Wednesday 5 April 2017

Hubungan teraputik

1.0        Pendahuluan.
            Menurut Akta Kaunselor 1998 (Akta 580), kaunseling adalah satu proses dimana wujud perhubungan menolong yang sistematik berasaskan prinsip psikologi yang dijalankan oleh kaunselor profesioanal bagi mendapatkan perubahan, perkembangan dan penyesuaian peribadi klien, perkara yang baik merangkumi semua aspek secara sukarela dan penyesuaian itu berterusan  sepanjang hayat klien. Ia adalah proses dua hala yang dilakukan antara kaunselor dan klien. Kaunselor orang yang bersifat terbuka, kerana ia perlu mendengar dan memahami, membantu klien tentang dirinya, menolong klien mendapatkan gambaran yang jelas berkaitan dengan masalah, melaksanakan secara perkongsian cerita, meluahkan perasaan, mendapatkan maklumat atau pengetahuan baru hasil komunikasi dengan kaunselor. Kaunseling terbahagi kepada beberapa jenis iaitu individu, kelompok, keluarga, kerjaya dan perkahwinan. Hubungan kaunseling adalah berbeza dengan hubungan biasa, ia adalah satu perhubungan yang profesional kerana ia berorientasikan “menolong” dan bukan secara paksaan. Ia memerlukan seorang kaunselor dapat mewujudkan kepercayaan, ambil berat, sikap prihatin dan komitmen. Sikap ini akan menjadikan suasana teraputik yang membolehkan klien bersedia untuk berubah tanpa dipaksa (KPWKM, 2016; Pasiak, 2009).
            Hubungan yang diwujudkan adalah hubungan interpersonal yang bermakna hubungan antara perseorangan. Ianya berlaku secara lisan dan bukan lisan. Kemahiran berkomunikasi yang berkesan ialah kebolehan bertutur dengan jelas, tepat serta perasaan empati. Oleh itu seorang kaunselor perlu ada ciri-ciri pertuturan yang baik iaitu bertutur dengan penggunaan kepelbagaian nada. Suara yang bertenaga, tatabahasa yang betul, perkataan yang tepat, mudah difahami, penghentian sejenak yang efektif, serta nadanya penuh dengan perasaan yang menarik perhatian orang yang berkomunikasi. Carl Rogers telah menghuraikan bahawa penerimaan dan kemesraan seseorang kaunselor merupakan faktor penting dalam membina hubungan interpersonal dengan kliennya. Menurut beliau, suasana hubungan yang baik dapat digambarkan daripada kemesraan dan perasaan kasih sayang seseorang kaunselor semasa perjumpaan dengan kliennya. Perkara ini dapat di lihat dari air mukanya yang ikhlas, manis dan nada kata-kata lembut yang digunakan untuk menyakinkan kliennya bahawa kesediaan dan kerelaan kaunselor yang dijumpai akan membantunya menyelesaikan masalah yang dihadapi. Menurut Rogers lagi empati adalah perihal merasai dunia peribadi orang seolah-olah dunianya, atau secara ringkasnya berusaha untuk bertindak balas secara berperasaan empati bermakna berusaha menunjukkan kepada orangnya bahawa dia sedang memberi perhatian, dan mendengar serta berusaha memahami perasaannya (Canfield, 2012; Sang, 2010).         
2.0        Definisi Hubungan Teraputik.
            Hubungan bermaksud menghubungkan antara dua orang atau lebih untuk proses pengenalan untuk memudahkan kedua pihak berinteraksi. Hubungan bukan sahaja secara formal tetapi bukan formal manakala menurut kamus dewan bahasa dan pustaka teraputik bukan rawatan tetapi pendekatan, bukan sesuatu tetapi yang membantu menenangkan fikiran seseorang dan memberikan ketenangan, ia adalah satu cabang perubatan yang berkaitan dengan rawatan penyakit. Ini bermaksud hubungan teraputik dalam kaunseling adalah satu perhubungan yang berteraskan kepada kekepercayaan dan kejujuran beretikakan kepada kerahsiaan untuk membantu menyelesaikan masalah klien. Ia bukan memberi nasihat, menilai atau menghakimi, cubaan untuk mengenepikan masalah klien, mengharapkan klien untuk bertingkahlaku seperti beliau apabila berhadapan dengan masalah yang serupa, melibatkan perasaan dengan klien dan menilai masalah klien dengan nilaian sendiri.    Sebaik-baik kaunselor menerima klien tanpa sebarang prasangka kerana ia adalah di larang. Tidak dinafikan, peranan gambaran awal atau “first impression” banyak mempengaruhi persepsi kita pada orang lain. Namun begitu, kaunselor perlu mengawal diri supaya tidak menggunakan gambaran awal ini bagi mempengaruhi proses kaunseling selanjutnya. Menurut model kaunseling Al-Ghazali, kaunselor akan membina hubungan yang baik dan mesra dengan klien supaya klien berasa selesa atau tidak tertekan. Kaunselor perlu mempamerkan sikap hormat pada klien. Peranan kaunselor pada peringkat membina hubungan adalah penting. Kaunselor seharusnya dapat menyelami hati dan perasaan klien, malah dapat membangkitkan kesedaran dalam diri klien untuk cekal menghadapi masalah yang sedang dihadapinya sedikit demi sedikit. Dalam proses kaunseling, kaunselor diharapkan dapat menzahirkan keyakinan kepada diri klien tentang betapa pentingnya kita kembali yang benar. Peranan kaunselor ini juga adalah sebagai seorang mentor yang dapat memberi bimbingan dan sokongan psikologi. Hubungan sebegini dapat meningkatkan lagi tahap keyakinan diri klien disamping mengukuhkan lagi hubungan baik antara kaunselor dan klien (Mohamed, 2001; Sang, 2010).  
            Secara ringkasnya hubungan teraputik adalah hubungan dua hala antara kaunselor dengan klien, ianya bukan hubungan sosial tetapi hubungan yang penuh tanggungjawab untuk proses penyelesaian masalah klien. Peringkat membina hubungan adalah elemen yang paling penting dan utama, tidak mengira teori kaunseling yang digunakan. Contohnya Peringkat Terapi Adler merangkumi 12 peringkat dan peringkat pertama adalah peringkat hubungan-empati dimana peringkat ini membina hubungan dengan klien melalui penggunaan kemahiran empati. Ahli terapi/kaunselor dikehendaki menunjukkan kefahaman, mesra, penerimaan dan perasaan empati, serta idea yang boleh membantu klien mengatasi masalah (Sang, Pengurusan Bimbingan dan Kaunseling, 2010).

3.0        Bagaimana hubungan teraputik memberikan kesan positif dalam proses kaunseling berdasarkan ahli teori atau pakar kaunseling.
            Menurut Carl Rogers, seorang kaunselor perlu mempunyai sifat-sifat empati dan memahami, menerima tanpa syarat, mesra dan penyayang serta jujur dan kongruen. Sifat-sifat ini jelas mengambarkan perkara yang positif dan sudah semestinya ia akan memberi kesan yang positif. Menurut Al-Ghazali kehadiran kaunselor dalam sesi perhubungan mempengaruhi jiwa orang yang berhadapan dengannya. Kaunselor yang bersedia mendengar dan menjiwai kliennya dapat membentuk perhubungan terapi dengan tenang, jelas dan matang. Klien datang dengan harapan yang tinggi dan melihat kaunselor sebagai seorang mentor, guru dan pakar rujuk yang dapat menunjukkan jalan ke arah kebaikan. Mereka menaruh kepercayaan kepada kaunselor yang dianggap seorang yang berintegriti dan bijaksana serta mahir dalam bidangnya bagi memulihkan jiwa klien yang sudah lemah dan rapuh. (Yatimah & Mohd Tajudin, 2011)
            Manakala menurut Maslow keperluan asas dan keperluan keselamatan, kasih sayang dan penghargaan kendiri manusia hendaklah dipenuhi sebelum manusia bersedia menceburi diri dalam hierarki kesempurnaan kendiri, maklumat dan estetik. Menurut teori ini keberkesanan kaunseling bergantung kepada setakat mana keperluan-keperluan klien dapat dipenuhi. Aplikasi Teori keperluan Maslow dalam kaunseling menyatakan bahawa kaunselor perlu mengambil langkah-langkah yang tertentu untuk membina hubungan teraputik. Antaranya, menjadikan suasana bilik kaunseling kondusif dengan menjalankan sesi kaunseling agar klien akan berasa seronok, gembira, harmoni dan selamat melibatkan diri di dalamnya. Kaunselor mestilah bersifat penyayang untuk memenuhi keperluan kasih sayang. Memupuk nilai penghargaan kendiri klien serta memberi motivasi dan peneguhan yang sesuai supaya berusaha bersungguh-sungguh melibatkan diri dalam sesi kaunseling. Merancang aktiviti motivasi mengikut kebolehan klien dengan tujuan meningkatkan keyakinan mereka dan meningkatkan peluang memenuhi keperluan penyuburan mereka, iaitu kesempurnaan kendiri, memperoleh ilmu pengetahuan dan mempunyai kemahiran, menikmati dan menghasilkan sesuatu yang bernilai tinggi. Memupuk nilai motivasi diri melalui bimbingan supaya klien memahami diri, melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti sosial, dan seterusnya menentukan arah hidup dan masa depan sendiri yang terbaik. Manakala dalam proses kaunseling tingkah laku pula membina hubungan kaunselor dan klien adalah penting untuk kejayaan perlaksanaan proses kaunseling, antara sebab-sebab penting adalah kaunselor dan klien bersama-sama menyetujui tentang matlamat yang telah ditetapkan dalam proses kaunseling. Sasaran perlu ditetapkan bersama dan diubahsuai dari semasa ke semasa. Hubungan yang teraputik boleh mengurangkan peluang keciciran klien dan hubungan yang mesra meningkatkan semangat kerjasama yang seterusnya membawa hasilan yang baik (Idris, 2009; Sang, 2010).
            Terapi Rasional Emotif behavioral(Teori REBT) dipelopori oleh Albert Ellis (1913-2007) yang merangkumi tiga komponen utama iaitu kognitif, emotif dan behavioral yang berkaitan rapat dengan pengalaman manusia. Beliau berpendapat manusia mempunyai pemikiran rasional dan tidak rasional. Pemikiran tidak rasional merupakan punca asas yang membawa gangguan psikologikal. Menurut beliau juga, kepercayaan yang tidak rasional atau tidak logik adalah diwarisi dari generasi ke generasi dan diterima sebagai panduan hidup tanpa keraguan. Terapi REBT ini bermatlamat membantu klien memeperkembangkan pemikiran rasional dan logik melalui galakan mereka memikir dan memahami pemikiran tidak rasional yang diwarisi masa lalu adalah punca utama yang membawa masalah psikologikal masa kini. Klien di bimbing untuk melihat dan menganalisis peristiwa yang diaktifkan dan gangguan emosi yang dialami. Ianya akan berjaya apabila klien benar-benar memahami punca asas yang menimbulkan gangguan emosi ialah kepercayaan yang tidak rasional yang mereka warisi pada masa dahulu dan harus berusaha mengikisnya dengan gentian kepercayaan rasional dan logik. Proses kaunseling mempunyai empat peringkat iaitu yang pertama membina hubungan kaunselor dan klien dengan teknik mendengar secara empatik dan membina iklim yang kondusif. Yang kedua membimbing klien supaya mendedahkan tingkah laku emotif dan behavioral dibawah Sistem Model ABC (Activating, Belief, Consequences). Ketiga, Kaunselor membantu klien membezakan kepercayaan rasional dan tidak rasional, memahami bagaimana kepercayaan rasional membawa hasilan positif  manakala kepercayaan tidak rasional membawa hasilan negatif dan terakhir keempat, menggunakan teknik pertikai dari semasa ke semasa untuk melatih klien mencabar kepercayaan tidak rasionalnya. Jelas dengan contoh proses kaunseling diatas menunjukkan membina hubungan teraputik adalah perkara pokok untuk keberhasilan setiap sesi kaunseling (Sang, 2010).
            Kemahiran berempati merupakan salah satu faktor penentu kejayaan mencapai objektif kaunseling yang ditetapkan. Disamping faktor-faktor penentu yang lain iaitu kemahiran berkomunikasi dan kemahiran mendengar. Ia akan mengelakkan kekeliruan dan salah faham antara klien dan kaunselor. Untuk mencapai objekif komunikasi yang berkesan hubungan diantara orang berkomunikasi merupakan syarat yang penting. Hubungan yang baik tidak boleh secara paksaan. Ia dijalin dengan teknik yang sesuai, iaitu kemahiran seseorang digunakan untuk menyakinkan orang bahawa dia memang ikhlas, sudi serta mampu membantu. Secara ringkas, berusaha untuk bertindak balas secara berperasaan empati bermakna berusaha menunjukkan kepada orangnya bahawa dia sedang memberi perhatian, dan mendengar serta berusaha memahami perasaannya. Di dalam sesi perbincangan, berperasaan empati merupakan kemahiran pemimpin menghayati dunia subjektif orang lain seolah-olah sebagai dunianya sendiri. Dengan berperasaan empati ini, hubungan baik diantara orang akan terus dijalin dan dikekalkan sepanjang proses komunikasi (Sang, 2010; Singh, 2010).
            Menurut kaunselor-kaunselor dan Carl Rogers, seorang kaunselor perlu mempunyai empat sifat ini iaitu penerimaan dan kemesraan, tidak menghakimi, kesejatian dan ketepatan. Kaunselor harus menerima klien tanpa syarat dan penuh kerelaan. Suasana teraputik dapat digambarkan daripada keikhlasan semula jadi kaunselor yang dapat menerima kliennya. Hal ini dapat dilihat daripada air mukanya yang ikhlas mesra dan kata-kata yang menyakinkan klien tentang kejujurannya membantu. Dengan ini, klien akan bercerita dengan bebas segala isihatinya. Untuk menambahkan kemesraan, semasa klien masuk, kaunselor boleh jemput klien untuk mengalu-alukannya masuk. Dengan cara layanan demikian, klien merasa senang hati, selamat dan mesra bersama-sama kaunselor. Tidak menghakimi, kaunselor bukanlah pengadil ataupun  hakim. Kaunselor hendaklah memerhati setiap pergerakan dan ucapan yang disampaikan klien dengan teliti. Kaunselor tidak boleh membuat atau mengambil keputusan melainkan telah mendapat bukti-bukti dan keterangan yang lengkap. Contoh; seorang klien datang dan memberitahu bahawa dia bergaduh dengan suaminya. Di sini, kaunselor tidak boleh menghakimi klien ini sebagai kurang ajar. Ia perlu mempunyai bukti-bukti yang kukuh sebelum membuat tanggapan. Kesejatian adalah sifat seorang kaunselor yang sentiasa ikhlas dan benar semasa menjalankan sesi kaunseling, iaitu tidak berpura-pura dan tidak menunjukkan keinginan menguasai hubungan kaunseling tersebut. Keadaan ini hendaklah dikawal dan diamati di dalam kelakuan, pertuturan, dan sikap kaunselor. Kepercayaan klien akan wujud jika sikap kaunselor selari dengan sikap klien. Oleh itu, kaunselor harus berterus terang dengan klien tanpa menyembunyikan perasaan dan bertindak tegas. Elakkan sama sekali sikap berpura-pura, menyembunyikan kenyataan dan tidak jujur. Carl Rogers berpendapat, sekiranya seorang kaunselor itu sejati maka dia akan diterima sebagai seorang yang jujur dan benar. Sekiranya perasaan dan kepercayaan ini ada pada klien, dia akan berasa selamat dan mempercayai kebolehan kaunselornya. Menurut Egan(1982), kaunselor hendaklah menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh klien, hendaklah tepat dan sesuai dengan kebolehan klien, Kaunselor dhendaklah membantu klien supaya dapat bercerita atau mencurahkan isi hatinya tepat dan jelas dengan perkataan-perkataan yang mudah difahami. Jika klien menggunakan bahasa yang mengelirukan, kaunselor harus memberi perhatian sepenuhnya tentang apa yang hendak disampaikan, maka barulah proses kaunseling ini dapat dijalankan dengan berkesan (Sang, 2010; Yatimah & Mohd Tajudin, 2011).
            .
4.0        Sesi Dialog kaunseling individu dan lokasi yang mengambarkan elemen hubungan teraputik digunakan dalam sesi kaunseling.
            Contoh sesi dialog kaunseling yang dijalankan untuk membina sebuah hubungan yang berdasarkan elemen teraputik.  Lokasi sesi kaunseling diadakan di sebuah bilik khas yang menerapkan suasana yang kondusif untuk memberikan keselesaan kepada klien, sistem pengudaraan yang baik, pengcahayaan yang terang dan berlatarbelakangkan muzik yang mendamaikan seolah-olah berada di tempat percutian dengan bunyi ombak dan alam semulajadi. Warna bilik yang lembut serta susun atur bilik yang menyedapkan mata memandang. Suasana bilik memainkan peranan penting bagi sebuah sesi kaunseling. Sesi dialog adalah seperti :-

Kaunselor (KR)     : Awak apa khabar? Nampak kurang ceria hari ini? Awak sihat?
Klien (KN)          : Kurang baik puan… banyak perkara yang tidak berapa menyenangkan berlaku                                akhir-akhir ini.

KR                         : Oh..Awak nak minum? Kopi atau teh?
KN                          : Takpe puan.. saya dah minum tadi..

KR                          : Memandu sendiri ke datang tadi?
KN                      : Tak puan.. saya naik teksi.. senang nak cari tempat… kalau memandu takut sesat pulak..

KR                          : Betul tu.. tapi tak susah nak cari alamat pejabat saya ni kan…
KN                          : Tak puan… rupanya dekat saja dengan Terminal Bas Larkin…

KR                    : Lainkali boleh memandu sendiri datang di sini… boleh kita mulakan  sesi kita.. (menundukkan sedikit badan untuk mendengar dengan  lebih baik).
KN                   : mmmm.. saya tidak tahu nak mulakan dari mana puan…(menunduk  dengan wajah yang mula keruh)

KR                    : Macam ni lah.. bila awak dah rasa ok dan bersedia awak boleh cerita   dengan saya. Itupun jika tidak mengganggu emosi awak... kan tugas  saya untuk membantu awak (memujuk)
KN                   : Entahlah puan… jiwa saya rasa kosong… rasa diabaikan… saya       sunyi.. saya bosan…

KR                            : Mmmm…Teruskan…
KN                           : Suami saya sibuk dengan hobi dia saja.. hari-hari asyik pergi  memancing… hal rumahtangga langsung dia tak hirau… yang dia    tahu balik kerja terus pergi memancing… tak salah pun kalau dia   minat memancing.. tapi.. kalau dah hari-hari saya pun bosan… hal  anak-anak pun dia tak ambil kisah… anak-anak tu sekolah macam  mana pun dia tak tahu… yang dia tahu mancing.. mancing… mana  saya tahan puan.. hari-hari kami bergaduh… saya kesian dengan anak- anak… tapi…

KR                                : Tapi apa…
KN                   : Siapa yang nak kesiankan saya…. Saya ada hati dan perasaan puan..   saya bukan robot yang ada butang on dan off… jiwa saya sakit    puan… tapi sekarang saya dah tak kesah dah… suka hati dialah nak   buat apa… saya dah penat puan… apa yang saya buat.. bukan dia  ambil kisah pun… saya pun dah ada pengganti dia dah… ini jalan  yang terbaik untuk saya.. dia nak balik ke.. tak balik ke.. nak tidur kat laut ke.. suka hati dia lah..

KR                  : Bagaimana dengan anak-anak awak..
KN                : Anak-anak pun dah tak kesah puan… ayah dia ada ke.. tak ada ke..  sama saja… bukan ayah dia ambil tahu pun.. anak tu pergi sekolah  ke.. tak pergi sekolah ke.. Cuma duit belanja sekolah dia sediakan… begitu juga belanja dapur… itu ajelah kebaikan dia yang dia buat….

KR                      : Oh.. teruskan…
KN                    : Saya dah penat puan nak lalui benda yang sama… dah 18 tahun kami  kawin.. tapi.. dia tetap macam tu jugak.. baik saya langkah kaki.. tapi bila fikirkan hal anak-anak ni rasa tak sampai hati pulak..

KR                   : mmmm..
KN            : Kalau ikutkan hati lebih baik kami bercerai.. bila fikir hal anak-anak macam kesian…

KR             : Saya gembira puan sudi berjumpa dengan saya di sini, saya berharap kita bersama mencari ikhtiar untuk kebaikan puan. Insyallah..
KN             : Insyallah puan…

5.0        Kesimpulan.
            Kaunseling adalah bentuk perhubungan kemanusiaan yang unik antara seorang kaunselor dan kliennya. Umumnya, masyarakat menganggap kaunseling adalah sebagai bentuk perhubungan komunikasi yang mudah dan mengandaikan semua orang boleh menjadi kaunselor tetapi hakikatnya disiplin kaunseling itu memerlukan seorang kaunselor mempunyai pengetahuan teori dan kemahiran kaunseling yang tinggi. Aspek perhubungan kemanusiaan yang ditunjukkan oleh kaunselor dalam mengendalikan sesi kaunseling adalah proses menolong. Seorang kaunselor bukan sahaja memerlukan pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam bidang kaunseling, tetapi sewajarnya mempunyai gambaran menyeluruh “world-view” tentang aspek kemanusiaan melalui pegangan teori-teori yang baik. Ia bukan sahaja dapat meningkatkan lagi hubungan dua hala, malahan ia meningkatkan lagi proses teraputik tu sendiri. Kehadiran kaunselor dalam satu sesi kaunseling dapat mempengaruhi perubahan kepada diri seorang klien. Keceriaan, semangat, azam yang tinggi serta perwatakan yang ditonjolkan dapat memberi kesan kepada klien.



                                                                                                2600 patah perkataan.
Rujukan:-
Canfield, J. (2012). The Success Principles -Edisi bahasa melayu. Batu Caves: PTS Professional Sdn. Bhd.
Idris, A. (2009). Magnet Diri. Batu Caves: PTS Millennia Sdn Bhd.
KPWKM. (2016). Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - Akta Kaunselor A580. Retrieved July 16, 2016, from Laman web rasmi KPWKM: http://www.kpwkm.gov.my/documents/10156/55662/Akta+Kaunselor+1998
Mohamed, M. n. (2001). Pengantar Psikologi - satu pengenalan asas kepada jiwa dan tingka laku manusia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pasiak, T. (2009). Revolusi IQ,EQ,SQ. Batu Caves: PTS Millenia.
Sang, M. S. (2010). Pengurusan Bimbingan dan Kaunseling. Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.
Singh, B. (2010). ABPG2203 - Introduction to Counselling. Seri Kembangan: OUM.
Yatimah, S., & Mohd Tajudin, M. (2011). Teori Kaunseling Al-Ghazali. batu Caves: PTS Islamika Sdn Bhd.

             

No comments:

Post a Comment