Wednesday 5 April 2017

Psikologi silang budaya.

1.0              Pendahuluan.
Kanak-kanak itu ibarat kain putih, perilaku moral mereka saling berkait rapat dengan gaya keibubapaan yang digunakan, cara mendidik anak-anak yang merangkumi aspek tanggungjawab, pengisian komunikasi, gerak balas ibubapa terhadap tingkah laku anak, pelbagai rangsangan dari ibubapa dan perkara yang berkaitan ganjaran dan hukuman. Terdapat empat gaya keibubapaan iaitu yang pertama authoritarian iaitu tinggi kawalan dan rendah kasih sayang, kedua adalah permisif yang rendah kawalan dan tinggi kasih sayang, ketiga pula pengabaian yang rendah kawalan dan rendah kasih sayang atau yang keempat dan terakhir adalah autoritatif yang tinggi kawalan dan tinggi kasih sayang. Latar belakang budaya seseorang itu banyak mempengaruhi tingkah lakunya, Warisan merupakan persekitaran dimana polanya ditentukan oleh masyarakat. Budaya merupakan adat, kepercayaan, nilai, norma, institusi dan produk-produk komuniti yang diturunkan dan diwarisi oleh generasi-generasi seterusnya dan ini memberi impak ke atas pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang itu (Rahil & Habibah, 2007). Dalam tugasan ini ianya memfokuskan kepada kajian silang budaya dan adakah kaedah yang digunakan adalah bersesuaian dengan semua orang daripada semua budaya atau sebaliknya. Dalam hal ini satu contoh telah diberikan iaitu Holly seorang kanak-kanak perempuan yang suka memanjat pokok dan tentang larangan yang telah diberikan oleh bapanya (Mohamed, 2001).
Dalam Teori Kohlberg ada tiga peringkat dan setiap peringkat dibahagikan kepada dua tahap. Oleh itu perilaku moral seseorang itu bukan sahaja bergantung kepada kaedah gaya keibubapaan, juga kepada faktor persekitaran yang lain. Kanak-kanak seperti Holly mempunyai perilaku sosial yang sama dengan kanak-kanak yang sebaya dirinya. Tidak dinafikan pengaruh rakan sebaya banyak mempengaruhi perlaku mereka, tetapi itu bukan alasan untuk mereka untuk melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh keluarga. Teori Kohlberg ini adalah inspirasi daripada kajian-kajian Piaget dan John Dewey yang menekan pertumbuhan manusia berkembang secara falsafah dan psikologi dalam bentuk positif. Kohlberg memperincikan lagi daripada teori yang terdahulu. Kepentingan perilaku sosial dapat menstrukturkan seseorang individu itu bukan sahaja melalui persekitaran tetapi budaya itu sendiri agar tidak berlaku kecelaruan budaya. Silang budaya dapat membezakan sesuatu bangsa dan dari mana mereka berasal. Dalam Teori Kohlberg setiap individu itu mempunyai peringkat-peringkat tertentu yang perlu lebih diberi perhatian agar dapat mengenalpasti satu-satu tindakan perilaku moral untuk dikenali puncanya dan dapat diselesaikan mengikut kaedah-kaedah yang ditetapkan, (Rahman, 2007; Dr.Abdul Halim & Ferlis, 2012; Rahman, 2007).
2.0              Teori Perilaku Moral Lawrence Kohlberg
Teori perilaku moral Lawrence Kohlberg ini berkembang dari setiap peringkat ke setiap peringkat mengikuti perkembangan moral kanak-kanak tersebut. Susunan adalah mengikut kebolehan seseorang memberikan sebab yang matang dalam penyelesaian satu-satu isu yang dihadapi oleh mereka yang terlibat. Jika seseorang individu didapati berada di satu peringkat yang tinggi, ini menandakan ia telah melalui peringkat-peringkat moral yang lebih rendah. Kebiasaannya individu itu akan memilih peringkat yang lebih tinggi daripada peringkat semasa. Setiap peringkat adalah sistematik dan berstruktur, merupakan sistem pemikiran yang berterusan, cara individu itu menganalisa dan menginterpretasikan data serta membuat keputusan mengenai masalah moral dan peribadi merupakan satu perkara yang penting dalam perkembangan moral yang berterusan. Urutan dalam peringkat-peringkat ini adalah tidak berbalik, ini bermakna dalam semua keadaan trauma yang serius. Pergerakan dalam peringkat penaakulan moral selalunya adalah ke depan dan tidak pernah mundur (Mohamed, 2001; Sang, 2008).
2.1              Penaakulan Pra-Konvensional
Peringkat ini dimana ianya peringkat paling rendah, peringkat ini bersifat “hierarchial integration”. Ciri penaakulan pada peringkat ini ialah kepercayaan bahawa apa-apa yang dianggap betul ialah mematuhi peraturan pihak berkuasa. Pemikir lebih memberi penekanan kepada kepentingan diri serta kesan satu-satu bertingkah laku (Rahil & Habibah, 2007; Yatimah & Mohd Tajudin, 2011).
1.      Orientasi kepatuhan dan hukuman
Mematuhi peraturan untuk mengelakkan daripada dihukum. Perbuatan yang baik buruk dipastikan oleh akibat fizikal bukan kesan psikologi itu adalah persepsi mereka pada tahap ini. Pada peringkat pemikiran moral berorientasikan egosentrik membolehkan manusia selaraskan moral untuk diri sendiri. Moraliti diperingkat ini dibentuk berpandukan kepada prinsip ‘hendonisme’. Contoh, murid yang datang lambat ke sekolah akan didenda atau dihukum, oleh itu mereka akan datang ke sekolah tepat pada masanya untuk mengelakkan dari di hukum. Secara tidak langsung mendisiplinkan pelajar untuk datang awal ke sekolah.
2.      Orientasi ganjaran individu (instrument relativist)
Keperluan seseorang individu memastikan yang betul dan salah. Pertolongan atau bantuan yang diberikan adalah bersifat mengharapkan ganjaran daripada apa yang dibuat. Peringkat ini juga dikenali sebagai ‘hendonisme’ utilitarian iaitu apabila seseorang menilai sesuatu tingkah laku berpandukan keinginan untuk mendapatkan ganjaran. Contoh, setiap denda yang dilakukan mestilah setimpal dengan kesalahan seperti mereka yang tidak mematuhi spesifikasi menurut buku peraturan sekolah seperti berambut panjang. Sebagai denda, guru disiplin akan mengunting rambut mereka. Ataupun murid yang tidak berpakaian uniform pengakap sekolah tidak dibenarkan mengikut aktiviti berkawad.  

2.2       Penaakulan Konvensional
            Peringkat ini adalah peringkat pertengahan, dalam peringkat ini adalah ‘structured wholes’. Pertimbangan yang dilakukan adalah berdasarkan persetujuan atau kehendak orang lain, harapan keluarga, nilai tradisional, kesetiaan pada negara dan undang-undang masyarakat. Penekanan kepada dorongan kendiri untuk melakukan apa yang diterima oleh masyarakat.
3.      Orientasi kanak-kanak baik atau perlakuan baik. (Good boy-Nice girl orientation)
Ianya berlandaskan apa yang baik, pertolongan dan dipersetujui oleh orang lain. Ia juga dikenali sebagai “good boy/nice girl” iaitu seorang kanak-kanak sudah boleh menerima norma masyarakat Sesuatu tindakan yang dilakukan akan dinilai baik /buruk berdasarkan sokongan atau persetujuan orang lain. Perlakuan yang baik ditafsirkan sebagai disukai oleh orang lain dan mereka akan berkelakuan baik untuk mendapat ganjaran/pujian daripada orang lain. Contoh, perlakuan baik akan dihargai dan bernilai seperti menghormati guru dan orang yang lebih tua dinggap perlakuan yang baik dan boleh diikuti oleh orang lain dan dijadikan sebagai amalan (Lead, 2013; Mohamed, 2001).
4.      Orientasi undang-undang dan peraturan
Undang-undang adalah kuasa mutlak, pihak berkuasa wajib dihormati dan susunan sosial tidak berubah. Ianya merujuk kepada kesanggupan melakukan sesuatu tanggungjawab masyarakat dan memenuhi peraturan sosial yang telah ada. Perlakuan yang baik akan memberi kesejahteraan kelompok dengan lebih harmoni. Individu akan merujuk kepada norma-norma masyarakat, perundangan sebagai sesuatu yang muktamad dan orang lain mestilah mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Contoh, perlakuan moral menjadi tanggungjawab bersama seperti seorang ketua kumpulan pengakap sekolah memberi arahan agar setiap ahli pengakap mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan ia menjadi tanggungjawab bagi dirinya untuk mematuhi peraturan tersebut juga setiap ahli untuk melaksanakan segala peraturan (Mohamed, 2001; Lead, 2013).

2.2              Penaakulan Pasca Konvensional
Peringkat ini adalah peringkat yang tidak ‘varian’. Pada peringkat ini ialah apa yang betul adalah yang sejajar dengan hak manusia sejagat, nilai-nilai atau prinsip-prinsip yang perlu dipertahankan oleh masyarakat dan individu. Individu memahami prinsip-prinsip dan tujuan sesuatu peraturan diadakan.
5.      Orientasi kontrak sosial
Sesuatu kebaikan dapat dinilai dari standard hak seseorang individu yang telah ditentukan secara sosial. Memfokuskan kepada mempertahankan hak-hak asasi, nilai-nilai dan sebarang kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama dalam masyarakat tersebut. Peraturan dan undang yang dibuat adalah hasil persetujuan bersama antara setiap ahli masyarakat dan membawa kebaikan kepada semua. Dan diakui peraturan tersebut adalah fleksible dan boleh diubah sekiranya bertentangan dengan norma kehidupan masyarakat dan ianya tidak relevan untuk digunakan (Mohamed, 2001; Dr.Abdul Halim & Ferlis, 2012). Contoh, satu tindakan benar dirujuk kepada persetujuan masyarakat seperti memegang sesuatu adat masyarakat tertentu seperti memakai baju merah adalah tanda tuah pada menyambut Perayaan Tahun Baru Cina.
6.      Orientasi prinsip etika sejagat/universal
Kebaikan dan betul adalah hal-hal yang berkaitan hati nurani seseorang individu dan membabitkan konsep abstrak iaitu seperti maruah insan, keadilan dan kesamaan. Peringkat tertinggi dalam pemikiran moral seseorang kerana peringkat ini melibatkan soal falsafah tentang moral itu sendiri. Pada peringkat ini individu akan mempertikaikan nilai dan norma. Apa yang dianggapkan betul adalah ditentukan berpandukan pada satu prinsip individu itu sendiri yang dirasakan sesuai untuk manusia sejagat tanpa mengambilkira masa dan situasi. Contoh, keputusan yang diambil berdasarkan prinsip seperti menentukan cita-cita di masa depan. Ianya ditentukan oleh kebolehan yang dimiliki. Ia berdasarkan minat individu itu, jika minat melukis boleh menjadi arkitek dan pelukis.     (Tahir, 2016; Jemaat, Kong, Hasim, & Ang, 2012).

3.0       Bincangkan Tingkah Laku Holly.
            Holly merupakan seorang kanak-kanak perempuan yang suka memanjat pokok. Dia paling handal memanjat pokok di kalangan jirannya. Pada suatu hari, semasa memanjat pokok, dia terjatuh tetapi tidak melukakannya. Bapa Holly berasa sedih melihatnya jatuh. Dia memintanya berjanji supaya tidak memanjat pokok lagi, Holly berjanji dengan bapanya. Pada hari kemudiannya, Holly dan kawan-kawannya bertemu dengan Sean. Anak kucing kepunyaan Sean terperangkap di atas pokok dan tidak boleh turun ke bawah. Sesuatu tindakan mesti dilakukan, jika tidak anak kucing itu akan terjatuh. Holly sahaja yang boleh memanjat pokok untuk menurunkan anak kucing itu, tetapi dia teringat janjinya dengan bapanya.
            Pada pendapat saya tingkah laku Holly saya kategorikan pada Peringkat kedua iaitu Konvensional dan tahap yang ke tiga Orientasi kanak-kanak baik atau perlakuan baik. Dimana waktu ini kanak-kanak membina struktur di dalam diri mereka. Mereka akan bertindak menjadi budak yang baik dimana segala pertimbangan dilakukan melalui persetujuan ibubapa dan masyarakat. Dalam hal ini Holly telah berjanji kepada bapanya untuk tidak memanjat pokok demi keselamatan diri. Dalam peristiwa yang berlaku Holly kena membuat satu tindakan untuk menyelamatkan kucing Sean agar dipandang baik oleh masyarakat. Holly perlu membuat pertimbangan melalui dari sudut kemasyarakatan. Holly sedar tentang perjanjian dengan bapanya, dalam masa yang sama dia perlu menyelamatkan kucing tersebut dari terjatuh. Dorongan dalam diri untuk membantu juga kuat kerana atas dasar tanggungjawab pada masyarakat iaitu rakan beliau Sean. Telah diterangkan dalam perenggan 2.2 berkaitan definisinya dan ianya jelas menyatakan bahawa nilai perhubungan dalam kekeluargaan dan persahabatan perlu diambil kira dalam membuat keputusan. Membuat satu keputusan mengambil tindakan yang betul bagi Holly adalah satu contoh perlakuan yang baik dalam masyarakat. Ianya bukan sahaja mendapat ganjaran yang baik tetapi menyerlahkan nilai diri dalam diri Holly. Holly perlu mencari orang lain untuk menerangkan kepada bapanya tentang mengapa dia perlu mengambil tindakan tersebut. Ini kerana dalam peristiwa ini hanya Holly seorang sahaja yang boleh memanjat dan ini adalah satu tanggungjawab beliau pada masyarakat. Holly perlu menerangkan kepada bapanya dengan jelas dan boleh diterima oleh bapa Holly selain dibantu oleh orang lain.
            Sebagai contoh jika Holly tidak membantu banyak kemungkinan akan berlaku antaranya kucing Sean akan terjatuh dan cedera atau mengakibatkan kematian. Akibatnya Holly akan rasa bersalah dan kemungkinan besar Holly akan kehilangan rakan iaitu Sean. Oleh yang demikian Holly perlu menurunkan kucing tersebut agar kucing itu tidak cedera atau mati dan secara tidak langsung Holly dapat menyelamatkan hubungan persahabatan dengan Sean dan masyarakat akan memandang Holly sebagai budak yang baik. Dan masyarakat menilai bahawa Holly dibesarkan oleh keluarga (bapa) dengan nilai-nilai murni dalam dirinya. Masyarakat akan menmandang tinggi dan menghormati bapa Holly. Dalam kehidupan yang bermasyarakat dan budaya yang berbeza Holly perlu mengambil tindakan bijak dan bertanggunjawab.
            Peringkat Konvensional adalah yang paling sesuai diambil kerana jika diambil pada peringkat pra konvensional adalah tidak bersesuaian ini kerana ia lebih kepada kepatuhan, denda dan ganjaran sedangkan di sini bapa Holly hanya mahu Holly berjanji dan tidak menyatakan jika Holly melanggar janji denda/hukuman akan dikenakan. Jelas di sini bahawa bapa Holly masih memberikan kelonggaran atas janji yang dibuat. Tidak menggunakan kuasa veto untuk mematuhi arahan. Ia lebih memberi penekanan tentang hubungan dan perlakuan yang baik yang harus dipatuhi oleh Holly. Jika peringkat Pasca Konvensional adalah tidak bertepatan dan jauh dari jangkauan nilai cerita Holly. Kerana Pasca Konvensional lebih kepada peringkat tinggi yang mana ianya memberi penekanan kepada undang-undang yang besar ruang lingkupnya serta prinsip sejagat.

4.0       Cadangan sebagai seorang kaunselor.
            Dalam hal ini sebagai seorang kaunselor, kita perlu memberi penerangan yang jelas kepada bapa Holly tentang tingkah laku anaknya. Serta memberikan perbandingan dan persamaan antara sejagat. Masyarakat biasanya dimaksudkan sebagai satu kumpulan individu yang dikaitkan mempunyai persamaan dalam beberapa perkara. Masyarakat adalah sebuah pola yang sangat kompleks tentang satu organisasi sosial. Umumnya apa yang dapat diperhatikan ialah di dalamnya terdapat anggota yang saling bergantung dan terdapat garis panduan bagi semua tingkah laku moral. Setiap masyarakat mempunyai satu sistem ekonomi serta mempunyai kawasan tertentu, satu kebudayaan yang mempunyai sifat yang berlainan yang dapat memenuhi keperluan anggotanya dan mempunyai kebebasan politik. Masyarakat boleh dikelaskan berdasarkan sumber ekonomi sama ada feudal, sosialis dan komunis. Ia juga boleh dikelaskan mengikut agama seperti Islam, Kristian, Buddha dan Hindu. Ia juga mengikut bahasa seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil. Atau secara mudahnya masayarakat itu merangkumi di dalamnya individu atau kelompok manusia yang berinteraksi antara satu sama lain, berkongsi satu kebudayaan yang sama di dalam satu kawasan yang tertentu dan mereka berasa bersatu di dalam kumpulan dan melihat diri mereka berlainan daripada orang atau kumpulan manusia yang lain (Dr.Abdul Halim & Ferlis, 2012; Yusof, 2010). Sebagai seorang kaunselor sudah sedia tahu berkaitan dengan sains sosial dimana ianya merupakan satu bidang atau disiplin ilmu yang mengkaji struktur dan sifat-sifat kelompok manusia, bagaimana individu-individu atau kelompok-kelompok manusia berinteraksi antara satu sama lain dan dengan orang disekeliling mereka. Lebih tepat lagi sains sosial merupakan disiplin akademik yang mempersoalkan tentang kemanusiaan dalam konteks sosialnya atau mempelajari kehidupan sosial atau lebih tepat mempelajari tingkah laku yang lazim pada kelompok-kelompok manusia (Yusof, 2010).
            Dalam hal yang berkaitan Holly dan bapanya sebagai kaunselor kita perlu memberikan pemahaman berkaitan kehidupan bermasyarakat dan tanggungjawab dalam masyarakat setempat kepada bapa Holly. Setelah memberi kefahaman yang jelas dan bapa Holly telah memahaminya kita ke langkah yang berikutnya. Iaitu memberikan perbandingan dan persamaan antara kita dengan individu lain. Dan tindakan yang dibuat terhadap Holly. Biarpun duduk dalam lingkungan masyarakat yang berbilang kaum dan berbeza kefahaman dan kepercayaan kita mempunyai satu persamaan dengan orang lain iaitu mahukan kehidupan yang harmoni, sikap tolong menolong dan menjaga norma-norma murni dalam kehidupan agar berada dilandasan yang betul. Sebagai kaunselor yang beragama Islam dan berbangsa Melayu dan mempunyai jiran berbangsa Cina dan beragama Buddha, saya perlu menghormati kebudayaan dan kepercayaan mereka. Dalam hidup berjiran kita perlu lebih bertoleransi dan mempunyai sikap yang baik dan saling menasihati antara satu sama lain. Menerima teguran dari jiran jika melakukan tindakan yang tidak menyenangkan hati jiran. Sebagai contoh dalam perayaan Tahun Baru Cina pada malam perayaan, mereka akan membakar mercun dan pada tepat pukul dua belas malam dan pada saat itu bagi kaum lain mereka sedang tidur dengan lena. Biarpun tidur terganggu kita perlu menghormati budaya mereka yang berbeza kerana untuk menjamin kehidupan yang lebih harmoni. Dalam isu Holly dan bapanya ini, bapa Holly perlu lebih bersikap terbuka. Betul, beliau bimbang tentang keselamatan anaknya takut akan terjatuh dan mengalami kecederaan tetapi dalam keadaan tertentu kemahiran yang dimiliki Holly adalah amat berguna untuk orang lain. Sebagai seorang Kaunselor saya perlu menasihati bapa Holly tentang kemahiran yang dimiliki Holly amat berguna untuk masyarakat setempat dan memberikan tunjuk ajar tentang langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil. Bagi orang berbangsa Melayu dan beragama Islam dan juga bagi anak jiran yang berbangsa Cina dan beragama Buddha memanjat pokok adalah satu perkara yang janggal untuk dilakukan oleh kanak-kanak perempuan kerana ia bercanggah dengan adat resam budaya timur yang mempunyai ciri-ciri kelembutan. Tetapi bagi Holly mungkin memanjat pokok adalah perkara biasa yang dilakukan olehnya kerana dalam hal ini bapanya hanya risaukan keselamatannya. Oleh itu Holly adalah kanak-kanak perempuan yang luarbiasa yang mempunyai kemahiran yang tidak semua orang boleh lakukan. Bapa Holly patut berbangga dengan kemahiran yang dimiliki oleh Holly. Jelas di sini walaupun berlaku silang budaya tetapi ianya membawa kebaikan kepada masyarakat setempat. Oleh itu tindakan bapa Holly adalah tidak tepat dan beliau perlu mengalakkan Holly untuk mengunakan kemahirannya untuk membantu orang lain. Ini kerana tindakan Holly membantu menurunkan kucing Sean adalah langkah yang terpuji dan memberikan nilai dalam diri Holly walaupun dari sudut pandang bapanya adalah satu tindakan yang bahaya. Memberi pemahaman dari sudut yang positif tentang kelebihan Holly bagi bapa Holly membatalkan perjanjian sebelumnya dan membenarkan Holly memanjat pokok atas tujuan yang baik.
               

5.0       Kesimpulan
            Kadangkala bila melibatkan budaya ada yang mengaitkan dengan mitos, perbezaan budaya ada setengahnya mempunyai sedikit persamaan dari segi mitosnya. Kepercayaan itu bergantung kepada individu tertentu untuk mempercayai mitos tersebut dan mengembangkannya di generasi yang berikutnya. Contohnya budaya Cina adalah unik berbanding dengan budaya Asia Barat. (Moorey, 2012).  Teori Kohlberg dinilai paling konsisten dengan teori ilmiah, pek untuk mendedahkan kemmpuan seseorang dalam membuat pemikiran juga pertimbangan moral dan bercirikn perkembangan moral. Kelebihan teori ini adalah boleh mendorong seseorang individu berfikir secara rasional dan logik dalam membuat keputusan berasaskan norma-norma dan nilai-nilai yang baik dalam masyarakat. Dalam kes Holly ibubapa/masyarakat harus menerima pendapat Holly dengan berfikiran terbuka dan membimbing mereka meningkatkan tahap penaakulan moral.




Jumlah patah perkataan +/- 2700 patah perkataan

Rujukan:-
Dr.Abdul Halim, O., & Ferlis, B. (2012). ABPS2103 Cross-Cultural Psychology. Seri Kembangan: Open University Malaysia.
Jemaat, A. H., Kong, f., Hasim, M. S., & Ang, T. K. (2012, April 27). Teori Perkembangan Moral Kognitif Kohlberg. Retrieved Mac 18, 2016, from Laman web google doc: https://docs.google.com/uc?id=0B6z3yHdicsgBazhoS3AtRTQ5eDg&export=download
Lead, S. M. (2013). Kohlberg: SimplyPsychology. Retrieved January 22, 2016, from Simply Psychology Web Site: http://www.simplypsychology.org/kohlberg.html
Mohamed, M. n. (2001). Pengantar Psikologi - satu pengenalan asas kepada jiwa dan tingka laku manusia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Moorey, T. (2012). Understand Chinese Mythology - The Myths and their meaning. London: Teach Yourself.
Rahil , M., & Habibah, E. (2007). Psikologi Pendidikan untuk Perguruan - Edisi Kedua. Shah Alam: Karisma Publications Sdn Bhd.
Rahman, Z. A. (2007). Pembimbing Rakan Sebaya. Petaling Jaya: IBS Buku Sdn Bhd.
Sang, M. S. (2008). Psikologi Pendidikan untuk pengajaran dan pembelajaran. Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.
Tahir, N. (2016). Teoi Perkembangan. Retrieved Mac 19, 2016, from Laman web amaljaya,com: http://www.amaljaya.com/guru/wp-content/uploads/2011/09/teori-perkembangan.pdf
Yatimah, S., & Mohd Tajudin, M. (2011). Teori Kaunseling Al-Ghazali. batu Caves: PTS Islamika Sdn Bhd.

Yusof, R. (2010). Asas sains sosial dari perspektif sosiologi. Kuala Lumpur: Dewan Bhasa dan Pustaka.

No comments:

Post a Comment