Wednesday 5 April 2017

OCD - Kecelaruan Obsesif Kompulsif

1.0        Pendahuluan.
Sesuatu perkara biasa pada setiap orang untuk membuat pemeriksaan semula atau berulangkali sebelum melangkah keluar dari rumah. Sama ada memastikan suis seterika telah dimatikan atau lampu bilik telah dipadamkan. Tetapi adalah satu perkara yang tidak baik apabila ianya menjadi satu obses. Gangguan OCD adalah gangguan kebimbangan atau keraguan yang menyebabkan ketidakselesaan yang melampau. Pesakit ini sering di dorong secara berterusan dan berulang, pemikiran dan imej yang tidak diperlukan. Ianya semakin hari semakin meningkat jumlah penghidap OCD ini. Kes-kes yang teruk boleh menyebabkan kehidupan peribadi seseorang itu berubah secara drastik. Ianya perlu dikawal dari semasa ke semasa untuk mengelakkan jumlah itu terus meningkat. Ia bukan sahaja menjadi masalah di Malaysia tetapi di seluruh dunia.  Banyak faktor yang mempengaruhi untuk seseorang itu mendapat OCD seperti genetik, organik, personaliti, pengalaman lalu dan konflik. Sebagai contoh apa juga konflik dalam diri boleh menyebabkan tekanan atau stress akan menyebabkan seseorang itu mempunyai simptom-simptom OCD. Oleh itu seseorang individu itu perlu ada kesedaran diri untuk mengelakkan simptom-simptom ini di dalam dirinya. Ia bukan sahaja menyusahkan dirinya tetapi orang disekelilingnya (MMHA, 2013; Mayo Clinic Staff, 2013).    
OCD ini setelah dikenalpasti dan jika ia mendatangkan kemudaratan kepada seseorang individu ianya perlu mendapatkan rawatan dengan segera, sama ada memakan ubat-ubatan dan melalui Terapi Kognitif-Tingkahlaku (CBT). Ianya bergantung kepada doktor yang merawat pesakit. Ada kalanya ianya digabungkan bagi merawat pesakit OCD. Ianya bergantung pada kaedah rawatan yang telah ditetapkan. Apabila rawatan tidak di ambil dengan segera ia mungkin menyebabkan penghidap OCD akan lebih tertekan. OCD adalah penyakit yang paling banyak dikesan dan ianya sekerap pesakit lelah dan kencing manis. Sebagai contoh di Amerika Syarikat penghidap OCD bernisbah 50:1 orang. Frasa “compulsive-disorder” menjadi kosa kata Inggeris, ianya digunakan secara tidak rasmi atau dalam bentuk seni karikatur bagi mengambarkan seorang yang sentiasa berhati-hati, mementingkan kesempurnaan, terikat dengan seseorang individu atau hal dan teliti dalam mencari sebab sesuatu perkara itu berlaku. Ini adalah ciri-ciri seseorang menghidap OCD. Tetapi ada juga orang yang mempunyai ciri-ciri ini bukan penghidap OCD tetapi mungkin ia menghidap Kecelaruan Obsesif-Kompulsif Personaliti (OCPD), ia adalah kecelaruan jenis juzuk autisme (Mayo Clinic Staff, 2013; MedicineNet.com, 2013).


2.0        Terma Kecelaruan Obsesif Kompulsif (OCD). (terangkan apa itu obsesi dan kompulsif)
            Memahami apa yang dimaksudkan dengan Kecelaruan Obsesif Kompulsif (OCD) ini. Ia adalah masalah kebimbangan yang bercirikan oleh pemikiran yang tidak diingini dan berulang-ulang, tingkah laku ritual dimana merasakan dipaksa untuk menyempurnakan sesuatu tingkah laku. Terkadang individu itu sedar mereka mempunyai simptom-simptom OCD tetapi tidak mampu untuk menahan dari melakukan tingkah laku tersebut atau membebaskan diri. Obsesi adalah pemikiran yang tidak berlaku secara rela, imej atau impuls yang berlaku berulang-ulang kali dalam fikiran seseorang. Ia tidak mahu idea itu datang tetapi ianya tidak boleh dihalang. Pemikiran keterlaluan ini akan menganggu kehidupan seseorang. Pemikiran obsesif ini adalah obses terhadap susun atur, keseimbangan, ketertiban dan kekerapan. Risau tugas yang dilakukan tidak sempurna dan salah. Ketakutan terlampau terhadap dosa, kuman, keselamatan ahli keluarga dan kawan. Jijik atau geli dengan bahan buangan dan cecair diri sendiri seperti peluh.   Kompulsif pula adalah tingkah laku atau ritual yang seakan di dorong oleh sesuatu untuk bertindak secara berulang-ulang. Ianya dilakukan untuk membuatkan obsesi itu hilang. Punca OCD terjadi adalah kekurangan bahan kimia di dalam otak yang di sebut sebagai serotonin, serotonin berperanan membantu manusia daripada mengulangi perbuatan yang sama. Personaliti ini dicirikan sebagai individu yang memperlihatkan kepada kesempurnaan dan ketidakluwesan rasa ingin tahu terhadap pola pemikiran dan tindakan yang tidak dapat dikawal (Baharom & Iliyas Hashim, 2010; MMHA, 2013).
            Perlakuan kompulsif adalah adalah membersih secara berulangkali seperti memberus gigi, mencuci tangan atau membasuh muka kerana mereka beranggapan ianya kotor. Memeriksa selak pintu, peralatan dapur atau peralatan elektrik berulangkali bagi memastikan ianya berada dalam keadaan baik. Selalu memastikan susun atur dalam keadaan sempurna seperti menyusun lipatan kain dalam keadaan yang rapi tidak bersepah. Mengira sesutau nombor dengan diulang-ulang tanpa rasa jemu atau penat. Menyimpan barang-barang yang tidak terpakai seperti surat khabar, bekas makanan atau baju-baju yang sudah buruk. OCD dikategorikan kepada obsesi keraguan atau kerisauan yang berterusan, obsesi pemikiran dimana ingatan pada peristiwa yang berterusan, obsesi impuls iaitu gesaan untuk bertindak untuk melakukan sesuatu, obsesi ketakutan iaitu takut akan melakukan kesilapan atau kesalahan, obsesi imej dimana bayangan imej yang terbayang secara berterusan dan tidak menyenangkan, hasilkan kompulsif iaitu tindakan yang telah dicadangkan oleh pemikiran dan yang terakhir mengawal kompulsif iaitu mengawal pemikiran (MedicineNet.com, 2013).
3.0        Gejala Kecelaruan Obsesif Kompulsif OCD).
Tidak semua orang yang mempunyai fikiran obsesif atau melakukan tingkah laku kompulsif mempunyai gangguan OCD. OCD adalah fikiran-fikiran dan tingkah laku menyebabkan kesusahan yang besar, mengambil banyak masa, dan mengganggu kehidupan seharian dan hubungan dengan orang disekelilingnya. Kebiasaan orang yang mempunyai OCD ini mempunyai obsesi dan dorongan. Seseorang individu itu akan dilabelkan sebagai Kecelaruan Obsesif Kompulsif (OCD) itu apabila, mempunyai pelbagai kriteria-kriteria yang bertepatan seperti, seseorang itu obsessional dari segi pemikiran, bayangan atau cara yang berulangkali (bertubi-tubi) sebagai contoh dia merasa kakinya kotor sedangkan realitinya tidak; individu yang terlibat akan merasa resah, gelisah, cemas dan tidak merasa selesa atas apa yang berlaku; menyedari apa yang berlaku dan tidak dilakukan dengan sengaja tetapi ianya hadir dari’ego alien’ di dalam diri; seseorang itu tahu bahawa bayangan atau idea yang datang dalam dirinya adalah sesuatu yang mengarut, tidak masuk akal dan ianya tidak perlu berlaku; menentang dan menghalang idea yang hadir dan ini menyebabkan dirinya menjadi gelisah. Pemikiran atau imaginasi ruminasi obsessional dikategorikan kepada was-was, kebersihan dan melakukan perbuatan secara perlahan-lahan. Secara normalnya disusuli dengan tindakan kompulsif atau sesuatu perbuatan atau tingkahlaku yang berulang kali. Seseorang yang mempunyai ciri-ciri yang dinyatakan di atas mempunyai fungsi sosial yang tidak betul atau tidak diurus dengan baik dimana mereka cepat marah dan mudah tersinggung (MMHA, 2013)
Penghidap OCD yang mempunyai pemikiran terganggu secara umumnya mempunyai imej yang sering muncul dalam fikirannya dan menakutkan. Fikiran-fikiran ini mungkin berlaku berdasarkan peristiwa atau pengalaman yang pernah dilalui atau tanpa alasan tertentu. Penghidap OCD ini juga mempunyai keperluan untuk sentiasa memeriksa orang atau barangan, secara ironinya mereka bimbang jika mereka berhenti membuat perkara-perkara tersebut ada perkara buruk yang akan berlaku dan menimpa mereka. Contohnya penghidap OCD iani akan mengelilingi rumahnya beberapa kali untuk memeriksa pintu dan tingkap berulang kali sama ada telah dikunci dengan baik, ini kerana ketakutan mereka bahawa seseorang mungkin memecah masuk dan merompak harta benda mereka. Manakala pesakit yang takut akan pencemaran dan kekotoran boleh membasuh tangan dan mandi berulangkali untuk memastikan badan mereka sentiasa bersih dan wangi. Ataupun mereka taksub untuk membersihkan rumah mereka dan memastikan ianya sentiasa bersih dari segala sudut. Bagi penghidap yang taksub menyimpan barang lama dan lusuh yang pernah di miliki mereka akan menyimpan barang tersebut walaupun ianya tidak berguna lagi. Adakalanya ianya menyebabkan rumah mereka dalam keadaan bersepah dan tidak terurus dan kotor Ia dipanggil ‘hoarder’ ( Psychology Today, 2015; Mayo Clinic Staff, 2013).
Gejala dari segi emosi untuk penghidap OCD ini sangat cemas dan takut. Dapat dilihat mereka mempamerkan banyak gejala bukan OCD seperti tanda-tanda kemurungan, kebimbangan yang melampau, ketegangan yang keterlaluan dan perasaan berterusan bahawa tiada apa yang pernah betul. Manakala gejala dari segi fizikal selain dari tingkah laku kompulsif yang dipamerkan, tiada tanda-tanda fizikal yang lain. Walau bagaimanapun penghidap OCD boleh menyebabkan masalah fizikal. Sebagai contoh, seseorang yang obsesi kuman boleh membasuh tangannya berulang kali dan menyebabkan kulit tangan mereka merah, nipis dan menyakitkan. Kesan jangka pendek penghidap OCD mungkin mereka tidak dapat menyumbang kepada masyarakat atau orang disekelilingnya kerana ketidakupayaannya mengawal tingkah lakunya. Manakala kesan jangka panjang pula mereka akan mengalami kemurungan, kebimbangan yang berterusan dan peningkatan gejala sosial yang lain seperti penyalahgunaan dadah (PsychGuides.com, 2016).


4.0        Fungsi Terapi Kognitif-Tingkahlaku (CBT) bagi merawat pesakit Kecelaruan Obsesif          Kompulsif (OCD).
            Kaedah rawatan OCD terbahagi kepada dua iaitu melalui medikal atau perubatan dengan memakan ubat-ubatan seperti clomipramine, fluoxetine, sertraline, paroxetine dan fluxomamine. Satu kaedah rawatan lagi adalah Terapi Kognitif-Tingkahlaku (CBT) wujud daripada hasil gabungan beberapa pendekatan. Ia adalah pendekatan psikoterapi bagi menyelesaikan masalah gangguan emosi, ketakutan da kemurungan. Ia adalah kaedah yang paling berkesan untuk merawat konflik dalaman yang melanda seseorang individu. Pendekatan terapi tingkah laku ini juga dikenali sebagai ‘pendedahan dan pencegahan tindak balas’ adalah berkesan untuk penghidap OCD. Pesakit sengaja dan secara sukarela menghadapi objek yang ditakuti sama ada secara langsung atau imaginasi (Sang, 2010; Mayo Clinic Staff, 2013). CBT berdasarkan asumsi terutama bagi kes kemurungan iaitu bahawa gangguan emosi berlaku dari penyimpangan dalam berfikir. Penyembuhan dalam keadaan emosi dapat dilakukan apabila terdapat perubahan pada pola-pola berfikir dalam tempoh proses terapi. Begitu juga pada penghidap yang berfikiran maladaptive dan gangguan tingkah laku. Apabila dapat memahami dan mengubah pola-pola tersebut dengan harapan mampu melakukan perubahan cara berfikir mereka dan mampu untuk mengawal gejala-gejala gangguan yang berlaku. Ianya berorientasikan pada masalah-masalah yang dipecahkan serta terapi yang didasarkan pada keadaan semasa. Ia memandang penghidap OCD sebagai orang yang membuat keputusan penting masalah atau matlamat yang akan dibahagi-bahagikan semasa proses terapi. Dalam CBT tujuan utama adalah membangunkan fikiran yang negatif atau bahaya, berdialog dengan diri (internal) dan interpretasi terhadap perkara-perkara yang dilalui. Fikiran negatif akan muncul secara automatik dan berlaku dalam keadaan bawah sedar. Mengumpulkan segala bukti yang ada dengan menyiasat latarbelakang penghidap OCD sama ada bukti itu menyokong atau membangkang. Dengan itu, rawatan dapat dijalankan dengan baik dan berjaya dengan menyusun rekabentuk eksperimen bagi menguji kebolehupayaan (Mayo Clinic Staff, 2013).
            Aspek kognitif dalam CBT adalah mengubah cara berfikir, kepercayaan, asumsi, imaginasi dan sikap untuk mengenalpasti dan mengubah kesilapan. Aspek behavioral pula mengubah hubungan yang tidak betul antara keadaan permasalahan dengan kebiasaan bertindakbalas apabila masalah itu berlaku sebelum ini, dilatih mengubah tingkah laku, merehatkan fikiran dan badan sehingga berkeadaan baik dan selesa serta boleh berfikir dengan matang.     Ianya bermula dengan ujikaji-ujikaji yang dijalankan di makmal-makmal psikologi. Teknik ini dianggap yang paling berkesan untuk merawat pesakit OCD.  Ia dibahagikan kepada 3 peringkat iaitu pertama desensitisasi klasik bersistem, kedua, membanjiri aliran kognitif dan ketiga Exposure and Response Prevention (ERP).  Desensitiasi klasik bersistem digunakan bagi menurunkan kadar kebimbangan iaitu dengan memberikan latihan menenangkan diri atau relaksasi iaitu pesakit OCD akan diajar bagaimana untuk mengeluarkan relaksasi yang akan membawa kepada keselesaan diri. Menambah dengan rangsangan yang menimbulkan ketegangan iaitu pesakit diminata membina hierarki rangsangan secara berperingkat-peringkat iaitu dari takut yang sedikit kepada takut yang melampau. Gambaran secara imejan dimana pesakit akan diarahkan untuk menggambarkan secara imejan rangsangan yang paling minima dalam hierarkinya dan secara serentak juga latihan kesenggangan otot dilakukan. Mengulangi latihan secara berterusan agar perlaksanaan semua hierarki akan dapat dikurangkan dan lama-lama akan hilang. Apa yang berlaku gerak balas terlazim akan mampu menenangkan diri.  Teknik yang kedua adalah membanjiri aliran kognitif, prinsip rangsangan terlazim digunakan. Pesakit mengekalkan minda dalam keadaan yang tidak menyenangkan dirinya sendiri iaitu pemikiran obsessif. Minda kekal dengan perasaan menakutkan sehingga pesakit itu sendiri dapat mengenal pasti jawapan mengapa perasaan takut itu timbul (OCD Center, 2016).
            Kaedah yang ketiga adalah Exposure and Response Prevention (ERP), exposure adalah penglibatan mendedahkan secara terus/langsung terhadap objek atau sesuatu situasi yang menimbulkan keadaan tegang. Response adalah merujuk kepada rutin perlakuan tingkah laku. Dalam rawatan ini, penghidap OCD dipaksa untuk melalui perasaan bimbang dan ketakutan terhadap pemikiran obsessifnya dengan tidak berkelakuan seperti kebiasaannya apabila berhadapan dengan keadaan itu. Pesakit diberi tunjuk ajar agar dapat mengawal diri daripada perbuatan tingkah laku kompulsifnya sehingga ia mampu untuk mengawal keadaan itu secara berperingkat, iaitu dengan mengurangkan kekerapan perlakuan kompulsif (OCD Center, 2016; Yatimah & Mohd Tajudin, 2011).
            Selain CBT, kaedah berikut juga digunakan bersama-sama untuk rawatan OCD. Ubat-ubatan adakalanya digunakan bersama-sama dengan terapi CBT untuk rawatan gangguan obsesif-kompulsif kerana ubat sahaja jarang berkesan dalam melegakan gejala OCD. Terapi keluarga turut digunakan kerana OCD sering menyebabkan masalah dalam kehidupan keluarga dan penyesuaian sosial, terapi keluarga adalah terapi sokongan. Terapi keluarga menggalakkan untuk memahami penyakit OCD dan ia boleh membantu untuk mengurangkan konflik keluarga. Ia juga boleh memberi motivasi kepada ahli keluarga dan mengajar mereka bagaimana untuk membantu orang yang mereka sayang. Terapi berkumpulan adalah satu kaedah yang berguna untuk merawat OCD. Melalui interaksi dengan rakan-rakan yang menghidap OCD, mereka dapat berkongsi keadaan mereka. Terapi berkumpulan menyediakan sokongan dan galakan dan mengurangkan perasaan tersisih dari masyarakat sekeliling amnya dan keluarga secara khusus. Cara seseorang individu bertindak balas terhadap gejala OCD yang dihadapi oleh rakan atau keluarga mempunyai impak yang cukup besar. Komen-komen negatif atau kritikan akan membuat penghidap OCD bertambah teruk dan semakin sukar untuk dirawat. Persekitaran yang tenang dan menyokong mereka boleh membantu proses penyembuhan. Elakkan dari membuat kritikan peribadi, kerana ia adalah gejala yang mereka hadapi bukan kelemahan karakter mereka. Jangan memarahi penghidap OCD atau memberitahu mereka untuk berhenti melakukan ritual kerana mereka tidak boleh mematuhi. Segala tekanan akan memburukkan keadaan. Jangan bermain bersama-sama dengan orang yang penghidap dengan ritual OCD. Membantu dengan ritual hanya akan mengukuhkan tingkah laku mereka. Sokong mereka tetapi bukan ritual mereka. Memastikan komunikasi posistif dan jelas. Komunikasi adalah penting supaya mencapai keseimbangan antara memberi sokongan dan sentiasa bersama-sama mereka sehingga gejala OCD tidak lagi mengganggu kehidupan mereka. Membuat lawak jenaka tika bersama-sama mereka, menerapkan elemen lucu dan membolehkan mereka tertawa bersama. Pastikan dalam jenaka yang dibuat tidak merendah-rendahkan mereka atau menyisihkan mereka tetapi membuat mereka rasa lebih dihargai (PsychGuides.com, 2016; Mayo Clinic Staff, 2013).    
5.0  Kesimpulan.
            Kecelaruan Obsesif Kompulsif (OCD) boleh dikatakan sebagai perasaan ragu-ragu yang melampaui batas normal manusia dan ia juga diklasifikasikan sebagai satu penyakit mental. Setiap individu mempunyai OCD sama ada ianya disedari atau tidak. Ia terjadi pada ahli keluarga atau rakan-rakan di sekeliling kita. Cuma ianya berada ditahap ringan atau kecil hingga ke tahap yang lebih berat atau kritikal. Oleh yang demikian jika didapati mempunyai simptom-simptom yang berkaitan haruslah mendapatkan rawatan dengan segera sama ada melalui kaedah memakan ubat-ubatan atau Terapi Kognitif-Tingkahlaku (CBT). Jika ianya dibiarkan akan menjadi lebih parah dan sukar untuk di rawat.  Oleh yang demikian setiap orang perlu mempunyai kesedaran yang tinggi berkaitan OCD bagi memastikan ianya dapat dibendung atau dikawal agar tidak menyukarkan kehidupan seharian.  Bagi memastikan kehidupan yang lebih ceria dan gembira seseorang itu memerlukan satu sama lain untuk mendapatkan kehidupan yang lebih bahagia. Dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat dan berfikiran positif dapat mengelakkan seseorang itu daripada simptom-simptom OCD. Seseorang individu itu perlu menitikberatkan tentang etika dan nilai moral dalam masyarakat amnya dan keluarga khususnya. Setiap orang mempunyai kepercayaan pada agama yang dianuti, oleh itu sentiasa mengamalkan ajaran yang telah dipelajari dan menambahbaik amalan yang dituntut. Zaman teknologi yang sedia mencabar ini akan memberi tekanan kepada individu-indivdu yang mudah berputus asa dan berfikiran negatif. Setiap orang perlu bersaing untuk memenuhi keperluan dan kehendak dalam menjalani kehidupan. Kos sara hidup yang semakin tinggi akan menyebabkan setiap individu bekerja keras untuk mendapatkan apa yang mereka mahukan. Teori Keperluan Maslow sendiri mengariskan lima keperluan utama iaitu fisiologi, keselamatan, kasih sayang, penghargaan kendiri dan aktualisasi diri. Ianya akan menyumbang kepada motivasi individu untuk memenuhi keperluan asas terlebih dahulu sebelum memenuhi keperluan sekunder.  







                                                                                    Lebihkurang 2600 patah perkataan

Rujukan:
Psychology Today. (2015, November 18). Obsessive-Compulsive Disorder : Psychology Today. Retrieved June 20, 2016, from Psychology Today Web Site: https://www.psychologytoday.com/conditions/obsessive-compulsive-disorder
Baharom, M., & Iliyas Hashim. (2010). Ingat, lupa, sedar dan gangguan psikologi. Batu Caves: PTS Profesional.
Dr.Abdul Halim, O., & Ferlis, B. (2012). ABPS2103 Cross-Cultural Psychology. Seri Kembangan: Open University Malaysia.
Jemaat, A. H., Kong, f., Hasim, M. S., & Ang, T. K. (2012, April 27). Teori Perkembangan Moral Kognitif Kohlberg. Retrieved Mac 18, 2016, from Laman web google doc: https://docs.google.com/uc?id=0B6z3yHdicsgBazhoS3AtRTQ5eDg&export=download
Lead, S. M. (2013). Kohlberg: SimplyPsychology. Retrieved January 22, 2016, from Simply Psychology Web Site: http://www.simplypsychology.org/kohlberg.html
Mayo Clinic Staff. (2013, August 09). Diseases and conditions : Obsessive-Compulsive Disorder (OCD). Retrieved June 20, 2016, from Mayo Clinic Web Site: http://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/ocd/basics/definition/con-20027827
MedicineNet.com. (2013, August 28). Definitions of Obsessive-Compulsive disorder. Retrieved June 21, 2016, from Medicine Net.Com Web Site: http://www.medicinenet.com/script/main/art.asp?articlekey=4610
MMHA. (2013). Obsesif Kompulsif (OCD) ; Malaysian Mental Health Association. Retrieved June 5, 2016, from Malaysian Mental Health Association Web site: http://mmha.org.my/obsesif-kompulsif-ocd/
Mohamed, M. n. (2001). Pengantar Psikologi - satu pengenalan asas kepada jiwa dan tingka laku manusia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Moorey, T. (2012). Understand Chinese Mythology - The Myths and their meaning. London: Teach Yourself.
OCD Center. (2016, April 25). Cognitive-Behavioral Therapy (CBT) for the Treatment of OCD and Anxiety Conditions. Retrieved June 21, 2016, from OCD Center of Los Angeles Web Site: http://ocdla.com/cognitivebehavioraltherapy
PsychGuides.com. (2016). PsychGuides- Obsessive-Compulsive Disorder Symtoms, Causes and Effects. Retrieved 7 17, 2016, from PsychGuides Web Site: http://www.psychguides.com/guides/obsessive-compulsive-disorder-symptoms-causes-and-effects/
Rahil , M., & Habibah, E. (2007). Psikologi Pendidikan untuk Perguruan - Edisi Kedua. Shah Alam: Karisma Publications Sdn Bhd.
Rahman, Z. A. (2007). Pembimbing Rakan Sebaya. Petaling Jaya: IBS Buku Sdn Bhd.
Sang, M. S. (2010). Pengurusan Bimbingan dan Kaunseling. Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.
Tahir, N. (2016). Teoi Perkembangan. Retrieved Mac 19, 2016, from Laman web amaljaya,com: http://www.amaljaya.com/guru/wp-content/uploads/2011/09/teori-perkembangan.pdf
Yatimah, S., & Mohd Tajudin, M. (2011). Teori Kaunseling Al-Ghazali. batu Caves: PTS Islamika Sdn Bhd.

Yusof, R. (2010). Asas sains sosial dari perspektif sosiologi. Kuala Lumpur: Dewan Bhasa dan Pustaka.

No comments:

Post a Comment