenas dan kita berjaya membuat kuih tersebut dengan citarasa yang tidak menghampakan.  Pasti kita akan mencuba kuih yang lain.  Jelas sekali bahawa semakin kita mengetahui sesuatu ilmu semakin kita ingin mendalami ilmu tersebut sehingga kita puas hati.

            Ilmu semakin kita mempelajari , semakin terasa banyak perkara yang kita tidak ketahui.  Di situlah timbulnya sifat keterujaan untuk mendalami sesuatu ilmu.  Walaubagaimanapun untuk mempelajari sesuatu ilmu perlu ada rasa minat yang mendalam dan tidak ada rasa berputus asa sewaktu dalam proses pembelajaran.  Apa juga ilmu yang dipelajari, pastikan ia adalah ilmu yang bermanfaat untuk keluarga, adik beradik dan orang sekeliling kita.  Jangan kita mempelajari ilmu untuk menjatuhkan orang lain.  Bagi penulis, apabila mendapat sesuatu ilmu baru, ia merasakan kekurangan dalam diri kerana ia merasakan banyak perkara yang dia ketinggalan dan tidak mengikut peredaran semasa.  Membaca adalah jambatan ilmu yang paling mudah, apabila rajin membaca banyak perkara yang boleh diketahui.  Proses pembelajaran boleh dipelajari secara formal dan tidak formal.  Universiti kehidupan adalah tempat yang paling baik untuk mempelajari tentang realiti kehidupan diri penulis dan orang lain.  Jangan salah menilai tentang ilmu yang didapatkan kerana ia merugikan diri sendiri dan orang lain.  Ilmu adalah perkara yang mesti dipelajari setiap masa dan sentiasa dikemaskini.

            Setiap orang mempunyai cara yang berbeza untuk mendapatkan ilmu.  Bagi penulis, ilmu adalah asas dalam kehidupan.  Menambah ilmu adalah cara untuk menaiktaraf kehidupan, tidak kira cara mana ianya dilakukan yang paling utama ilmu didapatkan dengan cara yang betul.  Mudah kita berbicara dengan orang yang berilmu berbanding dengan orang yang jahil.  Adalah satu perkara yang bijak bila kita menghindari perdebatan dengan orang yang jahil kerana mereka tidak akan faham akan landasan ilmu.  Imam Syafie menasihatkan agar tidak berdebat dengan orang yang jahil, sikap terbaik adalah diam.  Apabila kita melayan perdebatan kita kan mendapat susah dan bila ia menjadi rakan ia akan menyakitkan hati. Diam adalah kunci yang terbaik untuk menghindari masalah.  Diam bukan bererti kita takut tetapi diam adalah sebaik-baik cara untuk menghentikan sesuatu perkara yang tidak baik.  Oleh itu tuntutlah ilmu dalam apa cara sekalipun, usah hiraukan tentang usia tetapi risaukan akan kemiskinan ilmu yang kita ada.  Ilmu yang bermanfaat untuk semua.

            Hidup akan menjadi lebih indah bila ilmu yang kita ada bermanfaat untuk diri sendiri dan orang sekeliling,  Usia hanya angka, semangat dan keyakinan tinggi untuk mendapatkan ilmu itu lebih penting.  Kepuasan menuntut ilmu tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.  Keperitan dan kesakitan tatkala menuntut ilmu akan hilang bila dapat mengecapi kejayaan.  Kejayaan itu bukan boleh didapatkan dengan sekelip mata tetapi perlukan usaha yang berterusan dan sentiasa menambahbaik dengan ilmu yang sedia ada.  Menaiktaraf diri adalah satu cara untuk memberi kepuasan pada seseorang individu.  Kita tidak layak untuk menghukum seseorang jika kita sendiri tidak belajar untuk mengawal diri kita menjadi yang terbaik.  Mencari kesempurnaan adalah satu perkara yang setiap orang akan lakukan.  Cara bagaimana kesempurnaan itu didapatkan adalah tidak pasti, ia mengikut sikap dan minat seseorang itu.

            Bakat, minat dan sikap seseorang itu akan menjadikan seseorang itu mempunyai nilai tersendiri.  Nilai seseorang itu di ukur melalui personalitinya, setiap orang mempunyai personaliti yang tersendiri.   

Siti Hadijah Kusin,
(samiza ezanie)

2.13am 

No comments:

Post a Comment