Tuesday 19 June 2012

Kasih seorang adik…..



           
            Bukan sesuatu yang mudah bila orang yang kita sayang tinggalkan kita buat selama-lamanya… Seolah-olah dunia ini terhenti seketika, kita seakan terkeluar dari paksi hidup kita… Melihat kedukaan dan kesedihan di depan mata aku seakan tidak kuat. Tapi aku harus kuat demi memberikan semangat pada orang yang aku sayang…
            Kehilangan abang yang tersayang membuatkan suamiku menjadi terlalu lemah apatah lagi peristiwa itu berlaku pada hari bapa yang sepatutnya di sambut dengan kegembiraan. Namun takdir Allah tiada siapa yang tahu. Sebagai isteri kurasa teramat terpukul dengan kedukaan suamiku.. sepanjang perjalanan dia menangis dan berdoa agar dipertemukan dengan abang tersayang biarpun sekejap. Perasaan takut sudah tiada apabila dia membawa kereta seolah tidak terjejak ke bumi. Bayangkan perjalanan yang sepatutnya megambil masa 3 jam hanya 1jam setengah saja diambil.
            Saat diberitahu dia tidak percaya dengan apa yang terjadi. Dia menyangkakan semua itu tipu belaka. Tapi inilah hakikat yang harus dia terima. Tidak dihiraukan keadaannya yang hanya berseluar khakis paras lutut dia terus membawa kami ke destinasi yang dituju. Tanpa membawa anak pertama dan bongsuku. Apatah lagi si bongsu di asrama akan melambatkan perjalanan kami kerana arwah akan dikebumikan selepas waktu asar sedangkan kami mendapat berita selepas pukul dua petang. Anak sulongku tengah menghadapi peperiksaan akhir semester dan dengan keadaan dia yang kurang sihat. Ku titipkan pada mereka sedekahkan surah yassin buat arwah bapa saudara mereka. Tanda sayang mereka pada arwah.
            Alhamdulillah suamiku di izinkan bertemu dengan arwah biarpun sudah siap dikapankan namun masih sempat dia memeluk dan mencium jasad yang sudah terbujur kaku. Saat itu hanya aku panjatkan doa semoga suamiku diberi ketabahan dan aku tak biarkan suamiku bersendirian. Anak keduaku sentiasa di sisi memberi kekuatan pada si ayah. Biarpun airmata sentiasa menitis antara kami bertiga. Suamiku bukan tidak redha Cuma dia terkejut dengan pemergian arwah abang yang tersayang tanpa sempat dia bertemu sebelum ini.
            Semasa hayatnya arwah banyak mengajar suamiku tentang kehidupan banyak kisah suka dan duka dikongsi bersama. Sedari kecil mereka bersama, apatah lagi sejak arwah bapa mereka meninggal dunia. Aku melihat kasih sayang seorang adik yang cukup tebal pada arwah abang yang tidak pernah dia zahirkan pada sesiapapun sebelum ini.
            Saat jenazah mahu dikebumikan aku melihat dia menahan airmata dan aku tahu duka di dalam hatinya terlalu dalam. Saat talkin dibacakan dia duduk bersebelahan dengan satu-satunya anak lelaki arwah abangnya. Goyah hatinya sebagai seorang lelaki dan aku melihat airmatanya terus menitis. Manakah perginya kekuatan suamiku… sudah hilangkah dibawa pergi oleh arwah abangnya… aku menahan sebak dan aku cuba menjadi kuat untuk memberikan kekuatan padanya.
            Saat sudah sempurna dan mereka semua beransur pulang suamiku menggamitku untuk berada disisinya dikubur arwah. Kami bersama-sama menyedekahkan Al-Fatihah dan surah-surah yang lain. Aku katakan padanya dan saudara-mara yang lain. Kita memang sayangkan arwah TETAPI Allah lebih sayangkan arwah sebab itu Allah mengambil arwah. Betapa besarnya kasih sayang kita pada arwah lagi besar kasih sayang Allah padanya.
            Mendengar kisah arwah dari anak lelaki arwah membuatkan kami sebak. Betapa mudah dan cepatnya dia pergi tanpa mengalami kesakitan yang lama. Mereka semua masih dalam keadaan terkejut kerana arwah sebelum ini sihat dan sempat memotong rumput dikeliling rumah kerana arwah seorang yang tak reti duduk diam. Ada saja pekerjaan yang hendak dibuat. Itulah pekerjaan dia yang terakhir sebelum dia pergi. Seolah-olah dia sudah tahu dia akan pergi dan meninggalkan keadaan sekeliling rumah bersih dan rapi.
            Suamiku telah kehilangan seorang abang yang paling dia sayang. Sehingga tulisan ini aku tulis dia masih bersedih. Setiap kali nama arwah abangnya disebut atau dia teringat kisah bersama arwah dia akan menitiskan airmata…
            Abang… menangislah jika itu bisa meredakan perasaanmu… Kusedar bukan dirimu tidak menerima qada dan qadar Allah cuma abang masih lagi terkejut. Mudah-mudahan masa akan ubati luka abang. Macam abang kata dekat saya abang ikhlas dan redha cuma abang agak terkejut kerana pemergian arwah terlalu cepat.
            Abang… kuatkanlah semangat abang kerana saya tahu abang seorang yang kuat. Sejak kita dinikahkan inilah kali pertama saya melihat abang terlalu sedih. Saya tahu kasih sayang abang pada arwah memang cukup kuat. Abang terlalu rapat cuma masa dan kengkangan hidup tak mengizinkan abang untuk selalu menziarahi arwah…
            Abang.. saya tetap ingat akan kata-kata arwah setiap kali kita datang berkunjung bila dia melihat muka anak kedua kita yang seiras arwah mak abang..  ‘aku tak bolehlah tengok muka kau ni… aku sedih… muka kau ni macam arwah embah yam’ dan saya pernah melihat arwah mengesat airmatanya… kita tak pernah rasa kekurangan kasih sayang bila berkunjung kerumah arwah.
            Abang ingat tak kita pernah berkelah di Tanjung Balau naik lori masa tu. Seronok kan.. banyak lagi kenangan arwah bersama kita. Semuanya akan menjadi kenangan indah kita. Kini hanya kiriman doa yang mampu kami hulurkan semoga arwah abang tenang disana.
            Pada anak-anak arwah dan isteri semoga tabah menjalani kehidupan yang mendatang. Biarpun arwah abang dah tak ada kasih sayang kami tidak pernah kurang pada anak-anak dan kakak. Semoga kasih sayang kita berkekalan hingga akhir hayat.
            Pada arwah abang Othman bin Pawiro semoga abang man ditempatkan ditempat orang-orang yang beriman. Bagi kami sekeluarga kasih sayang abang man pada kami membuatkan kami rasa bahagia biarpun hanya seketika. Kami tak pernah rasa kekurangan kasih sayang abang man kerana abang man seorang insan yang penuh dengan kasih sayang. Terima kasih abang man… Al-Fatihah…


Hanya sekadar nukilan...
Samiza Ezanie
19/06/2012
4.42pm



No comments:

Post a Comment