Sunday 27 January 2013

DUA JIWA JADI SATU BAB 26



            Rabiatul masih terus berfikir mengapa Farhan Afif menghilangkan diri selepas dia melahirkan sikembar dan abang sedar dari koma. Ada banyak tanda soal dikepalanya sekarang. Alhamdulillah setelah dua minggu abang sedar dari koma abang dibenarkan pulang. Cuma abang perlu menjalani rawatan susulan. Buat sementara mereka tinggal di Kuala Lumpur di rumah yang disediakan oleh syarikat Azman. Puan Sarimah dan Puan Halida ibu Azman sementara waktu tinggal bersama mereka untuk menjaga sikembar, Azman dan dia sendiri yang masih dalam pantang.
            Abang masih belum berapa kuat untuk melakukan sesuatu perkara sendirian, abang masih menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Jadi sukar untuk dia bergerak sendirian tanpa bantuan dari ahli keluarga.
            “Termenung apa isteri abang ni, abang dan adik dah tidur ke sayang?” suara Azman yang menegur mematikan langsung lamunan Rabiatul.
            “Tak ada apalah bang… sayang cuma terfikirkan mana perginya Han… entah mana dia pergi. Tak sempat nak ucapkan terima kasih atas segala bantuan yang dia berikan kat kita. Sayang bukan apa… dia tu baik budaknya nak juga kenenkan dengan Tiha tu. Ya lah… dah dia bapa angkat anak kita dan Tiha tu pun jadi mak angkat sesuailah kalau dijodohkan… Sekurang-kurangnya terubatlah hati Tiha dengan kehadiran anak-anak kita.” Pandai saja Rabiatul merancang untuk kehidupan orang lain.
            “Sayang ni pandai je nak jodohkan orang, ni nak buka bisnes ejen cari jodoh ke apa ni?” Azman mencuit manja pipi Rabiatul yang sudah mula berisi.
            “Taklah sampai buka bisnes.. sayang cuma nak kongsi sedikit dengan mereka kebahagiaan kita . Tak salahkan?” dah namanya Rabiatul ada saja jawabnya.
            “Salah tu tidaklah sayang tapi mungkin mereka ada perancangan mereka sendiri. Suami Tiha meninggal dunia sebab apa?” terkejut Azman bila diberitahu yang Tiha sudah menjadi balu.
            “Kemalangan dimalam pernikahan… dahlah bang tak mahulah cerita nanti sayang nangis. Kesian Tiha.. nanti kalau ada masa sayang cerita kat abang ya?” tak mahulah nak bercerita kisah sedih Tiha disaat abang masih belum pulih sepenuhnya. Ceritalah lain..
            “Baiklah sayang…” Azman memang seseorang yang memahami. Dipeluk isterinya erat-erat. Banyak perkara yang dia tertinggal saat dia koma, ada masanya dia sedih dengan apa yang berlaku namun dia percaya pada takdir Allah. Tiada sedikit pun perasaan cemburu pada Farhan Afif yang banyak membantu mereka kerana dia sedar tanpa Farhan Afif mungkin sukar untuk isterinya menghadapi semua ini. Dia pernah mendengar sebaris ayat yang masih diingat sehingga sekarang.. Allah ambil sesuatu kerana nak berikan sesuatu… satu keluhan kecil terkeluar tanpa sengaja..
            “Abang ni… siapa yang termenung sekarang ni?” Rabiatul menepuk perlahan lengan suaminya. Pandai je abang Jeman aku ni  mengata… dia sendiri pun sama.
            “Hahaha… maaflah sayang… khayal sekejap.” Berangan lagi..
            “Sayang boleh sayang tanya?” Rabiatul memulakan bicara sebenarnya dia dah lama nak tahu tentang perkara ini tapi kesibukkan membuatkan dia lupa.
            “Apa yang sayang nak tahu?” Azman mengeratkan pelukan pada isteri yang masih molek duduk disisinya..
            “Nama anak-anak kita kenapa ada iras nama Afif? Kenapa mesti Aman Afifi dan Amani Afifah?” sejak nama anak-anak diberikan ada satu tanda soal yang besar dikepalanya.
            “Oh! Abang ingat apa tadi.. sayang… abang nak abadikan nama orang yang bantu kita disaat kita ditimpa musibah. Abang nak kita semua mengingati Farhan Afif sebagai orang yang banyak berjasa pada kita. Abang rasa tak menjadi kesalahan pun. Lagipun maksud pada nama-nama itu pun bagus. Entah kenapa dia tak nak jumpa abang tapi abang dapat rasakan yang dia ada jumpa abang tapi abang tak perasan dia kot. Abang Radhi banyak bercerita pada abang tentang Farhan Afif dan abang rasakan memang dia seorang yang berhati mulia. Bantuan abang pada dia bukannya banyak pun dan abang tak harapkan balasan. Mungkin masa tu kalau orang lain pun kan buat tindakan yang sama macam abang. Abang sentiasa berdoa satu hari nanti abang akan jumpa dia biarpun sekejap.” Begitu tulusnya hati Azman yang langsung tiada rasa cemburu dan syak wasangka pada insan bernama Farhan Afif.
            “Mudah-mudahan bang… Abang Radhi kan ada bagitahu kita yang Han kena lapur diri kat tempat kerja baru. Berita tu dia dapat lewat sebab tu dia kelam kabut nak uruskan semuanya. Tak apalah bang… Insyallah satu hari nanti kita akan jumpa dia..” masih mengharap untuk bertemu Farhan Afif lagi tapi… mahukah Farhan Afif bertemu Rabiatul setelah apa yang diluahkan tempohari di dalam bilik bersalin. Adakah kerana itu dia tak mahu berjumpa dengan mereka berdua. Farhan Afif perasaan itu tak salah cuma tempat dia menaruhkan harapan itu salah… Rabiatul melentukkan kepala dibahu Azman.. Dia senang dimanjakan begitu.
           
            Dikeheningan malam Azman berteleku dimeja tulis dengan perasaan yang sebak, akhir-akhir ini dia terlalu rindukan nenek yang telah menemui Illahi lama sudah. Arwah nenek seorang yang penyayang dan dia memang rapat dengan nenek. Cucu kesayanganlah katakan… sudah dua malam dia mimpikan arwah nenek dengan wajah putih bersih bertelekung tanpa mengeluarkan sepatah kata. Cuma malam ini dia mimpikan arwah nenek mengusap rambutnya perlahan dan arwah nenek memimpin tangannya pergi ke satu tempat yang luas penuh dengan manusia memakai baju serba putih dan menutup aurat. Dia bingung dengan apa yang nenek cuba sampaikan…
            Mungkinkah ada sesuatu yang akan terjadi pada dirinya nanti. Alhamdulillah dia sudah berjalan sedikit tanpa bantuan sesiapa. Lagipun sudah tiga bulan dia keluar dari hospital. Semalam dia ada membuat rawatan susulan dan keadaan dia semakin sihat cuma doktor ada nampak satu tompok kecil dikepalanya melalui sinar X. Harap itu tidak membahayakan. Doktor ada kata mungkin keputusan itu akan didapati dalam masa seminggu. Kebimbangan diwajah Doktor Fuad tak dapat disembunyikan. Sejak akhir-akhir ini dia sering gelap mata, namun langsung tidak diadukan pada isteri tercinta. Tak sanggup rasanya untuk menyusahkan hati isterinya lagi. Cukuplah dengan kesusahan yang dilalui isterinya semasa mengandung. Cukuplah… Andai umurnya tidak panjang dia redha…
            Azman mengeluh berat, dia ada memberitahu isterinya untuk pulang ke Penang esok. Rindu pada rumah mereka.. sudah setahun dia tak pulang. Dia juga mahu melawat kubur arwah nenek. Teruja dia melihat Rabiatul mengemas. Insyallah lepas sarapan pagi esok mereka akan bertolak. Abang Radhi sudi menghantar mereka, untuk dia memandu sendiri agak mustahil.
            Azman merapati katil bayi yang menempatkan kedua-dua anaknya. Perasaan sebak tidak dapat ditahan lagi. Dicium keduanya, dipeluk mereka  tanpa membangunkan sikecil….
            “Anak-anak ayah jaga ibu kalau apa-apa terjadi pada ayah ya. Ayah dapat rasakan umur ayah tak panjang. Ibu seorang wanita yang tabah.. jangan sakiti hati ibu dan sayangilah ibu sebagaimana ibu menyayangi kamu. Ibu adalah wanita yang paling ayah cinta. Ibu adalah pelengkap hidup ayah dan tanpa ibu mungkin ayah tak mampu merasai nikmat bahagia ini. Ibu mengenalkan pada ayah betapa luhurnya cinta itu jika diiringi dengan kejujuran dan keikhlasan…
            Tiada siapa mampu menggantikan tempat ibu dihati ayah kerana ibu adalah segala-galanya bagi ayah. Dia adalah teman, sahabat, kekasih dan isteri ayah. Andai ayah tiada jagalah ibu. Carilah papa Farhan Afif.. ayah rasa ayah tahu kenapa papa kamu pergi macam itu saja tanpa khabar berita. Ayah pun lelaki.. ayah dapat rasakan dia tidak mahu mengganggu kebahagiaan ayah dan ibu. Mungkin jalan yang terbaik bagi dia tapi bukan bagi kami. Ayah nak sangat jumpa dia dan mengucapkan terima kasih pada dia… ingat pesan ayah ni. Cari papa kamu bila dah besar nanti.” Azman mengelap perlahan airmata yang dah mula mengalir. Anak didalam pelukkan seakan mengerti bila mula mengerakkan badan…
            “Ayah sayang kamu.. sayang sangat-sangat…. Jadilah anak-anak yang baik nanti. Anak yang soleh dan solehah serta mendengar kata. Semoga kamu menjadi anak yang berjaya satu hari nanti… jaga ibu jaga ayah…. Ayah sayang kamu…. Tapi ayah macam dah tak kuat nak… ayah penat.. kepala ayah sakit. Ayah tak nak susahkan ibu lagi.. ayah minta pada Allah supaya ambil ayah cepat daripada ayah buat ibu menangis… ayah tak mahu melihat airmata duka ibu mengalir lagi. Ayah tak mampu sayang… tak mampu… ayah letih…” esak tangis Azman makin hebat…
            Azman mengambil pen dan kertas ingin diluahkan segala isi hatinya di situ. Dia dapat merasakan umurnya tak panjang. Dia harus meluahkan segalanya di sini……
           
Subuh itu mereka dikejutkan dengan berita kematian Azman, baru semalam dia teruja untuk pulang ke Penang dan hari ini segala impian dan harapan itu musnah. Rabiatul terpukul dengan kejadian ini dan dia tak mampu berkata apa. Patutlah semalam abang teruja benar dan banyak benda yang dipesankan rupanya itu tanda abang nak tinggalkan mereka selamanya.
            Segala urusan jenazah dilakukan oleh keluarga Rabiatul da Azman. Rabiatul cuba memenuhi hasrat Azman yang pernah disuarakan sebelum ini yang ingin dikebumikan di sebelah kubur arwah nenek jika dia meninggal dunia. Biapun nada itu disuarakan sewaktu mereka bergurau tapi itu dianggap satu amanah yang harus ditunaikan. Anak-anak seakan mengerti yang ayah mereka telah meninggalkan mereka buat selamanya. Mereka tidak banyak karenah, langsung tidak menangis biarpun lampin mereka basah.
            Rabiatul memangku keduanya di depan jenazah sambil membaca surah yassin. Inilah tanda sayang dan cinta pada arwah. Biarpun airmata sesekali mengalir dia cepat menyekanya. Dia tak mahu roh abang nampak dia lemah, dia harus kuat demi anak-anak dan abang. Dia tahu roh abang berada disekeliling mereka dan melihat segala apa yang berlaku pada jasadnya. Janji dia pada arwah harus ditunaikan menjadi ibu yang terbaik untuk anak-anak. Tanda cinta yang akan dijaga hingga nafas yang terakhir.
            Bukan mudah untuk dia menerima kematian Azman dan dia tahu janji Allah pada manusia yang harus diterima dengan redha. Dia tawakal dengan segala ketentuan Allah buat dirinya. Biarlah hujan, guruh dan petir berdentum dalam hidupnya kini dia harus bangun dengan satu tekad untuk menjaga dua amanah arwah ini dengan sebaiknya.mendidik mereka agar menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Bukan mudah untuk dia lakukan sendirian namun dia percaya ada sinar untuknya satu hari nanti.
            “Adik… izinkan kami untuk mandikan jenazah Azman. Adik duduk kat sana dulu ya, bawa anak-anak adik pergi sana ya…” Abang Radhi bertutur perlahan pada Rabiatul yang masih duduk mengaji.
            “Abang boleh tak adik mandikan jenazah ini bersama-sama. Adik rasa inilah bukti kasih sayang adik yang terakhir buat arwah. Adik rasa tak menjadi kesalahan untuk adik mandikan jenazah kan? Adik faham kalau menjadi keberatan pada semua.” Permintaan tak terduga oleh Rabiatul membuatkan yang mendengar menjadi semakin sebak. Ini mungkin tak pernah dilakukan oleh orang lain sebelum ini. Adakah Rabiatul ingin mencipta sesuatu diluar kebiasaan orang di sini.
            “Adik.. abang faham perasaan adik sekarang ini.. jika benar adik ingin melakukan abang minta izin pada Pak Imam ya… adik tunggu kejap ya..” Abang Radhi bersuara perlahan dan berlalu pergi menuju kepada Pak Imam yang sudah bersedia ditempat mandi jenazah.
            “Pak Imam boleh tak izinkan adik saya mandikan jenazah suaminya bersama-sama. Inilah bukti kasih sayang yang terakhir dia pada arwah Pak Imam. Itupun jika tak menjadi keberatan pada semua yang berada disini. Saya agak permintaan adik saya ini memang agak pelik tapi saya rasa jika ini boleh menghapuskan sedikit kesedihannya apa kata kita tunaikan saja. Bagaimana Pak Imam?” Pak Imam Najib terharu dengan permintaan Rabiatul, dia memandang pada kariah yang lain. Jika ini boleh menghapuskan sedikit kesedihan si isteri dia tak keberatan untuk mengizinkan.
            “Macam mana semua, boleh izinkan isterinya bersama-sama kita memandikan jenazah?” Pak Imam Najib meminta persetujuan kariah yang berada disitu.
            Mereka semua disitu memandang sesama sendiri, sukar sebenarnya untuk membuat keputusan namun jika ini permintaan si isteri apa salahnya untuk ditunaikan. Benar kata Rabiatul inilah tanda cinta dan sayang buat kali terakhir. Mengapa tidak mereka tunaikan. Mungkin ini tidak pernah dilakukan oleh orang lain tapi biarlah kali ini mereka mengizinkan.
            Pak Imam Najib menepuk lembut bahu Abang Radhi dan memberi isyarat dengan senyuman dan anggukan kecil mengizinkan Rabiatul bersama-sama memandikan jenazah suaminya. Abang Radhi berjalan perlahan menghampiri Rabiatul dan memberitahukan tentang keizinan yang telah diberikan. Rabaitul mengucap syukur pada Allah kerana diberi keizinan untuk memandikan jenazah suami yang dicintai sepenuh hati.
            “Abang jaga adik baik-baik ya.. ibu nak mandikan jenazah ayah. Inilah tanda cinta yang terakhir untuk ayah dari ibu. Ibu sayang ayah sangat-sangat… tiada siapa yang mampu menggantikan tempat ayah… ibu sayang ayah.. sayang sangat-sangat.” Rabiatul mencium kedua anaknya dan terus mengiringi jenazah suami yang tercinta… Selepas ini suaminya akan menempuh saat perjalanan yang jauh menghadap Allah yang Esa. Semoga abang ditempat orang-orang yang beriman.
            “Abang, izinkan sayang untuk mandikan abang buat kali yang terakhir ya… Sayang tahu roh abang dengar… sayang nak abang dalam keadaan yang terbaik menghadap Allah yag Esa…” Perlahan Rabiatul berbicara pada jenazah yang terbujur kaku. Sebahagian orang yang berada disekeliling menyeka airmata yang mula mengalir.
            Ya Allah! Tenangnya wajah abang…. macam orang tidur je… Rabiatul mengikut arahan Pak Imam cara-cara memandikan jenazah dengan betul. Dia menggosok perlahan badan abang. Orang yang dah meninggal dunia pun rasa sakit bila kita gosok kuat-kuat. Jadi dia tidak akan sesekali untuk menyakiti jasad abang…  
            Abang Radhi dan Abang Raffi turut berada disisi Rabiatul, mereka kini menjadi tulang belakag untuk adik mereka. Tidak akan sesekali pun dibiarkan adik bongsu mereka sendirian.
            Sesudah memandikan jenazah Rabiatul turut sama membantu mengkapankan suami yang tercinta. Dia cuba menahan airmatanya dari gugur, dia harus kuat demi kasih sayang terakhir pada jasad abang. Pak Hishamudin dan Puan Sarimah tahu hati anak bongsunya itu sebenarnya sangat rapuh. Nampak sangat luaran saja yang kuat tapi dalamannya tidaklah sekuat mana. Mereka rasa lebih baik melihat Rabiatul menangis dari menahan perasaan yang mengelodak di dalam jiwa. Kesedihan anak itu dapat mereka rasai, semoga ada sinar untuk anak bongsu mereka nanti.
            Van yang hendak membawa jenazah Azman ke Penang sudah lama tiba. Mereka menyembahyangkan jenazah sebelum mereka membawa jenazah pergi. Setelah usai mereka meminta ahli keluarga untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah sebelum dibawa pergi. Seorang demi seorang mencium jenazah dan Rabiatul dan anak-anak adalah orang terakhir.
            Rabiatul membawa kedua anaknya bersama untuk memberi penghormatan terkahir pada arwah yang mereka sayangi.
            “Abang… terima kasih kerana memberi kebahagian buat sayang dan anak-anak. Sayang redhakan pemergian abang untuk bertemu kekasih yang sejati iaitu Allah yang SATU. Selepas ini sayang akan bersendirian menjaga amanah abang tapi sayang tahu walaupun jasad abang dah tiada namun cinta abang akan sentiasa temankan sayang dan anak-anak. Semoga kita akan bertemu di akhirat kelak. Abang tunggu sayang dengan anak-anak ya… Cinta kita tidak akan mati biarpun kita terpisah di dunia ini… cinta abang begitu tulus dan suci buat sayang terima kasih abang…” sayu dan pilu menyelubungi mereka yang mendengar luahan hati si isteri…
            “Abang, adik.. ayah dah tak ada tapi cinta ayah akan bersama kita buat selamanya… cium ayah sayang buat kali yang terakhir… selepas ini kita tidak akan dapat menatap dan menyentuh wajah ayah sayang… tapi cinta ayah tetap akan subur dihati kita.. kerana ayah adalah ayah yang terbaik buat kamu berdua…” Saat Rabiatul melekapkan pipi sikecil ke pipi ayahnya anak itu seakan mengerti. Mereka membuka mata dan mengeliat kecil dan tangan si adik seolah mengelus perlahan wajah ayah yang sudah kaku dan sejuk seperti ais.
            Abang Raffi mengambil sikecil dari pelukan Rabiatul. Mereka semua akan turut serta mengiringi jenazah ke Penang. Rabiatul naik bersama di dalam van jenazah bersama dua anak kembarnya. Abang Radhi dan Abang Raffi turut sama berada di dalam van itu. Mereka menurut saja kemahuan Rabiatul yang memang terkenal dengan sikap tegasnya bairpun kadangkala sikapnya mengalahkan budak kecil. Sepanjang perjalanan sikembar tidur dengan lena. Langsung tidak menyusu…. Seakan mengerti akan kesedihan ibu mereka yang kehilangan orang tercinta. Baru semalam gurau senda Azman mencuit hati kini semuanya tinggal menjadi memori indah yang mungkin tidak akan terlupakan. Rabiatul terus membacakan surah yassin sepanjang perjalanan tanpa rasa jemu atau penat. Segalanya untuk dia….. suami yang tercinta. Abang Jeman yang telah mengocak hatinya.. Abang Jeman ku sayang semoga kau bahagia di sana..
            Jenazah disambut dengan penuh penghormatan, arwah memang dikenali sebagai seorang yang berhati mulia dan baik pada semua orang. Sentiasa menghulurkan bantuan walaupun tak diminta. Rakan-rakan sekerja pun turut ada sama termasuk Mr. Lee bekas ketua abang. Biarpun berlainan bangsa mereka seperti sebuah satu keluarga yang besar. Saling memerlukan antara satu sama lain.
            Saat jenazah diturunkan ke liang lahad wajah sayu terlihat disekeliling mereka. Cuaca yang pada mulanya panas terik kini mendung. Alam seakan turut meratapi pemergian seorang insan yang baik dan berhati mulia. Saat talkin dibacakan keadaan menjadi semakin sayu. Rabiatul tetap setia memangku kedua anaknya. Abang Raffi dan Abang Radhi cuba memujuk untuk mengambil salah seorang dari mereka namun dihalang keras oleh Rabiatul. Hanya satu jawapan yang diberi… merekalah kekuatan Rabiatul sekarang ini….
            “Adik… jom kita balik.. semua orang dah balik… lagipun hari dah nak senja.. kesian dengan anak-anak. Jom kita balik ya..” pujuk Abang Radhi lembut…
            “Adik….mak tahu adik sedih.. kami pun sedih.. kami kehilangan satu-satunya menantu lelaki. Sekuat manapun kasih sayang kita pada arwah lagi kuat kasih sayang Allah pada arwah sebab itu dia ambil arwah. Kita kena redha dengan takdir Allah pada kita…” suara Puan Sarimah yang lembut membuatkan Rabiatul mendongak memandang wajah ibu yang disayang. Melihat sekeliling keluarga kedua belah pihak masih disitu setia menemaninya… Ya Allah! Terima kasih atas apa yang kau beri padaku… kasih sayang keluargaku dan suamiku tetap utuh bersamaku… Rabiatul berdiri dan menatap pusara itu buat kesekian kali…
            “Abang.. sayang pergi dulu ya… nanti ada masa sayang akan datang lagi.. damailah abang di sisi Allah yang Esa. Janji sayang pada abang Insyallah akan jaga amanah abang ini sebaiknya… kasih sayang dan cinta sayang tak cukup kuat untuk mengikat abang di dunia ini… Semoga abang tenang dan damai bertemu kekasih sejati abang… Insyallah satu hari nanti kita akan berjumpa diakhirat…
Cinta abang adalah kekuatan sayang.. tetap harum subur dihati.. kerana dua jiwa kita telah menjadi satu setelah abang melafaz akad pada Tok Kadi… Biarpun jasad kita terpisah namun jiwa kita tetap satu tersemat dihati untuk selamanya… selamat tinggal abang.. terima kasih kerana telah membahagiakan sayang biarpun seketika tapi itu sudah cukup buat sayang. Abang segalanya untuk sayang…” tiada sendu hanya wajah yang sayu… airmata janganlah kau tumpah disini kerana aku harus kuat kerana aku rasa roh abang sentiasa melihatku… aku tahu dia ada disampingku saat ini… cintaku kau telah pergi dengan membawa hatiku sekali…. Aku redha dengan takdirmu Allah…

p/s bagi yang mengikuti e-novel ini maafkan saya.. kesuntukan masa dan kesibukan sebagai pelajar semula membataskan saya untuk update blog saya.. In Shaa Allah saya akan cuba menguruskan masa saya sebaiknya..

Samiza Ezanie..
27/01/2013 
23.23pm


No comments:

Post a Comment